Sunday, March 16, 2014

PENDIDIKAN SEJARAH MEMBENTUK KAREKTER ANAK MUDA



Sejarah merupakan kajian mengenai masa lampau terutamanya yang berkaitan dengan manusia. Ini termasuklah mengenai kerajaan, peperangan, adat istiadat, dan segala perlakuan manusia pada masa lampau. Menurut Ibnu Khaldun, sejarah merupakan catatan tentang masyarakat umum manusia atau peradaban manusia yang terjadi pada masyarakat itu. Pendidikan sejarah merupakan suatu matapelajaran yang dapat membuka minda kepada pelajarnya mengenai apa yang dilakukan oleh bangsanya sendiri dengan dibandingkan apa yang berlaku pada masyarakat lain di bahagian dunia lain pada waktu yang sama. Francis Bacon ada menyatakan sejarah merupakan pengetahuan tentang sesuatu objek yang ditentukan oleh ruang dan waktu.
Setiap bangsa mempunyai sejarahnya tersendiri dan kebiasaannya, sejarah ini ditulis oleh pemerintah kepada bangsa tersebut. Jika bangsanya sendiri yang memerintah, makanya sejarah bangsanya akan diagung-agungkan melebihi bangsa lain. Jika bukan bangsanya yang memerintah, makanya cerita atau sejarah sesuatu bangsa itu hanya akan terpendam sahaja dalam benak-benak orang yang mengetahuinya. Jika nasib baik, akan disebut dalam buku-buku teks sejarah tetapi hanyalah sekadar fakta sampingan sahaja. Sama ada bangsa itu mempunyai kehebatannya tersendiri, ataupun hanyalah sekadar bangsa yang menghuni dalam hutan, sejarah setiap bangsa ini perlu ditulis semula bagi melihat apakah yang ada pada bangsa itu pada waktu dahulu jika mahu dibandingkan dengan apa yang bangsa itu ada pada waktu sekarang. Penulisan sejarah semula ini penting supaya anak-anak akan datang dapat mengetahui apakah yang ada pada bangsanya dahulu. Dengan pengetahuan terhadap keupayaan bangsanya pada zaman dahulu, membolehkan semangat ingin memajukan bangsanya untuk mewarisi kehebatan bangsanya seperti zaman dahulu.
Jika dilihat kepada bangsa Minangkabau, pernah terdengar daripada beberapa orang pemikir dan terbaca pada beberapa laman sesawang yang cuba menidakkan keupayaan bangsa Minangkabau ini sejak dahulu lagi. Sama ada mereka tidak pernah membaca mengenai kehebatan bangsa ini ataupun tahu tetapi menidakkan perkara-perkara tersebut. Ini menjadi persoalan dan menjadi tanggungjawab kepada para pemikir sejarah bangsa Minangkabau untuk membangunkan kembali ilmu sejarah Minangkabau. Para pengkaji sejarah Minangkabau perlulah mula mengumpulkan maklumat dan sejarah-sejarah lampau mengenai bangsa Minangkabau ini dan ditulis dalam satu buku khas untuk tatapan generasi akan datang supaya mereka dapat menghargai dan berbangga lahir dalam bangsa Minangkabau. Terdapat beberapa perkara yang menjadi minat penulis untuk dibincangkan supaya dapat membuka minda generasi sekarang dan akan datang untuk memulakan pengumpulan bahan-bahan sejarah bangsa Minangkabau.
1.      Perantau
Mengapa orang Minang terkenal dengan sifat suka merantaunya? Sejak bilakah mulanya sifat orang Minang menjadi perantau ini? Sejarah ada mencatatkan bahawa penghijrahan pertama yang berlaku pada abad ke-7 yang mana para pedagang emas yang berada di pedalaman Minangkabau ingin melakukan perdagangan dan meluaskan perniagaan mereka di muara Jambi serta daripada pedagang inilah yang membentuk Kerajaan Melayu (Paul M.N., 2006). Pada abad ke-14 pula, penghijrahan secara besar-besaran berlaku apabila banyak keluarga Minang berpindah ke pantai timur Sumatera untuk mendirikan kumpulan-kumpulan pedagang  di Batubara, Pelalawan hinggalah ke Tanah Melayu di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Di samping itu, orang Minang juga banyak berhijrah ke pesisir pantai barat Sumatera. Kebanyakan perantau Minang menduduki di Melabuh, Acheh, Barus hinggalah ke Bangkulu (Christine D. 2008). Setelah Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke Portugis pada 1511, orang Minang berhijrah pula ke Sulawesi Selatan dengan menjadi penyokong kepada Kesultanan Goa dengan menjadi pedagang dan juga pentadbir kerajaan. Pada abad ke-18, penghijrahan besar-besaran sekali lagi berlaku apabila orang Minangkabau mendapat hak keistimewaan untuk mendiami kawasan Kerajaan Siak. Penhijrahan lain yang berlaku adalah semasa penjajahan Belanda pada 1920 ketika pembukaan kebun tembakau di Sumatera Timur. Semasa kemerdekaan Indonesia, penghijrah Minang banyak menduduki Bandar-bandar besar di Jawa.
Kebanyakan penghijrahan yang disebutkan di atas merupakan penghijrahan orang Minang disebabkan faktor ekonomi dan kedudukan. Terdapat juga perantauan orang Minang ini disebabkan oleh factor keilmuan. Pada akhir abd ke-18, ramai pelajar daripada Minang merantau ke Mekah untuk mendalami pengajian agama Islam seperti Haji Miskin, Haji Piobang dan Haji Sumanik. Apabila para pelajar ini pulang daripada pengajian, mereka menjadi penyokong kuat gerakan Paderi dan penyebaran pemikiran Islam di seluruh Minangkabau dan Mandailing. Penghijrahan kedua ke Timur Tengah pula berlaku pada awal abad ke-20 oleh Abdul karim Amrullah, Tahir Jalaluddin, Muhammad Jamil jambek dan Ahmad Khatib al-Minangkabawi. Selain menghala ke Timur Tengah, terdapat juga para pelajar daripada Minangkabau yang melakukan perantauan ke Eropah seperti Abdul Rivai, Mohammad Hatta, Sutan Syahrir, Roestam Effendi dan Nazir Pamuntjak. Selain itu, intelektual lain seperti Tan Malaka pernah hidup mengembara di lapan buah Negara sekitar Eropah dan juga Asia. Tan Malaka bukan sahaja pergi mengembara di negara orang, malah menjadi penghubung rangkaian pergerakan kermerdekaan Asia. Boleh dikatakan kesemua pelajar Minang yang merantau di Eropah tersebut akhirnya pulang menjadi pejuang kemerdekaan dan pengasas Republik Indonesia.
Daripada kisah perantau ini sahaja sudah menampakkan betapa hebatnya bangsa Minangkabau ini sejak dahulu lagi. Para pemuda harus menghayati perjuangan-perjuangan orang Minang dahulu supaya dengan penghayatan ini akan membolehkan para pemuda Minang untuk menangkis persoalan daripada bangsa lain apa yang hebatnya pada bangsa Minang.
2.      Teknologi Peperangan
Jika dibaca pada catatan-catatan Belanda mengenai peperangan di Minang, akan didapati beberapa ayat yang menyatakan bahawa orang Minang merupakan suatu bangsa yang sukar untuk dikalahkan dalam peperangan. Teknik dan taktik peperangan yang digunakan oleh orang Minang merupakan berlainan dengan apa yang ditempuhi Belanda semasa melawan tentera Diporonegoro. Tulisan dan catatan daripada Hendrix dan beberapa ketua turus tentera Belanda yang pernah berperang di Sumatera Barat menyatakan bahawa orang Minang ini sangat handal dan hebat dalam pembinaan benteng pertahanan. Kekuatan benteng pertahanan ini membolehkan mereka hanya memerlukan kekuatan tentera yang sedikit sahaja untuk mengawal benteng pertahanan. Penguasaan pejuang Minang terhadap alam sekeliling dan bijak menggunakan alam sekitar sebagai pertahanan juga turut diakui oleh Belanda. Penggunaan buluh runcing sebagai pagar kawasan membolehkan pejuang Minang mengetahui setiap pergerakan musuh.
Di samping kehebatan daripada pembinaan benteng pertahanan, orang Minang juga berjaya untuk membuat sendiri senjata api untuk berperang. Walaupun pada asalnya mereka mempelajari daripada bantuan China dan juga Turki, namun mereka masih boleh lagi mengubahsuai bentuk senjata itu supaya selesa dengan penggunaan mereka. Ini kerana contoh senjata yang diajar kepada mereka mungkin tidak sesuai dengan tubuh badan orang Minang yang lebih kecil berbanding dengan orang Turki dan juga China. Perbezaan yang ketara antara senapang yang diimport dengan buatan sendiri adalah adanya sumbu khas yang hanya diketahui oleh orang Minang sahaja penggunaannya. Bukan setakat senapang sahaja yang dibuat, malah peluru senapang itu juga dibuat sendiri dengan menggunakan sumber yang berada di sekitar mereka. Suatu yang amat menghairankan adalah, adunan untuk membuat peluru senapang itu dengan menggunakan belerang yang terdapat di sekitar kawasan gunung berapi dan juga garam kalium nitrat yang diekstrak daripada najis haiwan. Bagaimana orang Minang mengetahui dalam najis haiwan terdapatnya garam kalium nitrat tersebut? Bagaimanakah teknologi pengekstrakan yang dilakukan pada masa tersebut? Ini semualah perlu dijawab dengan mengkaji dan meneliti semula sejarah silam dan penambahan fakta ini akan menjelaskan bahawa teknologi orang Minang pada masa lampau sudah mencapai sebuah teknologi yang boleh dikatakan setara dengan teknologi yang berada di Barat.
Selain itu, strategi peperangan yang sukar dijangka juga memberikan kelebihan kepada pejuang Minang untuk melawan tentera Belanda. Strategi peperangan yang bertahan diamalkan oleh pejuang Minang semasa melawan tentera Belanda. Pertahanan yang kukuh dan kemahiran orang Minang menggunakan sumber alam sebagai perisai banyak membantu pejuang Minang dalam memenangi peperangan. Jarang untuk pejuang Minang menggempur musuh dalam keadaan kawasan lapang kecuali pada beberapa situasi tertentu. Seperti semasa tentera belanda sedang berehat ataupun semasa tentera Belanda sedang menyusun barisan tenteranya. Ini amat menakjubkan kerana pejuang Minang dengan berani menyerang ribuan tentera Belanda dengan hanya menggunakan kelewang dan juga bilangan tentera yang sedikit. Sebagai contoh, dalam catatan Hendrix ada menyatakan serangan yang dilakukan oleh orang Minang  dapat didengari teriakan, pekikan dan jeritan yang menakutkan, keras serta kuat. Suara-suara keras ini sahaja dapat mengkucar-kacirkan tentera Belanda. Selain dapat mengkucar-kacirkan pertahanan Belanda, suara ini juga dapat meningkatkan semangat juang mereka. Pernah terjadi satu peristiwa 30 orang pejuang Minang menakutkan 2000 orang tentera Belanda yang diwakili oleh orang Melayu. Tambahan Hendrix, untuk mengalahkan pejuang Minang, yang penting jangan takut dan cemas. Pernah terjadi 60 orang Minang menakutkan dan mengacau bilaukan ribuan tentera Belanda yang diwakili oleh oleh orang Melayu dan juga 50 orang tentera Bugis. Sedang tentera Melayu melarikan diri, orang Bugis yang sudah biasa bertempur dengan tenang membuat formasi pertahanan mereka iaitu dengan membuat separuh lingkaran. Betapa nekadnya pejuang Minang menyerang 50 orang Bugis ini dengan sebelah tangan menetak musuh dan sebelah tangan lagi cuba merampas senjata orang Bugis tersebut. Oleh kerana ketenangan dan formasi pertahanan Bugis itu, hanya 10 orang sahaja tentera Belanda yang terkorban.
Daripada catatan-catatan sejarah inilah yang perlu diketengahkan untuk memberi suatu inspirasi baru kepada para pemuda untuk lebih mengenali bangsanya sendiri. Dengan itu, akan menghasilkan pemikiran yang percaya akan kehebatan bangsanya masa lampau. Perasaan kekurangan pada bangsa sendiri ditanam oleh penjajah dahulu untuk melemahkan pemikiran dan memasung minda bangsa tersebut supaya patuh pada penjajah yang datang ke mari untuk mentamadunkan manusia.
3.      Sains dan teknologi
Walaupun tiadalah ilmu sains dan teknologi yang boleh dibanggakan seperti keagungan sains dan teknologi Barat seperti sekarang, masih ada pemikiran sains dan teknologi dalam alam Melayu. Ia mungkin tidak termasuk dalam buku-buku teks sains pada zaman sekarang. Tetapi boleh dirujuk dalam catatan-catatan lama dan juga dalam manuskrip-manuskrip Melayu dahulu. Sebagai contoh, bagaimanakah orang Minang dapat mengetahui dalam najis haiwan adanya garam kalium nitrat yang merupakan garam yang penting dalam pembuatan peluru dan juga bahan peledak. Perkara ini harus dikaji dan sejarah kedatangan teknologi pembuatan senjata ini perlu diselongkar untuk melihat bagaimanakah orang Minang dapat mempelajari teknologi pembuatan senjata dan juga peluru. Apakah hubungan orang Minang dahulu yang menyebabkan teknologi persenjataan ini berpindah kepada mereka? Inilah persoalan sejarah yang perlu dirungkai oleh ahli sejarah kini untuk menyelongkar kembali ilmu-ilmu dan fakta-fakta sejarah yang telah dikuburkan oleh para penjajah. Daripada sejarah inilah para pemuda sekarang akan dapat belajar dan tahu bahawa bangsanya dahulu merupakan satu bangsa yang hebat. Banyak ilmu dan teknologi dilakukan mengikut acuan sendiri.
Selain daripada ilmu peperangan tersebut, terdapat juga dalam sejarah mengenai seorang anak Minang yang mengajar dan juga menjadi khatib di Masjidil Haram, Mekah iaitu Syeikh Ahmad Bin Abdul Latif al-Khatib. Syeikh Ahmad al-Khatib telah menulis dua buah kitab berkenaan dengan matematik iaitu Raudah al-Hussab fi ‘ilm al-Hisab yang menjadi kitab pengajarannya di Mekah dalam Bahasa Arab. Sebuah kitab lagi adalah Alam al-Hussab fi ‘ilm al-Hisab dalam Bahasa Melayu yang digunakan oleh beliau kepada anak muridnya yang masih tidak fasih dengan istilah-istilah matematik dalam Bahasa Arab. Kedua-dua kitab ini kebanyakannya banyak membincangkan mengenai konsep pilihatur dan gabungan dengan menyelesaikan masalah fekah dalam konteks masyarakat di Minang.
Sebagai contoh beliau dalam kitab tersebut adalah, seorang murid berjanji memberikan gurunya makan dengan menggunakan 4 pinggan satu dulang tetapi satu dulang tersebut hanya boleh memuatkan 3 pinggan. Bagaimanakah kaedah penyusunan pinggan tersebut menjadi suatu perbincangan dalam menyelesaikan masalah semasa itu. Selain itu, beliau ada membuat contoh bagaimana hendak memilih beberapa ekor burung nuri dalam beberapa sangkar untuk dijadikan permainan dan pertandingan. Beberapa ekor burung nuri terdapat dalam sebuah sangkar. Konsep pilihatur dan gabungan akan digunakan untuk menjawab persoalan tersebut. Mengapakah contoh memberi makan kepada guru dan juga pilihan burung nuri tersebut menjadi pilihan beliau? Jika diperhatikan pada sejarah lalu, memang menjadi sikap anak murid memberi makan kepada tuan gurunya apabila murid tersebut sedang atau telah habis pengajian kitabnya. Selain itu, sikap orang kampung yang suka bermain haiwan terutamanya burung nuri kerana bulunya mempunyai warna yang cantik serta pandai mengajuk kata-kata manusia. Di sini jelas dilihat bahawa orang dahulu membuat contoh dalam setiap pekerjaan mereka dengan merujuk kepada apa yang dilakukan oleh masyarakatnya sendiri. Bukan seperti sekarang jika matapelajaran pilihatur dan gabungan di ajar, contoh-contoh yang diberikan lebih kepada penggunaan kad judi, buah dadu dan juga buah epal yang tiada dalam masyarakat kita sekarang.
Di samping itu, dalam tulisan beliau, ada menyebut beberapa unit pengiraan yang digunakan pada waktu tersebut. Nilai matawang seperti sen, ringgit dan rupiah, pikul, kati, saga, kundi dan bungkal sebagai unit berat, hasta dan depa bagi unit panjang dan cupak serta gantang sebagai unit isipadu. Penulisan beliau ini mengenai sukatan ini telah ditulis sebuah kitab tulisan beliau dalam Bahasa Arab yang bertajuk Sulh al-Jama’tain. Selain daripada unit pengiraan, beliau juga turut membincangkan mengenai pendaraban dan pembahagian sehinggalah penentuan punca kuasa yang berpandukan kepada masalah harian masyarakat. Bilangan-bilangan nombor yang disebut oleh beliau dalam kitabnya juga menunjukkan pada masa lalu, sudah ada pembilangan untuk bilangan yang besar. Sudah tentu jika ada perkiraannya, sudah tentu ada benda yang dikiranya. Sudah tentu bilangan yang besar ini ada benda yang dikiranya samada dalam perdagangan ataupun dalam kehidupan seharian masyarakat setempat. Hanya sejarah yang boleh menentukan perkara apakah yang digunakan untuk menilaikan  benda-benda yang bernilai besar ini.
4.      Kesimpulan
            Sejarah yang ada sekarang kebanyakannya ditulis oleh orang barat dengan sarat dengan pandangan serta penelitian mereka. Apa yang ditulis oleh mereka pada masa lalu diambil dengan mudahnya oleh orang kita dengan mempercayainya bulat-bulat tanpa ada penelitian semula. Sedangkan penafsiran tentang pemerhatian mereka mungkin berbeza dengan apa yang sebenarnya berlaku pada waktu itu. Fakta-fakta yang dikemukakan oleh mereka menyebabkan anak muda pada masa kini dengan mudahnya percaya dengan kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam bangsa ini. Sikap tiada apa-apa pada bangsa ini yang diterapkan melalui pengajian sejarah serta menggambarkan bahawa bangsa ini baik sedikit daripada haiwan ditelan oleh anak muda tanpa membuat penyelidikan lanjut. Daripada apa yang telah diterangkan melalui catatan sejarah daripada penjajah, beberapa bukti penulisan manuskrip dan juga kitab, serta binaan-binaan gah seperti rumah gadang itu menunjukkan bahawa bangsa ini dahulu merupakan suatu bangsa yang hebat tetapi telah di dungukan dengan fakta-fakta mengarut daripada penulisan Barat.
Bagaimanakah mahu membuang segala fakta-fakta mengarut ini dalam minda anak muda kita? Pertamanya perlu ditulis semula sejarah awal kehidupan bangsa mengikut acuan bangsa itu sendiri. Segala kehebatan dan kekurangan perlu ditulis supaya kehebatan itu dapat diwarisi dan kekurangan itu dapat diatasi untuk anak muda masa hadapan tidak mengulanginya semula. Penulisan semula ini mengikut acuan yang telah ditetapkan dengan segala fakta-fakta dibongkar dan digilap semula untuk menjadikan pendidikan sejarah pada masa akan datang dapat membina jati diri atau karakter masyarakat yang tiada berjiwa hamba. Segala kehebatan bangsanya akan dibanggakan dan anak muda perlu diajar supaya dapat mengekalkan kehebatan itu dengan cuba mengatasi kehebatan yang terdapat pada bangsa Barat pada masa sekarang mengikut acuan tersendiri.
Penelitian semula terhadap fakta-fakta sejarah lalu perlu diperkemaskan dengan segala fakta yang meragukan ditapis dan diselidiki terlebih dahulu kebenarannya. Istilah sejarah ditulis oleh orang yang menang sudah boleh dilupakan tetapi perlu mempunyai istilah persejarahan yang baharu supaya segala bukti-bukti sejarah yang ada sekarang adalah lebih adil kepada semua pihak tidak kira kelebihan dan kelemahan sesebuah bangsa tersebut. Kelebihan itu perlu dikekalkan dan kelemahan perlu diatasi. Itulah konsep sejarah baharu yang perlu dilakukan oleh semua pihak. Rekod-rekod yang ada perlu didedahkan supaya pelajar ataupun masyarakat yang mengetahuinya dapat menilai sendiri mengenai kebenaran lalu. Masa kini bukanlah masanya untuk menutup kelebihan orang lain dan membenarkan kelemahan diri.
Penulisan semula sejarah ini akan membangkitkan semangat kepada genarasi akan datang untuk mengkagumi bangsa sendiri. Penulisan ini dapat membangkitkan karakter keberanian kepada generasi akan datang. Bukanlah niat untuk sekadar bangga dengan bangsa sendiri dan tidak melakukan apa-apa, tetapi perlulah selari kehebatan bangsanya yang lalu dengan meningkatkan kehebatan dan kemajuan hidup bangsa mereka pada masa kini serta akan datang.

Rujukan
Anthony Reid. 2004. An Indonesian Frontier: Acehness and other Histories of Sumatra. Singapore: University od Singapore Press
Christine D. 2008. Gejolak Ekonomi, Kebangkitan Islam dan Gerakan Padri: Minangkabau 1784-1847. Komunitas Bambu.
Hendriks. 1881. Oorlogvoeren op Sumatera. Indische Militair Tijdschrift. Terjemahan internet (15 Okt 2012)
Marsden William. 1783. History of Sumatera. London. The Project Gutenberg EBook.
Paul M.N., 2006. Early Kongdoms of The Indonesian Archipelago and The Malay Peninsula. Didier Millet.
Navis. A.A. 1994. Cerita Rakyat dari Sumatera Barat. Jakarta. Grasindo.

Rusli Amrin. 1981. Sumatera Barat hinggan Plakat Panjang, 


Kertas ini dibentangkan pada Seminar pada Festival Kesenian Sumatera (22-23 Feb 2014)

KUBU PERTAHANAN MINANGKABAU



Setiap kaum yang terdapat di nusantara ini pasti mempunyai pengalaman dengan penjajah yang datang daripada Barat. Tidak kiralah sama ada menjadi pengikut ataupun menjadi penentang penjajah tersebut. Bagi yang menentang kemasukan penjajah ke dalam tanah air mereka, terdapat berbagai-bagai kaedah yang dapat diperhatikan untuk mereka melawan musuh. Setiap kaum mempunyai kaedah tersendiri berdasarkan ilmu yang ada dalam dada mereka. Tidak terlepas juga kaum di Minangkabau. Mereka juga merupakan antara penentang kemasukan tentera Belanda yang agak sukar ditentang oleh tentera Belanda. Kaum Minangkabau ini mempunyai kaedah yang tersendiri dalam menyusun atur pertahanan mereka menentang Belanda.
            Tidak banyak penulisan yang dapat didapati untuk melihat dengan mendalam mengenai strategi peperangan orang Minang. Tetapi terdapat beberapa catatan daripada Belanda dan juga British mengenai orang Minang di samping bagaimana mereka mendirikan pertahanan semasa peperangan berlangsung. Antara catatan yang boleh didapati adalah Hendrix daripada Belanda dan juga Marsden daripada British. Tulisan Marsden hanyalah catatan mengenai sejarah Sumatera yang dikumpulkan dan setiap perkara yang Marsden kumpulkan semasa beliau tinggal di Sumatera. Catatan Marsden diperolehi daripada laporan, temu bual, surat menyurat beliau terhadap orang yang pernah tinggal atau datang ke Sumatera di samping pengalaman beliau sendiri. Tulisan Hendrix pula lebih mendalam kerana bukunya yang bertajuk “Berperang di Sumatera” merupakan sebuah buku yang wajib dibaca oleh para tentera Belanda sebelum dihantar ke Sumatera. Buku tulisan Hendrix ini merupakan catatan beliau semasa beliau menjadi Kapten tentera Belanda di Sumatera. Beliau mengumpulkan maklumat berkenaan peperangan di Sumatera dan menyatakan sikap dan sifat setiap pertempuran mereka di Sumatera. Sangat menarik hati kerana beliau ada menyatakan bahawa orang Minang merupakan kaum yang sangat sukar untuk dikalahkan kerana mereka bijak menggunakan alam sekeliling sebagai benteng pertahanan  mereka.
            Kepakaran mereka membina benteng membolehkan orang Minang hanya perlu menggunakan sedikit tenaga tentera untuk mengawal pintu kubu-kubu mereka. Kelainan yang boleh dilihat orang Minang semasa mereka berperang adalah mereka suka duduk di sebalik kubu pertahanan mereka daripada pergi menyerang secara terbuka seperti kaum lain. Cara mereka bertahan ini ada di catatkan dalam catatan Hendrix. Hendrix menambah lagi bahawa orang Minang menggunakan ranjau yang runcing untuk dipasang dalam laluan musuh mereka. Ini menyebabkan barisan musuh akan sukar bergerak maju ke hadapan. Semasa musuh sedang berhati-hati untuk mengelakkan halangan daripada buluh runcing itu, mereka akan menyerang dengan menyerang secara mengejut dan ini akan mengkucar kacirkan barisan musuh. Sistem pertahanan yang terpenting bagi orang Minang adalah pagar-pagar diperbuat daripada buluh berduri panjang. Buluh berduri panjang ini ditanam rapat-rapat sehinggakan apabila sudah besar buluh ini, ia menjadi kawasan buluh yang semak. Semak ini sukar dilalui oleh pasukan Belanda tetapi menjadi kelebihan kepada pihak Minang kerana mereka dapat mengetahui segala gerak geri tentera Belanda berdasarkan pergerakan rumpun buluh tersebut. Pokok buluh ini apabila sudah mencapai umur empat tahun akan menjadi hutan berduri panjang yang mustahil untuk ditembusi. Belanda menggelarkan hutan berduri panjang yang sukar ditembusi ini sebagai bamboo aur.
Dalam peperangan dengan penduduk Kampung Pauh, benteng yang diperbuat daripada tembok batu mengelilingi kampung ini. Tembok batu setebal 5 meter dengan ketinggian 3 hingga 5 meter mengikut keadaan. Seorang ketua tentera Belanda bernama Boelhower dalam bukunya, ‘Kenang-kenangan Sewaktu di Sumatera Barat Tahun 1831-1834’ yang diterbitkan di Belanda pada 1841 menceritakan mengenai pertahanan Bonjol yang sukar ditembusi. Menurut beliau,
“Bonjol terletak di atas bukit berbentuk segi empat panjang yang dipisahkan oleh sebuah sungai yang mempunyai aliran air yang deras. Tiga sisi Bonjol dikelilingi oleh dinding pertahanan dua lapis setinggi lebih kurang 3 meter. Tembok luar terdiri daripada batu-batu besar yang merupakan tembok benteng yang kukuh dengan teknik pembinaannya hampir sama dengan benteng-benteng di Eropah. Di antara lapisan benteng tersebut dibuat parit yang dalam selebar 4 meter. Di atas tembok benteng tersebut ditanam dengan buluh berduri yang sudah hampir menjadi hutan duri. Hutan duri ini sukar ditembusi kerana duri dan juga kepadatannya. Orang-orang Minang menggunakan hutan duri ini sebagai beneng dan tempat untuk memerhatikan pergerakan musuh. Mereka menempatkan pengintai dan juga penembak tepat di sebalik hutan duri tersebut. Selain dapat memantau pergerakan musuh, serangan mengejut dapat dilakukan jika musuh mara kerana pergerakan agak terbatas di dalam kawasan hutan duri itu.
Dapat dilihat pada beberapa tempat meriam kaliber 12 poin dengan pedati beroda kayu tanpa jejari untuk mengangkut meriam tersebut. Berhampiran meriam tersebut dapat dilihat batu-batu bulat yang digunakan untuk menggantikan peluru. Sungguh menghairankan bagaimana orang Minang dapat membawa meriam sebesar itu menaiki bukit sedangkan pihak kami (Belanda) hanya mampu membawa meriam kaliber 3 poin, itupun hanya boleh diangkat dengan menggunakan tali secara beramai-ramai. Diluar Bonjol, terdapat masjid berbentuk segi empat yang dibina tanpa menggunakan paku dan besi. Atap masjid ini mempunyai 5 lapisan yang semakin kecil pada lapisan teratas. Keluasan masjid ini dapat menampung 3000 orang pada satu-satu masa. Orang Minang ini jika mereka mahu, boleh mencapai tahap kemajuan yang sama dengan Eropah.”
Kubu-kubu pertahanan tentera Minang begitu kuat dan memiliki beberapa tempat masuk yang sempit sehinggakan sangat susah untuk ditembusi oleh tentera Belanda. Ini merupakan suatu teknologi pembinaan kubu oleh pihak Minang yang dikuasai oleh mereka hanya dengan menggunakan alam sekitar sebagai pertahanan. Kehebatan orang Minang membina pertahanan membolehkan mereka hanya memerlukan sedikit tentera sahaja untuk menjaga dan berkawal di setiap pintu masuk kubu kerana pintu masuk yang sukar ditembusi hanya membenarkan sedikit sahaja tentera Belanda untuk merempuh pintu kubu tersebut. Di kawasan Lintau pula, dataran Lintau dikelilingi oleh barisan bukit dan lembah yang dalam. Terdapat empat pintu masuk ke dataran tersebut yang amat mudah untuk dipertahankan oleh tentera Minang iaitu di Marapalam, Bukit Pauh, Atar dan Padangsibusuk.
            Di sini jelaslah bahawa teknologi dalam pembinaan kubu pertahanan Minangkabau merupakan teknologinya tersendiri. Ini dapat dipastikan daripada catatan-catatan barat yang membandingkan cara orang Minang dan kaum lain berperang. Keadaan semula jadi yang berbukit bukau serta hutan yang tebal membolehkan orang Minang menggunakan kelebihan mereka mengenali hutan tersebut untuk membuat benteng pertahanan mereka. Selok belok dalam hutan dan juga keadaan bukit bukau dalam kawasan peperangan itu menjadikan orang Minang mendapat kelebihan yang besar untuk mengalahkan tentera Belanda. Belanda juga mengakui bahawa berperang dengan orang Minang di Sumatera tidaklah sesukar berperang dengan Diponegoro di Jawa.


Tulisan ini adalah untuk majalah Gadang (Feb 2014)

TEKNOLOGI PEPERANGAN ORANG MINANG




MUHAMAD SHAFIQ BIN MOHD ALI & ZULISKANDAR RAMLI
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak
Orang Minangkabau di Sumatera Barat sangat terkenal dengan budaya adat perpatih, dan juga rumah gadangnya. Namun fakta bagaimana kaum ini berperang dengan Belanda jarang dibincangkan. Mengenai teknologi pembuatan senapangnya yang tersendiri walaupun dipelajari daripada luar iaitu daripada Turki dan juga China. Senapang dan juga peluru juga mereka arif membuatnya tanpa bergantung kepada pembekal dari luar. Teknologi senapang mereka hanya ketinggalan beberapa tahun sahaja berbanding senapang daripada Eropah. Selain itu orang Minang begitu bijak untuk menggunakan kelebihan alam semula jadi sebagai benteng pertahanan mereka melawan musuh. Alam sekitarnya yang berbukit, lembah dan kawasan berbatu membolehkan mereka menyusun strategi peperangan yang tidak dapat dibayangkan oleh pihak Belanda. Persiapan mereka membina benteng selama beberapa tahun menjadikan benteng mereka sukar untuk ditembusi. Teknik dan taktik peperangan yang berbeza dengan kaum lain turut diketengahkan. Mereka tidak menyerang musuh secara melulu tetapi hanya menunggu di belakang benteng dan menyerang secara mengejut. Hanya sesekali sahaja mereka akan menyerang dahulu itupun jika mereka yakin bahawa serangan itu akan membuahkan hasil yang baik. Perbandingan yang dibuat daripada taktik peperangan di Jawa membuktikan orang Minang mempunyai taktik peperangannya yang tersendiri. Pihak Belanda terpaksa melakukan penyelidikan, pemerhatian dan beberapa percubaan untuk berjaya menawan kawasan atau daerah yang telah dikuasai oleh pejuang Minang. Kertas ini tidaklah memberi suatu fakta terbaru, hanya mengumpul tulisan dan catatan daripada pihak Belanda bagaimana mereka bertempur, berperang dan bertahan daripada serangan pejuang Minang.

Pembuatan Senapang
            Orang minang sudah pandai membuta senapang dan juga mengeksport hasil senapang mereka pada abad ke-18 beserta pelurunya. Antara kerajaan yang membeli senapang hasil tangan orang minang ini adalah Acheh dan juga Portugis. Orang minang ini juga selain pandai membuat senapang, mereka juga golongan yang pandai menggunakan senapang dengan sebaiknya. Seorang Belanda yang pernah berkunjung ke Sumatera Barat sewaktu Perang Padri sedang berlangsung ada menulis mengenai kehebatan orang minang dengan menyatakan keberanian, terlatihnya tentera mereka dalam peperangan, penembak yang jitu dan juga bangsa yang pandai menggunakan alam semula jadi sebagai benteng pertahanan yang kukuh serta sukar ditembusi. Kepandaian menggunakan senapang, ditambah pula dengan boleh membuat senapang sendiri, menjadikan orang minang boleh menginovasi senapang yang dibawa daripada China dan Turki. Perbezaan senapang yang diimport daripada luar dengan senapang yang diperbuat sendiri oleh orang minang adalah adanya sumbu khas. Fungsi sumbu ini hanya diketahui oleh orang minang sahaja kerana senapang jenis ini tidak pernah dilihat dari mana-mana bahagian pembuatan termasuklah kerajaan Islam Uthmaniyyah yang mengajar orang minang membuat senapang melalui wakil daripada kerajaan Turki. Rusli Amrin (1981) ada menyatakan senapang yang dibuat oleh orang minangkabau ini serupa dengan senapang yang dibawa oleh Belanda, cumanya senapang ciptaan orang minang hanya ketinggalan setahun dua sahaja.
            Daerah yang terkenal dengan industri pembuatan senapang adalah di Sg. Yani dan juga Sg. Puar. Teknologi pembuatan peluru senapang adalah sangat unik bagi orang minang kerana pembuatan peluru biasanya dilakukan oleh orang-orang perempuan yang tidak pergi berperang. Ini memberi sumbangan besar dalam membantu lelaki yang sibuk berperang manakala perempuannya menghasilkan peluru di rumah semasa ketiadaan lelaki. Kebiasaannya, peluru yang digunakan adalah peluru timah yang dicampur dengan pecahan porselin, besi dan beras. Bahan pecahan ini dimasukkan ke dalam peluru adalah untuk menyebarkan bahagian-bahagian kecil itu ke dalam tubuh musuh. Peluru senapang ini dibuat dengan mencampur saltpeter (kalium nitrat) yang diambil daripada najis haiwan dengan belerang yang diperolehi daripada gunung berapi mahupun sumber air panas dan arang. Saltpeter dan belerang akan dimasak di atas wajan besi pada suhu yang amat tinggi. Menurut Anthony Reid (2004), kaedah yang digunakan oleh orang Minang merupakan kaedah yang sederhana tetapi sangat merbahaya. Anthony juga merasa hairan kerana kemalangan yang berlaku semasa proses pembuatan ini amatlah kecil kerana mereka bukanlah melakukan proses tersebut dalam kilang khas yang mempunyai sistem keselamatan yang tinggi. Mereka hanya membuat peluru ini di rumah-rumah sendiri. Ini menunjukkan bahawa tahap ketelitian mereka semasa melakukan proses pembuatan peluru tersebut dengan keadaan berjaga-jaga supaya tiada kecelakaan berlaku.
            Kebanyakan sejarawan tidak dapat mengenal pasti bilakah kali pertama orang Minang mengenal dan pandai membuat senapang ini. terdapat dua kemungkinan bagaimana orang Minang boleh mengenal dan membuat senapang sendiri serta menguasai kemahiran serta teknologi pembuatan senapang. Pertamanya adalah daripada kerajaan China dalam era Maharaja Ming iaitu antara 1390-1527 kerana pada akhir abad ke 14 dan awal abad ke 15, teknologi pembuatan senapang dan peluru daripada China telah tersebar di seluruh Semenanjung Melaka dan Sumatera yang menyebabkan penyebaran besar-besaran teknologi pembuatan senjata ke atas kerajaan-kerajaan daerah di Melaka dan Sumatera sebelum orang Eropah datang memperkenalkan senapang dan senjata-senjata mereka (Sun Laicen, 2003).
Kemungkinan kedua adalah daripada kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pencerobohan tentera Portugis ke Lautan Hindi untuk menguasai jalur perdagangan lada pada 1489 memaksa kerajaan Acheh meminta perlindungan serta bantuan ketenteraan daripada Kerajaan Turki dengan membawa ufti dan surat pengakuan Kerajaan Acheh tunduk pada Kerajaan Turki. Sebagai balasan, pada 1520, Vezir Sinan Pasha mengirimkan pedang dan juga meriam Turki sebagai bantuan awal kepada Acheh. Selepas itu, pada 1537, Sultan Suleiman mengirim armada lautnya ke Gujerat untuk menghancurkan angkatan laut Portugis dan pasukan ini tiba di Acheh bagi membantu Acheh berperang melawan Batak serta saki baki tentera Portugis. Sepucuk surat daripada Sultan Awaluddin pada 1567 meminta bantuan ketenteraan daripada pihak Turki dan Sultan Selim II menghantar bantuan ketenteraan bagi membantu Acheh berperang dengan Portugis. Selain menghantar tentera, baginda Sultan Selim II turut mengirim bersama tukang-tukang yang berpengalaman untuk membina senjata antaranya ahli dalam pembuatan senapang dan meriam untuk kegunaan Acheh (Marsden, 1783). Kehadiran tukang yang mahir itu membolehkan penduduk tempatan mempelajari dan pandai membuat sendiri sehinggakan meriam dan senapang yang diperbuat oleh penduduk tempatan digunakan dengan meluasnya apabila peperangan yang berlaku antara orang Minang dan juga Belanda dalam perang Padri.
Namun, kemungkinan yang lebih dipercayai adalah daripada China dengan pembuktian peluru senapang dan meriam tersebut. Peluru tersebut diperbuat daripada saltpeter  (kalium nitrat). Terdapat dalam catatan arab dan parsi yang menyatakan saltpeter tersebut dengan gelaran ‘salji China’ (arab) dan ‘garam China’ (Parsi). Sumber kalium nitrat yang diperolehi juga merupakan antara teknologi China mendapatkan garam tersebut iaitu daripada najis haiwan. Mengikut sejarahnya, sumber garam ini didapati daripada suku kaum China yang sekarang ini berada di Laos. Mereka membakar roket pada perayaan Bang Fei dan kalium nitrat diperlukan untuk melancarkan roket ini. Kaum ini mendapatkan sumber saltpeter daripada najis haiwan sama seperti yang dilakukan oleh orang Minang untuk mendapatkan saltpeter peluru. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan sumbangan kerajaan Turki yang menghantar wakil atau tukang membuat senjatanya. Mungkin orang Minang mengambil daripada kedua-duanya dan mengubah senjata mereka mengikut citarasa tersendiri.
Teknologi Benteng
            Semasa berperang dengan Belanda, orang Minang sangat pakar dalam membina benteng. Kepakaran mereka dalam membina benteng membolehkan mereka hanya menggunakan tentera yang sedikit untuk mengawal benteng pertahanan mereka. Di samping itu, orang Minang lebih senang bertahan dalam benteng yang dibina dengan kukuh dan memanfaatkan alam sekeliling sebagai pertahanan. Orang Minang menggunakan ranjau daripada buluh yang sangat runcing untuk dipasang pada laluan musuh. Sistem pertahanan yang terpenting bagi orang Minang adalah pagar-pagar diperbuat daripada buluh berduri panjang. Buluh berduri panjang ini ditanam rapat-rapat sehinggakan apabila sudah besar buluh ini, ia menjadi kawasan buluh yang semak. Semak ini sukar dilalui oleh pasukan Belanda tetapi menjadi kelebihan kepada pihak Minang kerana mereka dapat mengetahui segala gerak geri tentera Belanda berdasarkan pergerakan rumpun buluh tersebut. Pokok buluh ini apabila sudah mencapai umur empat tahun akan menjadi hutan berduri panjang yang mustahil untuk ditembusi. Belanda menggelarkan hutan berduri panjang yang sukar ditembusi ini sebagai bamboo aur.
Dalam peperangan dengan penduduk Kampung Pauh, benteng yang diperbuat daripada tembok batu mengelilingi kampung ini. Tembok batu setebal 5 meter dengan ketinggian 3 hingga 5 meter mengikut keadaan. Seorang ketua tentera Belanda bernama Boelhower dalam bukunya, ‘Kenang-kenangan Sewaktu di Sumatera Barat Tahun 1831-1834’ yang diterbitkan di Belanda pada 1841 menceritakan mengenai pertahanan Bonjol yang sukar ditembusi. Menurut beliau,
“Bonjol terletak di atas bukit berbentuk segi empat panjang yang dipisahkan oleh sebuah sungai yang mempunyai aliran air yang deras. Tiga sisi Bonjol dikelilingi oleh dinding pertahanan dua lapis setinggi lebih kurang 3 meter. Tembok luar terdiri daripada batu-batu besar yang merupakan tembok benteng yang kukuh dengan teknik pembinaannya hampir sama dengan benteng-benteng di Eropah. Di antara lapisan benteng tersebut dibuat parit yang dalam selebar 4 meter. Di atas tembok benteng tersebut ditanam dengan buluh berduri yang sudah hampir menjadi hutan duri. Hutan duri ini sukar ditembusi kerana duri dan juga kepadatannya. Orang-orang Minang menggunakan hutan duri ini sebagai beneng dan tempat untuk memerhatikan pergerakan musuh. Mereka menempatkan pengintai dan juga penembak tepat di sebalik hutan duri tersebut. Selain dapat memantau pergerakan musuh, serangan mengejut dapat dilakukan jika musuh mara kerana pergerakan agak terbatas di dalam kawasan hutan duri itu.
Dapat dilihat pada beberapa tempat meriam kaliber 12 poin dengan pedati beroda kayu tanpa jejari untuk mengangkut meriam tersebut. Berhampiran meriam tersebut dapat dilihat batu-batu bulat yang digunakan untuk menggantikan peluru. Sungguh menghairankan bagaimana orang Minang dapat membawa meriam sebesar itu menaiki bukit sedangkan pihak kami (Belanda) hanya mampu membawa meriam kaliber 3 poin, itupun hanya boleh diangkat dengan menggunakan tali secara beramai-ramai. Diluar Bonjol, terdapat masjid berbentuk segi empat yang dibina tanpa menggunakan paku dan besi. Atap masjid ini mempunyai 5 lapisan yang semakin kecil pada lapisan teratas. Keluasan masjid ini dapat menampung 3000 orang pada satu-satu masa. Orang Minang ini jika mereka mahu, boleh mencapai tahap kemajuan yang sama dengan Eropah.”
Kubu-kubu pertahanan tentera Minang begitu kuat dan memiliki beberapa tempat masuk yang sempit sehinggakan sangat susah untuk ditembusi oleh tentera Belanda. Ini merupakan suatu teknologi pembinaan kubu oleh pihak Minang yang dikuasai oleh mereka hanya dengan menggunakan alam sekitar sebagai pertahanan. Kehebatan orang Minang membina pertahanan membolehkan mereka hanya memerlukan sedikit tentera sahaja untuk menjaga dan berkawal di setiap pintu masuk kubu kerana pintu masuk yang sukar ditembusi hanya membenarkan sedikit sahaja tentera Belanda untuk merempuh pintu kubu tersebut. Di kawasan Lintau pula, dataran Lintau dikelilingi oleh barisan bukit dan lembah yang dalam. Terdapat empat pintu masuk ke dataran tersebut yang amat mudah untuk dipertahankan oleh tentera Minang iaitu di Marapalam, Bukit Pauh, Atar dan Padangsibusuk.
Strategi Peperangan
Bagaimana pencapaian tentera Minang dalam medan tempur? Hampir semua penulis Belanda mengakui bahawa dalam peperangan, orang Minang adalah musuh yang paling sukar untuk dikalahkan. Oleh kerana itulah selepas 15 tahun berperang barulah Bonjol dapat dikuasai oleh Belanda. Sehinggakan terdapat tulisan daripada orang Belanda sendiri yang mengakui Minangkabau merupakan penduduk paling kuat melawan dan paling sukar untuk ditangani oleh penjajah Belanda.
Kapten Hendrix, kapten tentera Belanda ada menulis catatan mengenai peperangan di Sumatera Barat, pengalamannya dan petunjuk bagaimana berperang dengan lebih jitu berdasarkan pengalamannya semasa beliau menjadi kapten di Sumatera Barat. Catatannya dikumpulkan dan dibukukan selepas beliau meninggal dunia. Buku catatan tersebut diberi judul “Berperang Di Sumatera” diterbitkan pada 1881. Hendrix menasihatkan dalam catatannya agar musuh daripada Sumatera itu jangan diambil ringan dan mengambil mudah dengan mereka. Ini kerana, menurut Hendrix dalam keadaan yang paling sukar sekalipun, orang Minang masih boleh menunjukkan keberanian mereka yang luar biasa. Contoh terbaik adalah semasa menyerang Lintau, orang Minang sewaktu itu bertahan sehingga manusia yang terakhir walaupun mereka mempunyai waktu untuk mengundur diri melalui sebuah lubang di bahagian belakang kubu pertahanan. Pejuang-pejuang ini sudah biasa dan di ajar agar bertempur sehingga titisan darah terakhir dalam benteng yang telah dibina.
Para pejuang Minang tidak akan menyerang dilapangan terbuka kecuali jika mereka melihat kita sedang berbaris, kata Hendrix. Dalam hal yang demikian, orang Minang pintar sekali mengambil posisi untuk menyerang setiap sudut. Hal ini pernah dialami oleh Vermeulen Krieger sewaktu berundur dari Pisang setelah pemberontakan yang hebat di Bonjol pada 11 Januari 1833. Selain daripada itu, tentera Minang dengan bijak sekali mempergunakan kekacauan dalam barisan pihak Belanda. Beberapa orang pejuang Minang sahaja sudah cukup untuk mengamuk dengan menggunakan kelewang yang dihayun kiri dan kanan untuk mengucar kacirkan tentera bantuan Belanda yang terdiri daripada orang Melayu. Amukan ini membuatkan orang Melayu tersebut melarikan diri meninggalkan barisan serta meninggalkan barangan yang mereka bawa. Hendrix menambah jika pasukannya memasuki benteng musuh maka tentera Melayu biasanya menunggu perkembangan pertempuran. Apabila musuh mulai berhasil diusir daripada bentengnya, mereka menjadi pasukan yang terbaik untuk memusnahkan dan mengejar tentera Minang. Sebahagian tentera Belanda turut berminat untuk mengejar pejuang Minang kerana tertarik dengan hasil barangan yang akan diperolehi. Kebiasaannya apabila orang Minang melarikan diri, mereka akan menyerang semula semasa tentera Belanda memasuki benteng mereka yang tertutup. Tentera Belanda yang terkepung dalam benteng akan huru-hara ingin keluar dari benteng sehinggakan berpusu-pusu dan ada yang terpijak rakan sendiri.
Perang orang Minang dengan Belanda banyak memberi contoh bahawa pejuang Minang berkumpul di belakang bukit, dalam jurang dan juga semak belukar. Dalam keadaan yang tidak dijangka ini, mereka menunggu saat terbaik untuk mengadakan serangan dengan hebatnya. Hendrix menyatakan biarlah tentera Melayu sahaja yang mengejar pejuang Minang. Hendrix menyatakan antara kesalahan tentera Belanda adalah mereka membakar dan merompak barangan orang Minang sedangkan orang Minang hanya bertahan di gua-gua batu, hutan dan puncak bukit menyusun strategi serangan. Semasa tentera Belanda sedang  seronok berhibur kerana dapat merampas sebuah kubu orang Minang, pejuang Minang akan menyerang kembali secara serang hendap. Jika terdapat bantuan lain daripada luar, pejuang Minang akan memutuskan jalan perhubungan antara pos kawalan Belanda. Pejuang Minang mampu bertahan dengan keadaan sebegini berbulan-bulan lamanya kerana semangat yang ada pada mereka. Jika mereka berjumpa dengan musuh di tengah-tengah jalan sekalipun mereka akan cuba menyerang. Inilah semangat yang ditanamkan dalam setiap pejuang Minang. Selalu juga berlaku apabila pejuang Minang mengundurkan diri dengan sengaja dan meninggalkan beberapa orang mereka di bentenh untuk mengumpan bahawa mereka ingin bertahan. Jika Belanda menyerang secara besar-besaran, mereka yang tinggal tadi akan segera melarikan diri. Maka biasanya Belanda terpedaya dan mengejar untuk menyerang pejuang Minang. Pejuang Minang yang telah berundur awal telah bersedia di balik bukit, batu besar, hutan kecil atau lembah yang kemudiannya menyerang secara mengejut tentera Belanda yang cuba mengejar saki baki pejuang Minang. Kekacauan berlaku dalam kumpulan Belanda kerana serangan mengejut serta datang dari pelbagai arah yang mereka tidak dapat menangkisnya. Inilah sebab utama mengapakah banyak kali pihak Belanda tewas dalam tangan pejuang Minang.
Orang Melayu yang menjadi tentera Belanda selalu berasa gerun dengan keberanian pejuang Minang. Jika tentera Melayu ini terserempak dengan pejuang Minang, mereka akan melarikan diri apabila terdapat peluang. Menurut catatan Hendrix juga, jika serangan yang dimulakan oleh pejuang Minang, akan dapat didengar teriakan, pekikan dan jeritan yang menakutkan, keras serta kuat. Suara-suara ini sahaja dapat mengkucar-kacirkan keadaan Belanda disamping dapat meningkatkan semangat pejuang Minang. Pernah terjadi satu peristiwa 30 orang pejuang Minang menakutkan 2000 orang tentera Belanda yang diwakili oleh orang Melayu. Menurut Hendrix, untuk mengalahkan pejuang Minang yang penting jangan takut atau cemas. Pernah 60 pejuang Minang menakutkan dan mengacau bilaukan ribuan tentera Belanda yang diwakili oleh 50 orang Bugis. Namun, 50 orang Bugis ini tetap tenang dengan membuat formasi peperangan mereka iaitu separuh lingkaran. Begitu nekadnya pejuang Minang menyerang tentera Bugis yang tidak lari dengan sebelah tangan menetak musuh manakala sebalah tangan lagi akan cuba merampas senjata musuh. Hasil daripada ketenangan orang Bugis tersebut menyebabkan hanya 10 orang sahaja tentera Belanda yang terkorban.
Salah satu muslihat pejuang Minang juga adalah pandainya mereka berpura-pura seakan-akan tiada niat untuk menyerang  Belanda. Ini dialami oleh Van Bervevoorde sewaktu dalam perjalanan dari Rao ke Bonjol. Beliau berangkat membawa pasukan sebesar 70 orang dan kebanyakannya orang Madura yang berpengalaman dalam berperang. Selama dalam perjalanan, tiada serangan yang dilakukan oleh orang tempatan malah mereka melihat ramai rakyat tempatan sedang mengerjakan kerja masing-masing seperti membuat jalan, membina rumah serta bertani. Rakyat tempatan yang sedang melakukan kerja masing-masing menegur para tentera dengan ramah dan hormat. Tentera Van Bervevoorde berhenti rehat di satu kawasan lapang berdekatan dengan Bonjol. Sedang semua tentera berehat di bawah pohon, senapang di susun di satu bahagian dengan keadaan berjauhan dengan tempat mereka berehat. Pejuang Minang sedang melihat mereka berehat begitu mulailah menyerang pasukan tentera Belanda yang sedang berehat itu. Oleh kerana mereka jauh daripada senjata mereka, tentera Belanda tidak dapat bertahan dengan upaya mereka. Seluruh pasukan tersebut dapat ditumpaskan oleh pejuang Minang dan hanya dua orang sahaja dapat menyelamatkan diri dengan berenang menyeberangi Sungai Masang.
Bagi orang Minang, jika tenteranya mundur bererti satu kekalahan. Oleh sebab itulah para pejuang Minang akan menyerang walaupun tinggal seorang. Semakin ramai rakan-rakan mereka terkorban, semakin bersemangat mereka melancarkan serangan. Oleh kerana itulah, orang Minang sebelum menyerang akan melakukan perisikan yang akan menentukan sama ada keadaan pertahanan musuh boleh ditembusi. Serangan secara mengejut pejuang Minang ke atas tentera Melayu Belanda  menyebabkan orang Melayu itu segera melarikan diri, bingung dan kacau bilaukan barisan Belanda. Seperti kekalahan Belanda ke atas pejuang Minang di Marapalam pada 1824. Menurut Hendrix, kekalahan ini disebabkan oleh serangan pejuang Minang kepada Belanda sehinggakan meriam-meriam berat Belanda berjaya dirampas oleh pejuang Minang.
Pada tahun 1822 di Kapau, Leftenen Kolonel Raaf bersama anak buahnya menghadapi tentangan yang hebat daripada pejuang Minang. Beliau kehilangan ramai tenteranya serta kehilangan beberapa buah meriamnya yang agak berat. Kapau secara semula jadinya sudah menjadi benteng yang kukuh dengan parit serta bukit sekelilingnya. Raaf hampir ditangkap oleh pejuang Minang oleh kerana tenteranya ramai yang terbunuh dan melarikan diri. Selepas dapat memperkuatkan kembali tenteranya, raaf cuba menyusun ketenteraannya untuk menyerang Lintau kerana bagi Raaf, kejatuhan Lintau akan menyebabkan kekuatan pejuang Minang dapat dipatahkan.
13 April 1823, Belanda mulai bergerak ke Marapalam untuk menyerang Lintau. Meriam disusun bagi menyerang secara serentak tetapi dengan serangan meriam sekalipun masih tidak dapat mengalahkan pejuang Minang. Malah, pejuang Minang dengan berani menyerang semula Belanda. Serangan daripada pejuang Minang juga menyebabkan Belanda terpaksa mengundurkan diri. Menurut Raaf, yang menyukarkan mereka untuk menyerang adalah keadaan lapangan peperangan yang sukar, bukit bukau yang curam untuk didaki, parit yang mempunyai ranjau-ranjau tajam, dan pertahanan musuh yang berlapis-lapis. Lapisan pertahanan ini terlalu merbahaya untuk diserang secara hadapan kerana Belanda tidak dapat melihat apa yang ada dalam lapisan pertahanan tersebut tetapi pejuang Minang dengan jelasnya dapat melihat pergerakan Belanda. Menurut Raaf juga, setiap rintangan yang dihadapi masih ada lagi yang perlu diharungi dan pertahanan yang seterusnya itu lebih kukuh dan lebih merbahaya. Semakin dekat Belanda dengan pertahanan pejuang Minang, semakin ramai tentera Belanda yang terkorban. Selain itu, pejuang Minang juga mengatur sistem pengairan dilereng-lereng bukit yang curam menyebabkan lereng-lereng itu terlalu licin dan sukar untuk dipanjat. Satu-satunya jalan yang boleh digunakan untuk mengahncurkan pertahanan pejuang Minang adalah dengan menggunakan meriam-meriam berkaliber besar. Tetapi, meriam-meriam ini amat sukar dibawa mendaki bukit-bukit yang curam kerana amat berat malah dengan keadaan curam yang licin.
Semasa Belanda cuba mendapatkan kembali meriam-meriamnya yang telah dirampas oleh pejuang Minang, ia diketahui oleh pejuang Minang dan mereka menyerang dengan dahsyat. Pertempuran secara jarak dekat terjadi dengan menggunakan senapang sebagai alat penukul atau penusuk yang dilakukan oleh tentera Belanda. Manakala pejuang Minang hanya menggunakan klewang panjang. Pada mulanya pertempuran terjadi dengan seimbang tetapi oleh sebab diasak dengan kuat ole pejuang Minang menyebabkan Belanda terpaksa berundur. Menurut catatan Belanda lagi, klewang yang digunakan oleh pejuang Minang lebih panjang dan lebih mudah untuk menyerang. Ini memberi kelebihan kepada pejuang Minang dalam menguasai lapangan peperangan. Dalam masa pertempuran itu berlaku, pejuang Minang akan mempertahankan diri serta rakan-rakan mereka yang lain. Ini membuatkan tentera Belanda leka dengan serangan tersebut sehinggakan ada satu kumpulan daripada pejuang Minang yang cuba merampas empat lagi meriam yang masih terdapat pada Belanda.
Walaupun kelebihan kepada pejuang Minang, bantuan daripada tentera Belanda yang lain membolehkan pejuang Minang diasak sehinggakan mereka juga turut berundur. Tentera Belanda yang telah kehilangan banyak senjata dan kehabisan peluru menggunakan bayonet sahaja untuk menyerang kembali pejuang Minang. Satu kebaikan daripada pejuang Minang ini adalah mereka tidak menyerang semasa mereka mengetahui musuh berada dalam keadaan sangat lemah. Etika peperangan inilah yang patut dicontohi. Ini dapat dilihat dalam catatan Janeral Van Geen dalam buku hariannya
“Untunglah musuh tidak mempergunakan kemenangan itu sebaik-baiknya, walaupun kami telah kehilangan semangat kerana kalah, kami tidak dikejar oleh mereka. Pada pertarungan itu, 3 wira meninggal dan 45 serdadu, 9 perwira dan 178 tentera bawahan luka berat”
Janeral Van Geen juga ada menyatakan dan mengakui kemenangan lebih besar boleh dicapai oleh pejuang Minang jika mereka betul-betul mengejar pasukan Belanda sewaktu sedang mengundurkan diri. Dapat dilihat etika peperangan yang bukan berlandaskan kemenangan semata-mata.
            Walaubagaimanapun, tempat pertama yang dapat ditembusi oleh Belanda adalah Marapalam. Di Marapalam tentera Belanda menyusun strategi untuk menumpaskan pejuang Minang dan mula menyerang Padangsibusuk. Namun, sekali lagi alam sekitar menjadi halangan. Air sungai yang dalam dan berkelok-kelok serta deras menyebabkan serangan yang dilakukan terhadap kawasan pejuang Minang menjadi sukar dan mengorbankan ramai tentera Melayu Belanda.
            Menurut Hendrix lagi, ada satu perbezaan yang boleh dilihat antara perang melawan pejuang Minang di Sumatera dengan peperangan melawan Diponegoro di Jawa. Di Jawa, Belanda harus mengirim pasukan tentera ke sana sini untuk menggempur pasukan musuh sedangkan di Sumatera, musuh selalu bertahan di belakang benteng pertahanan. Serangan yang dilakukan oleh pejuang Minang hanya dilakukan sekali sekala, itupun serangan dilakukan oleh pejuang yang tidak sabar, bukan atas serangan ketua mereka. Serangan-serangan kecil ini tidak mendatangkan sebarang kesan kepada pihak Belanda. Daripada pengalaman Hendrix yang dicatatkan dalam catatan beliau, ketika di Bonjol 1834, jika tentera Belanda hanya menanti serangan kemudian bertahan dengan waktu yang lama, pejuang Minang lama kelamaan akan menurun motivasi mereka. Ini disebabkan oleh kekurangan makanan dan juga perasaan rindu kepada keluarga yang sudah lama ditinggalkan. Semakin lama Belanda bertahan, semakin mudah untuk pejuang Minang dikalahkan.
Selain daripada bertahan daripada serangan, Belanda juga menjadikan rakyat di Padangsibusuk dan Silungkang rakan serta teman rapat agar boleh membantu menunjukkan jalan serta kawasan-kawasan untuk menyerang pejuang Minang. Belanda dapat menyerang Koto Tujuh, Lintau dan Marapalam dan dengan taktik berkawan dengan rakyat tempatan membolehkan Belanda menguasai 3 kawasan ini dengan hanya 3 hari sahaja. Khabaran ini amat disenangi oleh pemerintah Belanda ketika itu kerana beliau dapat menguasai daerah yang sukar untuk ditawan oleh pemerintah sebelum ini dengan hanya 3 hari sahaja. Daerah ini bukan sahaja mempunyai pertahanan pejuang Minang yang kukuh, malah bentuk muka buminya yang sukar untuk melakukan sesuatu pergerakan yang besar. Kemenangan ini menurut Hendrix adalah daripada perencanaan yang matang setelah beberapa lama berperang dengan pejuang Minang serta penyelidikan mengenai medan peperangan yang sangat dikuasai oleh pejuang Minang. Dalam keadaan seperti di Sumatera, Belanda menyimpulkan tidak boleh digunakan taktik pengepungan tetapi menggunakan kaedah pemusatan segala kekuatan pada tempat masuk pertahanan.
Kesimpulan
            Dapat disimpulkan bahawa orang Minang mempunyai kaedah dan tatacara peperangan yang tersendiri. Walaupun mendapat teknologi pembuatan senapang daripada luar, tetapi masih lagi boleh merekabentuk senjata mengikut acuan dan keperluan tersendiri. Kaedah pembinaan kubu pertahanan yang bijak menggunakan alam dan berlainan dengan kaedah peperangan daripada bangsa lain terutamanya apabila dibandingkan dengan kaedah peperangan di Jawa. Ini semua menunjukkan bahawa orang Minang mempunyai kaedah peperangan ataupun bolehlah dikatakan mempunyai kaedah pengurusan kehidupannya tersendiri walaupun mengambil contoh daripada luar tetapi nilai tersendiri itu dikekalkan.








Rujukan
Anthony Reid. 2004. An Indonesian Frontier: Acehness and other Histories of Sumatra. Singapore: University of Singapore Press.
Hendriks. 1881. Oorlogvoeren op Sumatera, Indische Militair Tijdschrift. Terjemahan Internet ( 15 Okt 2012)
Marsden William. 1783. History of Sumatera, London
Navis. A. A. 1994. Cerita Rakyat dari Sumatera Barat. Jakarta: Grasindo
Rusli Amrin. 1981. Sumatera Barat hingga Plakat Panjang, Perang Saudara yang ditunggangi Belanda, Orang Padri Sebagai Pejuang. Jakarta: Penerbit Sinar Harapan
Sun Laicen, 2003, Military Technology Transfers from Ming China and the Emergence of Northen Mainland Southeast Asia (1390-1527), Journal of Southeast Asian Studies 34(3): 495-517
Internet :
http://dedymahe.wordpress.com/2012/06/29/178/
http://id.wikipedia.org/wiki/Perang_Padri
http://lokalgenius.blogspot.com/2011/06/ilmu-perang-melayu-taktik-dan-strategi.html
http://mozaikminang.wordpress.com/2009/10/18/seni-perang-minangkabau/
http://saifulhaj.multiply.com/journal/item/40/ILMU-PERANG-DALAM-MASYARAKAT-MELAYU
http://www.pelaminanminang.com/fakta-menarik/minangkabau-eksportir-senapan-abad-18.html


Tulisan ini adalah untuk Seminar Minang Diaspora (26-27 April 2014)



Thursday, February 27, 2014

Dakwah dan Ilmu Kemanusiaan


  1. Barang siapa yang menempuh satu jalan menuju kepada ilmu, maka Allah akan memudahkan jalannya ke syurga.
  2. Terdapat 3 perkara yang perlu ada pada seorang pendakwah


Daripada bahagian ilmu, ilmu yang perlu dikuasai oleh seorang pendakwah 

Jika diperhatikan, banyak pendakwah yang gagal dalam memahami Ilmu Kemanusiaan, Antara perkara yang perlu dititik beratkan dalam Ilmu Kemanusiaan


Dalam penciptaan manusia oleh Allah, Allah menjadikan manusia sebagai paksi kehidupan, menjadi penghulu kepada sesama manusia dan menjadi khalifah bukan sahaja kepada manusia tetapi juga kepada para makhluk di bumi dan kawasan-kawasan yang boleh dicapai oleh manusia. Sebagai contoh, manusia merupakan penjaga kepada kesejahteraan alam ini. Tangan-tangan manusialah yang menentukan samada alam ini sejahtera ataupun sengsara. Ada kawasan di bumi ini yang sejahtera walaupun manusia di dalamnya hanya cukup-cukup makan. Tetapi bagaimana dengan kawasan yang dikatakan penuh dengan alatan canggih tetapi tidak mempunyai kesejahteraan dengan banyaknya masalah yang berlaku seperti masalah sosial, masalah dalam kehidupan dan berbagai masalah lain lagi. Kejadian makhluk lain seperti haiwan dan juga tumbuhan merupakan suatu sokongan kepada kehidupan manusia. Sebagai contoh, tiada orang Islam yang menjadi 'vegetarian' kerana dalam Islam di ajar semua haiwan yang dihalalkan boleh dimakan untuk mendapatkan kebaikan daripada haiwan tersebut. Bagaimana haiwan tersebut boleh dimakan tertakluk kepada etika-etika dalam penyediaan makanan tersebut seperti sembelihan, kaedah memasak, dan juga bagaimana penyediaannya.

Kembali kepada Ilmu Kemanusiaan yang perlu ada bagi setiap pendakwah. Jangan dikecilkan skop pendakwah kepada hanya pendakwah. Setiap manusia adalah pendakwah samada dia berdakwah untuk Islam untuk orang Islam ataupun dia berdakwah mengikut apa agama yang dibawanya termasuk juga idealogi bawaan mereka sendiri. Keperluan Ilmu Kemanusiaan adalah penting untuk memudahkan perhubungan dakwah sesama manusia apabila kita ada ilmu tentang manusia itu sendiri. Bagaimana mahu bercakap sesama islam yang banyak mempertikaikan hal Islam, bagaimana hendak bercakap dengan orang Islam yang sudah jauh daripada Islam, bagaimana hendak bercakap dengan orang Islam yang hanya tahu dia sahaja yang betul. Itu semua perlu dipelajari dan apakah yang perlu dikuasai adalah pecahan perkara dalam Ilmu Kemanusiaan di atas.

Perbincangan perkara di atas adalah kerana isu menghentam Dr. Kassim Ahmad dengan menyatakan bahawa dia seorang anti-hadis berdasarkan tulisan pada buku beliau yang bertajuk "Hadis: Satu Penilaian Semula". Samada orang yang mengkritik beliau sudah membaca buku tersebut atau belum tidaklah dapat dikenal pasti. Tapi yang pastinya hujah-hujah yang diberikan oleh orang yang mengkritik beliau sangat tidak wajar kerana hujah seperti "ini anti hadis, tidak suka kepada hadis adalah seperti tidak suka kepada Nabi, tidak suka kepada Nabi menyebabkan kemurkaan Allah, setiap kemurkaan Allah adalah neraka". Tuduhan seperti sesat dan sebagainya tuduhan negatif tidak akan memberikan jalan penyelesaian kepada masalah ini. Mengapa orang-orang begini boleh lahir dalam masyarakat kita hari ini? Ini adalah kerana pendakwah ataupun boleh dikatakan ustaz-ustaz yang mengajar di sekolah atau di masjid-masjid tidak dapat menjawab persoalan-persoalan semasa yang diutarakan oleh golongan ini. Masalah yang semakin teruk adalah bukan sahaja ustaz ini tidak mahu mengaku kelemahan mereka tidak dapat menjawab persoalan itu, malah ditambah dengan golongan ustaz ini menyuruh hanya mengikut dan tidak mempersoalkan permasalahan itu. Ini semualah yang menjadi masalah kepada umat ini kerana bukanlah serangan ini timbul secara tiba-tiba. Mereka datang dengan persoalan yang mahu dijawab. Jika persoalan itu tidak dapat dijawab maka keraguan yang terbuku di hati mereka akan menjadi suatu penyakit dan semakin banyak persoalan yang tidak akan dapat dijawab oleh ustaz. Persoalan inilah akibatnya menjadi suatu kenyataan yang boleh meragukan pegangan umat.

Jadinya, golongan agamawan perlulah melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu lain supaya dapat menjawab segala persoalan dengan berhemah, logik dan menepati dengan apa yang mereka mahukan. Selagi ada agamawan yang cuba mencantas pemikiran umat dengan tidak menjawab dan menyuruh berhenti bertanya, semakin ramailah lahirnya orang-orang yang lahir secara kritis ini.





Monday, February 10, 2014

Pegawai Tetap Seorang Manusia

Ketika warkah ini ditulis, hamba fakir yang hina sedang mendengar lagu daripada kumpulan System Of A Down album pertama mereka System Of A Down..Kumpulan sesat? Ikut lah nak dengar atau tak.

Pagi-pagi ikut En Zul pembantu am pejabat untuk ke Unit Setor untuk ambil kertas A4 dengan En. Apiez. Saja je nak tengok apa ada dalam setor tu. Selama 5 tahun duduk di UKM nak jugak tengok apa ada dalam setor UKM..HAHAHAHAH...Oleh kerana masuk ke setor alat tulis, sudah semestinya barangan yang ada dalam setor adalah alat tulis. Dalam setor tu ada la kertas A4 ber'palet-palet'. Kertas A4 warna, fail UKM, dan beberapa barang lain yang hanya diimbas dengan mata kasar. Kalau tengok satu-satu nanti orang cakap macam beruk pulak tak pernah masuk setor. Dah la setor tu tempat yang paling malas sekali kakitangan UKM ni nak pergi..AKU? macam biasalah suka pergi ke tempat-tempat orang tak pergi..memang tak ramai la ada kat setor tu..3 orang daripada pejabat aku dan 2 orang daripada orang unit setor. Jika diikutka aku tak layak untuk pergi tempat-tempat kotor, berhabuk, dan tempat-tempat kelas bawahan ini pergi.. Aku rasa pegawai yang pantau setor tu pun belum tentu suka nak pegi setor tu...apa yang aku buat di setor? aku angkat beberapa kotak kertas A4 tu masuk dalam lori pastu balik la ke pejabat...sementara tunggu lori sampai aku lepak kat depan pejabat dengan en zul dan apis pergi ambil troli...lepak-lepak lori pun sampai pastu aku pun dengan baik hati angkat beberapa kotak kertas tu. Lepas tu ada seorang rakan pegawai panggil aku kemudian berbisik kat telinga aku

Dia : "Timbalan tak suka kau angkat-angkat ni, kau biarkan diorang yang angkat"
Aku : "Alah, takpela. Angkat sikit je".
Dia : "Yela tapi Timbalan tak suka"

Aku diam dan terus berlalu pergi meninggalkan dia dan dunianya.. Aku terus tiada rasa nak kerja kerana 'mood' aku dirosakkan oleh kata-kata tersebut. Aku ini walaupun pegawai tapi apa salahnya buat kerja orang bawahan. Besar sangatkah kita kalau kita ni pegawai? Memang itu ada dalam bidang tugas orang bawahan dan tiada dalam bidang tugas aku. Kenapa aku buat kerja bukan bidang aku? Sebab aku suka buatlah. Suka hati akulah nak buat apa. Dia punya kerja aku tak pernah bising pun walaupun kadang-kadang aku buat kerja kawan aku tu. Dia punya kerja pun aku buat, dia tak pikir pulak?

Kita ni manusia ciptaan Tuhan. Beza antara kita sesama kita adalah ketaqwaan di sisi tuhan. Aku ni dah la tak beberapa baik. Suka buat benda bukan-bukan. Ini ajelah yang boleh menambah pahala aku..HAHAHAH..Bagi aku, kau pegawai ke, cacai ke, pengarah ke sama je. Manusia tetap manusia. Yang bagi jawatan tinggi ke rendah tu manusia juga. Memang la pendidikan menjadikan taraf kau meningkat. Bagi aku pendidikan tinggi membezakan taraf pemikiran, bukan taraf kehidupan masyarakat. Sebagai contoh, kau seorang profesor dalam bidang enjin kereta. Pemikiran kau mesti lagi bagus dalam bidang enjin ini berbanding seorang mekanik kereta. Tapi adakah pemikiran kau yang bagus dalam bidang enjin ni membuatkan kau tahu membaiki enjin kereta yang sedang rosak di tengah jalan lebuhraya? Boleh biang dengan jarila berapa ramai profesor atau jurutera mekanikal boleh baiki kereta. Jangan cakap kereta orang, kereta sendiri pun belum tentu tau nak btulkan. Seorang profesor masih jahil maknanya profesor juga kurang ilmu dalam bidang yang dia tak tahu. Mekanik juga ada perkara yang dia tahu dan ada juga perkara yang dia tak tahu. Ambil situasi di pejabat sudahlah. Kalau sorang pegawai nak fotostat suatu dokumen dengan kaedah yang bukan biasa, maka siapakah yang hendak ditanya?Sudah semestilah bukan pengarah kerana pengarah dengan yakinnya tidak pernah sentuh pun mesin fotostat tu. Mestilah pembantu am pejabat yang akan disoal bagaimana kaedah untuk melakukan kerja itu. Siapa yang hati buta memang tidak nampak kaitannya kerana ia adalah perkara mudah sahaja. Bagi aku, sangat-sangat-sangat bodoh alau belajar ada master, Phd, dan ijazah 20 gulung pun kalau nak fotostat pun tak tahu....
HAHAHAHAHAHAHAHHAAHAHAHHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAH
Kenapa aku gelak panjang?Sebab teori hebat-hebat yang kau belajar di universiti tu tak boleh pakai untuk menjadikan kau seorang yang tahu untuk gunakan mesin fotostat yang mudah itu...Malu la sikit. Lepas tu ada hati kau nak hina pembantu am pejabat ni?
Bagi aku, setakat nak fotostat kertas tu kau buatlah sendiri. Tak payah la nak pakai orang bawahan untuk fotostat sehelai dua kertas tu. Walaupun selalu tengok diorang ni lepak je tengokYoutube, tak mengapalah. Mungkin balasan diorang pergi keluar-keluar hantar surat itu sebagai gantinya...

Tambahan sedikit..apa kena mengena perasaan macam ini dengan System Of A Down? Sebab banyak lagu-lagu SOAD ni yang menceritakan bagaimana orang bawahan ditindas..Aku tak nak ada sikap kapitalis. Kapitalis ini bukan sahaja dalam bidang ekonomi tapi dalam bidang pengurusan juga ada kapitalisnya. Dalam ekonomi, orang yang banyak modal akan memanipulasi pasaran supaya golongan yang bermodal kecil akan gulung tikar dan menjadilah pemodal besar ini berdiri tanpa ada sebarang persaingan dengan pemodal kecil. Sama macam pengurusan, pegawai memerah tenaga orang bawahannya dengan melakukan kerja-kerja kemudian mereka berlepas tangan untuk membantu orang bawahan mereka. Selain itu, jika boleh orang bawahan tidak boleh mempunyai gaji yang hampir dengan gaji pegawai. Mak ayah aku pun dulu orang bawahan sebab itu aku dapat rasa bagaimana perasaan orang bawahan. Aku pun duduk dalam kalangan orang bawahan. Aku duduk dalam kerajaan turut menjadi suatu ketidak puashatian aku kerana kerajaan ini biasanya menindas orang lain. Tapi bukan kerajaan Malaysia sebab kerajaan Malaysia menindas rakyat tak kira mereka bekerja dengan kerajaan ataupun swasta

Sunday, February 9, 2014

Jalan Menuju Akhirat...


Kuliah Maghrib
Surau AN-Nur Bangi
Ustaz Ahmad Dasuki Rani

Sembang agama sikit boleh kan?HAHAHAHAHAHHA

Sebagai hamba Allah dan juga orang Islam yang beriman, kita seharusnya mempunyai keyakinan terhadap akhirat Allah. Bagaimana hendak menuju ke akhirat jika kita sendiri tidak meyakini adanya akhirat tersebut. Tetapi, sebelum meningkatkan keyakinan kepada akhirat, orang Islam haruslah menguatkan akidahnya kepada Allah dahulu. Mengapa? Sebab akhirat itu merupakan tempat pembalasan dan kembalinya manusia kepadanya setelah diuji di dunia ini.Apakah yang menentukan nasib kita di akhirat? Jawapannya adalah apakah perlakuan kita di dunia ini selari dengan apa yang dikehendaki oleh Allah. Oleh sebab itulah untuk mengetahui jalan ke akhirat, perlu mengetahui dan meyakini akhirat tersebut dengan amalan-amalan yang dilakukan mengikut segala suruhan Allah. Oleh itu, memperkuatkan akidah kepada Allah itulah yang utamanya. Dengan memperkuatkan akidah kepada Allah, setiap jalan atau perbuatan yang ditempuhi InsyaAllah akan diredhai Allah.

     Apakah perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang Muslim? Islam datang dengan 3 perkara ini dan setiap satunya bergantung antara satu sama lain

  1. akidahnya
  2. ibadatnya
  3. akhlaknya
Akidah yang kukuh dalam diri Muslim akan membolehkan seseorang itu berasa yakin dengan setiap tindakannya. Dia yakin kepada apa yang diturunkan oleh Allah, apa yang diutuskan oleh Rasul, apa yang terkanung dalam Kitab, yakin dengan tugas segala Malaikat, yakin dengan Ketentuan tuhan dan juga yakin adanya dan juga dia akan menempuhi alam Akhirat. Bagaimanakah akidah ini dijelmakan? Ia dijelmakan dengan perbuatan dan amalan ibadat yang telah disyariatkan. Mengapa solat? Sebab yakin mahu bertemu tuhan, yakin dengan akhirat, yakin dengan malaikat yang diutus untuk mencatat amalan dan lain-lain ibadat lagi. Keyakinan kepada akhirat akan dijelmakan dengan segala amalan yang sentiasa dilakukan oleh kerana percaya dan yakinnya akan bertemu tuhan di akhirat kelak. Apa pula kaitan ibadat dengan akhlak? Nabi pernah menyatakan bahawa 'Sesungguhnya solat itu dapat mencegah perkara keji dan mungkar'. Itulah kaitannya ibadat dengan akhlak. Akhlak seseorang itu dapat dinilai dengan ibadatnya. Mungkin tidak semua orang begini tetapi kebanyakannya mungkin begini. Akhlak yang baik adalah daripada ibadat yang sempurna. Contoh terbaik adalah Nabi Muhammad SAW sendiri. Akhlaknya adalah al-Quran. Kan indah kalau akhlak kita seperti itu. Jika seseorang itu kehidupan sehariannya bergerak dengan keyakinan kepada akhirat yang tinggi,  maka dengan sendiri ibadatnya menjadi kebaikan kepada dirinya dan oleh sebab itu akhlaknya menunjukkan akhlak yang terbaik.

     Apakah yang menjadi masalah kepada keyakinan ini? Menurut ulama yang hamba tidak ingat, keyakinan kepada akhirat ini akan pudar jika aa dalam hati manusia itu perasaan cinta kepada dunia. Tidak salah mencari rezeki tetapi jangan sampai cinta kepada dunia melebihi cinta kepada akhirat itu. Oleh sebab cinta yang berlebihan pada dunialah hati ini akan menjadi pudar tentang keyakinan kepada akhirat dan juga kepada Allah. Jika dalam diri kita itu terdapat keyakinan yang kuat, makanya perkara yang ghaib dapat disyahadahkan. Maksudnya, perkara yang tidak nampak boleh dilihat akibat daripada keyakinan yang kuat itu. Sebagai contoh, tiada siapa orang yang hidup pernah melihat azab qubur tetapi mengapa manusia ini melakukan ibadat seperti pernah meliha azab qubur tersebut? Ini semuanya adalah kerana keyakinan yang tinggi kepada Allah dan juga kepada ahkrat. Mengapa manusia mengejar syurga walaupun tiada siapa pernah melihatnya? Ini semua adalah kerana sifat yakin. 

     Keimanan ini akan bertambah jika ada orang lain yang bercerita mengenai perkara yang sama dengan apa yang kita yakinkan. Sebagai contoh, ada orang mengatakan dalam semak itu ada ular. Ular, sudah sedia maklum kita tahu memang haiwan yang berbisa dan merbahaya. Dikatakan pula oleh orang lain, sudah semestinya kita dengan sedaya upaya untuk mencari jalan lain dengan tidak mengambil jalan yang ada ular tersebut. Walaupun kita tidak tahu ular jenis apakah yang ada di dalam semak itu. Begitulah keyakinan kita kepada akhirat. Kita sudah tahu akan adanya azab dan nikmat di akhirat, kita dengar pula ceramah dan kuliah yang menyatakan tentang azab dan nikmat akhirat. Maka, bertambahlah keyakinan kita terhadap akhirat itu walaupun tidak pernah lihat depan mata sendiri.

     Bai yang baru lahir, akan menangis dan juga tangannya akan genggam. Kerana apa? Kerana takutnya bayi itu melihat apa yang ada di sekelilingnya. Tidak kira perkara ghaib ataupun mesin-mesin di hospital itu. Bagaimana memberikan keyakinan kepada bayi itu untuk dapa terus hidup di bumi yang menakutkan ini? Itulah dia hikmah diazankan dan diiqamatkan pada telinga bayi itu. Supaya bayi itu yakin adanya Allah Yang Maha Besar, Tiada Tuhan Yang Layak diSembah Melainkan Allah. Keyakinan ini ditanamkan dalam telinga bayi supaya ia yakin adanya pelindung daripada Allah. Bagaimanakah kita sebagai orang dewasa mahu supaya iman dan keyakinan kita tidak lemah?
  1. Duduk bersama alim ulama
  2. Belajar mengenai al-Quran
  3. Belajar mengenai hadis Nabi
Hidup sebagai hamba Allah dan umat Nabi Muhammad ini perlu yakin dengan setiap ajaran yang dibawa oleh Nabi. Hidup ini ada panduan hidup yang telah diberi garis panduan oleh Nabi. Jangan jadi orang yang tiada panduan dalam hidup kerana orang yang begini kebiasaannya tidak yakin dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan juga ajaran Nabi. Sebagai contoh orang yang tidak kisah tinggalkan ibadat wajib,tidak pernah cuba untuk bt ibadat sunat walaupun senyum. Kerana kata Nabi, sedekah yang paling mudah tapi berat adalah senyuman. Walaupun setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya tersendiri, jadilah diri kita dan gilap kekuatan kita supaya kelemahan yang terdapat dalam diri dapat di kurangkan.

     Keyakinan Khadijah kepada Nabi adalah merupakan keyakinan yang paling disayangi oleh Nabi. Oleh sebab itulah nama Khadijah sering disebut-sebut walaupun ketika itu Nabi berada dengan isterinya yang lain. Begitu yakin Khadijah dengan Nabi sehinggakan dia sentiasa berada di sisi Nabi dan sentiasa menyokong segala tindakan Nabi seperti duduk di gua, dan bertanyakan kepada bapa saudaranya mengenai petanda-petanda seorang Nabi. Tidak pernah keluar daripada mulutnya perkara-perkara yang tidak disukai oleh Nabi. Sehinggakan semasa menjelang sakaratulmaut Khadijah, Allah telah mengirimkan Jibrail untuk menyampaikan salam Allah kepada Khadijah.

     Selain itu, keyakinan itu perlulah setiap masa. Bukan semasa susah atau masa senang sahaja kerana susah itu ujian, senang itu pun ujian. Terdapat beberapa ayat al-Quran yang menerangkan manusia itu semasa mendapat nikmat dia syukur, semasa susah dia kufur. Ada juga ayat al-Quran yang menyatakan semasa susah berdoa memohon keselamatan, tetapi masa senang terus ingkar arahan Tuhan. Sebagai contoh ada ayat al-Quran (tak ingat ayat mana. nak tau cari sendiri) yang menyatakan dalam sebuah kapal di tengah lautan yang bergelora, penghuni kapal berdoa agar diberi keselamatan dan akan sentiasa patuh membuat suruhan tuhan. Apabila selamat sampai di darat menjadi orang yang kufur ingkar kepada Tuhannya. Ada juga ayat al-Quran yang menyatakan semasa senang berterima kasih kepada Allah tetapi apabila tuhan tarik nikmat sedikit terus menyalahkan tuhan atas segala yang berlaku. Manusia ini selalu lupa akan segala yang ada di alam ini adalah milik Allah. Dia berhak beri kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki.Manusia yang yakin dengan Tuhannya, apabila datang suatu ujian kepadanya, telinganya akan menjadi pekak dan hatinya tidak akan berfikir mengenai ujian itu suatu musibah. Baginya, ujian itu sebagai ujian untuk dia menempuh alam yang lain samada ia layak atau tidak mendudukinya berdasarkan ujian tersebut.

     Orang yang berkeyakinan tinggi terhadap Allah, sesungguhnya syaitan takut untuk mendekatinya. Sebagai contoh, ketakutan syaitan kepada Saidina Umar sangat tinggi sehinggakan apabila bertembung dengan Umar, syaitan akan cuba untuk ikut laluan lain. Selain itu ada satu kisah mengenai Imam Nawawi. Semasa sedang memberi kuliah kepada para pelajarnya, datang seorang bapa dengan terjerit-jerit menyuruh Imam Nawawi berhenti memberi kuliah dan menyatakan anaknya diganggu syaitan. Imam Nawawi menjelaskan dia tik boleh meninggalkan murid-muridnya yang ramai tu. Dia hanya menyuruh bapa itu untuk membawa terompahnya dan letakkan di depan muka anaknya. Setelah itu, bapa itupun mmbawa terompah Imam Nawawi ke muka anaknya dan syaitan yang mengganggu tadi terus lari keluar daripada badan anak itu. Di sini dapat dibuktikan bahawa keyakinan yang tinggi terhadap akhirat membolehkan syaitan tidak berani untuk bertembung muka.

SEBAB-SEBAB MENEGUHKAN KEYAKINAN

  1. Hendaklah hamba itu memberi hati dan telinganya kepada al-quran dan hadis. al-Quran ini merupakan perkara paling asas dalam kehidupan  muslim. Kaedahnya, 
    • Baca dahulu dan lancarkan bacaan
    • Baca tafsirnya untuk melihat isi kandungan al-Quran tersebut.
    • Beramal dengan apa yang difahami daripada pembacaan dan juga ceramah serta kuliah
    • Seterusnya ikhlaskan amalan kita menggunakan al-Quran dan cuba untuk mengajar orang lain kerana kata Nabi, 'orang yang baik adalah orang yang belajar dan mengajar al-quran
    • Baca hadis tidak dapat pahala, amal hadis baru dapat pahala, berselawat pun dapat pahala. Qasidah tidak dapat pahala tapi sememangnya perbuatn itu merupakan satu perbuatan yang baik.
Bersambung

*maaf cerita lompat-lompat sebab ust tu cermah lompat-lompat juga