http://tukartiub.blogspot.com/2014/05/bersedia-perang-akan-pecah.html
Wednesday, May 21, 2014
Saturday, May 3, 2014
Umat bermula daripada keluarga?
Memang benar, untuk membina umat yang patuh pada Tuhan, bermula daripada keluarga. Dengan bimbingan daripada ayah dan ibu, akan menjadikan anak itu seorang yang patuh pada arahan ibu bapa supaya taat kepada Tuhan. Tapi bagaimana pula keluarga yang boleh dikatakan rosak struktur sosialnya? Adakah keluarga ini akan terus melahirkan golongan yang lalai dengan tuhannya? Bagaimana pula untuk menjadikan keluarga yang penuh dengan ciri-ciri keislaman ini supaya menjadi ikutan kepada keluarga yang tidak berapa islamik ini? Menjadi persoalan kini adalah ibu bapa yang sedang mendidik anak mereka kepada taat ajaran tuhan akan menegah anak mereka bergaul dengan anak-anak daripada keluarga yang tidak begitu Islamik ini. Bagaimana untuk mendidik masyarakat mengenai keterbukaan ini? Adakah kita masing-masing ada ber"what up" atau bluetooth dengan tuhan mengenai siapa yang akan masuk syurga dan siapa yang akan masuk neraka? Bagaimana untuk mendidik masyarakat sedangkan kita sendiri yang sepatutnya menunjukkan akhlak yang mulia pun meremeh temehkan perangai orang lain. Siapa kita untuk menilai orang lebih baik atau lebih buruk daripada kita? Orang beginilah selalu diuji dengan jiran tetangganya berperangai teruk supaya dapat dilihat keikhlasan untuk menegakkan keluarga beragama. Memang betul menjadikan anak kita baik dengan duduk dalam lingkungan orang yang kurang taat dengan tuhan, adakah kita yakin anak kita dapat bertahan dalam keadaan begitu? Mengapa tidak kita mempersiapkan diri kita dan anak-anak untuk menjadi tempat rujukan jiran atau kawan-kawan yang masih tidak mengenal agama. Bila kita menyulitkan keadaan, orang makin jauh dengan agama. Itu kita patut salahkan diri sendiri atas kecuaian kita menjarakkan orang yang sudah sememangnya jauh daripada tuhan..
Tuesday, April 29, 2014
Antara kebaikan Malaysia dan kejahatan Yahudi!
Ramai orang yang mengatakan
bahawa makan di KFC atau McDonald merupakan makan daging saudara Islam di
Palestin. Minum di Starbucks seperti minum darah orang Palestin. Tapi pernahkah
kita fikir tentang kedai runcit Pak Kadir di Kampung Pening Lalat ditutup kerana
persaingan daripada kita selalu membeli di Tesco, Giant dan Jusco. Kedai barangan
keras (hardware) Ah Chong di Bangi Lama ditutup kerana kita membeli barangan di
kedai DIY dan banyak lagi kedai orang tempatan yang terpaksa gulung tikar oleh
kerana orang kita sendiri sanggup membeli di pasaraya besar yang jauh
berbanding dengan kedai runcit kampungan dalam kawasan perumahan. Ini menyebabkan
mereka gulung tikar kerana tidak dapat bersaing dengan pasaran gergasi daripada
luar negara. Jahatnya zionis di Palestin membunuh rakyat asal Palestin untuk
memberi penempatan pada rakyat Israel. Baiknya kita adalah membunuh orang kampong
sendiri untuk memberi kekenyangan pada orang luar. Isunya bukan masalah siapa
jual murah dia akan menawan pelanggan. Adakah disebabkan murah 20 hingga 60 sen
kita sanggup menyebabkan orang kita sendiri menutup perniagaan mereka. Kemudian
kita tuduh orang kita malas bekerja. Kita sambut dengan tangan terbuka pasaraya
gergasi ini dengan memenuhi gedung-gedung gergasi semasa jualan murah dan pada
awal pembukaannya. Orang kita sanggup pergi menaiki kereta yang jauh daripada
tempat tinggal untuk membeli di pasaraya gergasi atas alasan harganya lebih
murah sedangkan mereka tidak perasan minyak yang mereka gunakan untuk ke
pasaraya itu perlu dibayar. Silap-silap harga minyak yang perlu dibayar untuk
pergi ke pasaray itu lebih mahal berbanding harga promosi yang ditetapkan. Lainlah
jika Tesco berada di sebelah rumah. Mereka lebih sanggup membayar harga minyak
yang lebih banyak berbanding harga beras yang mahal seringgit di kedai Muthu. Mana
pergi kemanusiaan yang dilaungkan untuk rakyat Palestin sedangkan di bumi sendiri
pun masih ramai lagi orang Islam yang memerlukan bantuan. Adakah kebaikan hanya
perlu dilakukan kepada orang Islam sahaja? Kumpulan aktivis makanan “Dapur
Jalanan” membuktikan ramai lagi yang sangat memerlukan makanan untuk
mealngsungkan kehidupan. Adakah Islam mengajar hanya Muhammad sahaja yang perlu
dibantu dan dihormati. Bagaimana dengan Ah Seng yang selalu membantu oraang
makan di jalanan, Ravi yang dituduh membuang paku di jalan supaya bengkelnya
mendapatkan pelanggan. Bagaimana dengan Encik Ahmad yang mengambil peruntukan
kerajaan kepada rakyat seperti petani dan digunakan untuk kepentingan peribadi?
Bukanlah bangsa yang menjadikan seseorang itu jahat. Adkah salah jika seseorang
itu berbangsa yahudi tetapi dia seorang yang patuh pada ajaran agama dan selalu
membantu sesama manusia? Bagaimana seorang Melayu yang melaung-laungkan slogan
mengenai ketatasusilaan Melayu sanggup menjatuhkan musuh dalam kerjanya oleh
kerana dia sekarang sudah menjadi ‘bos’? adakah ayat-ayat atau slogan-slogan
ini hanyalah ayat untuk mendapatkan sesuatu keuntungan daripada pemimpin negara
kerana merasakan inilah yang memperjuangkan bangsa sendiri dan Nampak seperti
pejuang agama. Ada umat dalam kalangan kita menyatakan membeli di pasar basah
amat leceh, busuk, panas da nada juga peniaga menipu. Tetapi apabila membeli
barangan di pasaraya besar, bau busuk, perlu beratur panjang untuk membayar dan
mendapat kualiti barangan yang rendah serta tidak segar dapat diterima dengan
hati yang terbuka. Sedangkan penjual ikan atau sayuran di pasar itu memerlukan
wang daripada perniagaan mereka untuk menyara keluarga. Mungkin terdapat dalam
ahli keluarga yang masih bersekolah, menanggung rawatan perubatan ibu bapa. Jika
tidak pun, mereka mencari rezeki berdasarkan jualan di pasar tersebut. Jika dibandingkan
dengan pasaray besar, mereka hanya mahu keuntungan sahaja. Apa keperluan dalam
perniagaan mereka tiada siapa tahu. Itu antara pengurusan pasaraya sahaja yang
tahu. Para pekerja juga tidak akan diberitahu. Kita juga selalu memikirkan
nasib pekerja pasaraya besar yang ingin menyara kehidupan mereka dan keluarga
dengan gaji yang kadang kala tidak setimpal. Jangan cakap pasal ‘taukey’
pasaraya, pengurus cawangan pun belum tentu boleh nampak batang hidungnya. Namun
sejak kebelakangan ini, jika kita pergi ke pasaraya kita dapat lihat ramai
warga asing yang sudah diambil bekerja termasuklah pengawal keselamatan. Bukanlah
ingin mempertikaikan orang luar bekerja tersebut, tetapi pada masa dahulu ramai
pekerja terdiri daripada orang tempatan dan boleh dikatakan pasaraya ini bagus
kerana memberi peluang kepada orang tempatan mendapatkan kerja. Namun apabila pekerja
asing mengambil alih tugas orang tempatan, dimana retorik yang mengatakan
bahawa pembinaan pasaraya mega ini adalah untuk memberi peluang pekerjaan
kepada anak tempatan. Sekali lagi masalah orang tempatan memilih kerja, malas
dan hanya mahu kerja mudah menjadi alasan di dalam penyingkiran orang tempatan.
Kadangkala bukanlah orang tempatan ini mahu gaji seperti pengarah syarikat air
atau setara dengan gaji menteri, cumanya biarlah setimpal dengan tugas mereka. Jika
gaji menteri sama dengan pegawai kerajaan gred 41, perlu bayar told an minyak
sendiri, boleh tidur di hotel dengan kadar RM 160 semalam, setahun sekali
sahaja boleh keluar negara, itupun hanya makan dan penginapan sahaja yang
ditanggung, tiket perlu tanggung sendiri, bawa kereta sendiri dan berbagai
kemudahan bertaraf 41 ini, penulis percaya bahawa boleh bilang dengan jari
orang yang ingin menjadi menteri. Mungkin jawatan menteri adalah jawatan yang
paling tidak menyerlah. Jika wakil rakyat yang hanya untuk menggunakan otak
hanya untuk makan dan minum sahaja pun ingin mendapatkan wang yang banyak,
inikan pula orang Malaysia yan tinggal di rumah sewa, dengan perbelanjaan anak,
sekolah anak, perbelanjaan dapur yang semakin meningkat serta segala macam
cukai yang perlu dibayar. Adakah berbaloi jika orang-orang ini mendapat gaji
sama dengan orang asing yang duduk di rumah kongsi dengan satu rumah kongsi
20-30 orang, makan secara belian pukal, makan nasi dengan kangkung tepi Sungai
Langat. Orang tempatan ada macam-macam yang perlu dibayar disamping memberi
anak mereka khasiat makanan yang terbaik boleh mereka berikan. Anak yang
membesar dengan makanan khasiat kelak menjadi anak yang berguna dengan ilmu
yang boleh membantu keluarga pada masa hadapan. Jika mendapat gaji sedikit,
ayahnya pula tidak mengenal halal dan haram dan ayahnya mengambil wang
sampingan dengan cara yang tidak betul samada main judi, rasuah, menggelapkan
wang atau lain lain. Mereka beri pula hasil yang tidak berkat tersebut kepada
anak-anak. Nilai keberkatan itu tiada untuk membina anak yang baik. Kelak anak
itu akan menjadi seorang yang tidak dengar kata ibu bapa. Jika berjaya pun
mungkin akan menjadi penjenayah berpendidikan tinggi. Tapi itu semua adalah
petunjuk daripada Tuhan. Kepada tuhan kita bermohon. Apa yang ingin kita
bangunkan adalah produk tempatan yang berkualiti. Kita mahukan anak-anak yang
dapat membangunkan keluarga dan masyarakatnya, kita mahukan bapa yang menjadi
contoh kepada semua anak negara bangsa. Kita mahukan jati diri kedai runcit
daripada orang tempatan, kita mahukan barangan buatan tempatan menjadi produk
utamadi negara ini untuk dipakai oleh setiap anak tempatan. Tidak perlu
bercakap mengenai antarabangsa jika pasaran tempatan pun masih dalam keadaan
terumbang ambing. Kita mahukan agar kedai Pak Kadir menjadi sebuah emporium dalam
Kampung Pening Lalat, kita mahukan kedai
kraftangan kita secanggih IKEA, kita mahukan kedai kerepek Mak Siti dapat standing
dengan Mister Potato, dodol Mak Kiah dapat standing atau lebih baik daripada
Pizza Hut dan yang paling penting masyarakat Malaysia menyanjung tinggi dengan
warisan yang kita ada. Tidak salah untuk ke Tesco, Giant atau apa saja tetapi
jangan sampai kita sendiri yang membunuh orang kita untuk memberi kehidupan
kepada orang luar tetapi kita marah dengan Israel yang membunuh orang Palestin
untuk memberi kehidupan kepada rakyatnya. Mereka hanya menggunakan kesempatan
dan kekuatan yang ada pada mereka untuk menindas orang Palestin. Kita juga
bersetuju dengan salah satu fakta dalam Teori Evolusi bahawa siapa yang kuat
akan menang kerana kita juga suka menindas orang bawahan kita. Selagi kita
masih ada sikap begini, selagi itulah Palestin akan terus ditindas kerana tiada
apa yang kita tidak bergantung kepada Israel. Ini bukanlah teori konspirasi
seperti yang terdapat dalam banyak buku hasil tulisan orang tempatan atau luar
negara. Inilah sikap yang perlu dibetulkan oleh masyarakat kita.
Sunday, April 20, 2014
PEMERHATIAN STANFORD RAFFLES TERHADAP ALAM MINANG
Sir Thomas Stamford Raffles (1781-1826) pertama kali
ditempatkan di Pulau Pinang oleh Syarikat Hindia Timur. Semasa perang Napoleon,
Inggeris dapat menduduki Jawa dan Raffles diangkat menjadi Leftenan Gabernor di
Jawa. Ia menggunakan kelebihan dan pangkatnya untuk mengumpul bahan untuk
bukunya Sejarah Jawa (1817). Pada awal Julai 1818, Raffles belayar daripada
Bangkulu ke Padang bersama isterinya, seorang naturalis bernama Thomas
Horsfield dan pengikut-pengikutnya. Pada 14 Julai 1818, mereka berangkat
daripada Padang ke daerah pedalaman dengan berjalan kaki dalam rombongan besar
termasuk 50 orang tentera Inggeris. Dalam perjalanan ini, Raffles telah
mencatatkan mengenai segala perkara yang dijumpainya dijadikan surat untuk
dikirimkan kepada penaungnya Duchess of Somerset pada September 1818.
Raffles
berjalan dalam suatu perkampungan dan melihat semua perempuan dalam kawasan
tersebut mempunyai lubang telinga yang sangat besar supaya dapat memasukkan
anting-anting yang besar atau dikatakan roda kerana anting-anting besar itu
menyerupai roda. Anting-anting tersebut mempunyai diameter dalam 2 inci dan
hiasan sekelilingnya pelbagai. Ada anting-anting kayu yang dihias dengan perak,
tembaga dan banyak hiasan yang menarik lain.
Lombong-lombong utama banyak terdapat
di Sungai Pagu dan Sungai Abu. Berdasarkan peta yang dilihat, kawasan ini
terletak di sebalik Gunung Talang. Ketika memasuki Kota Solaya, Raffles melalui
kawasan perkuburan yang ditandai sepohon beringin yang sangat besar. Di kawasan
perkuburan beliau melihat beberapa makam daripada kayu yang disebut jiri oleh
orang tempatan. Menurut Raffles, makam ini berbentuk unik, sebahagiannya lebih
bagus daripada gubuk tetapi kebanyakannya memiliki lantai panggung. Di kedua
ujung makam dibangunkan semacam tempat duduk yang menumpuk satu sama lain yang
menyerupai buritan kapal. Raffles juga pernah menjumpai binaan makam ini di
luar Kota Solaya dan di tengah sawah semasa dalam perjalanan beliau.
Semasa melewati pasar mingguan,
Raffles melihat para pedagang yang datang daripada sumatera barat dan juga
beberapa tempat di luar sumatera barat. Pedagang yang datang daripada Minang
biasanya datang melalui jalan air dengan menggunakan kano. Terdapat perahu kano
dalam jumlah yang banyak menjadi perhatian beliau. Jika pedagang-pedagang
daripada luar alam Minang, terdapat penggunaan kapal bagi beberapa kota yang
besar. Perahu besar ini mampu mengangkut muatan seberat 6 tan dan penumpang
seramai seratus orang. Raffles juga berpeluang menaiki sebuah daripada kapal
tersebut semasa beliau mahu ke Simawang. Menurut beliau perahu ini sangat
kukuh dan apabila apabila dipenuhi
penumpang, daripada kejauhan perahu-perahu itu akan kelihatan seperti perahu
perang Kepulauan Laut Selatan.
Apabila Raffles sudah sampai di
Simawang, beliau disambut oleh pembesar di kawasan tersebut. Beliau diberikan
tempat berehat oleh pembesar tersebut. Rumah tempat beliau beristirehat
sepanjang 100 kaki dan tingginya sekitar 30-40 kaki. Rumah tersebut sangat
kukuh dan ditupang oleh tiga batang kayu ditengahnya seperti tiang kapal.
Binaan rumah yang unik ini, dinding di bawah atap yang berbentuk segi tiga
dibangun menjulang ke atas dalam beberapa lapis menyerupai buritan kapal.
Lantainya dibina dalam 10 kaki daripada permukaan tanah, kawasan di bawah
lantai ditutup dan digunakan untuk kegunaan sapid an juga binatang ternakan
lain. Pintu masuk utama terletak di tengah tetapi ada pintu masuk kedua yang
terdapat di salah satu ujung rumah.
Bahagian dalam rumah terdiri daripada
satu ruangan besar dipanggil balai yang tingginya sama dengan keluasannya. Tiga
perapian dengan jarak yang sama antara satu sama lain ditempatkan pada bahagian
depan rumah. Pada bahagian belakang ditempatkan beberapa buah bilik kecil.
Dalam bilik-bilik kecil ini terdapat mesin pemintal serta barang-barang milik
perempuan yang tinggal dalam bilik itu. Ini merupakan gambaran umum mengenai
rumah di pedalaman kerana rumah di pedalaman ada perbezaan dengan rumah yang
terdapat di pesisirin pantai. Juga terdapat perbezaan dengan ulasan mengenai
rumah Sumatera yang diberikan penilaian oleh Marsden dalam Sejarah Sumatera
(1783). Ujung balai dimana atapnya menjulang ke atas dalam beberapa lapisan
seperti buritan kapal diberikan kepada Lady Raffles untuk berehat dan menukar
pakaian. Rumah ini mampu memuatkan 150 orang pengikut Raffles.
Semasa memerhatikan keadaan Danau
Singkarak, sekitar 50 kaki daripada sungai (Kuantan atau Inderagiri) Raffles
melihat kincir air yang kukuh digunakan untuk mengairi sawah-sawah di
sekitarnya. Kincir air ini diperbuat daripada buluh dibina hanya untuk mengairi
sawah. Kincir air ini dibina di Minangkabau dapat dianggap sebagai kemajuan
dalam pertanian yang belum dicapai oleh Jawa walaupun Jawa sudah mempunyai
hubungan yang lama dengan China. Raffles meyakini bahawa Eropah ataupun China
masih belum menjejakkan kaki ke Minangkabau. Tambahan beliau lagi, berabad-abad
penduduk di Minangkabau tidak berinteraksi dengan bangsa lain. Maka, boleh
dikatakan bahawa kincir air ini merupakan penemuan asli orang pribumi. Raffles
menambah bahawa beliau tidak pernah melihat kincir air yang serupa dengan
dilihatnya di Minangkabau pada Jawa.
Lereng-lereng bukit yang sukar diairi
ditanam dengan tebu. Ladang tebu ini boleh dikira lading yang besar dengan
dibina pusat penggilingan untuk memerah air tebu untuk dibuat gula pasir. Mesin
penggilingan ini terdiri daripada dua silinder tegak lurus, bahagian atasnya
dibentuk menyerupai ulir yang bertautan sementara bahagian bawahnya dipasang
tegak sehinggakan apabila silinder ini diputar, ia akan berputar pada arah yang
bertentangan. Silinder ini digerakkan oleh tenaga sapi atau lembu. Hasil
perahan sari tebu itu akan dikumpulkan di dalam sebuah bekas yang terletak di
bahagian bawah mesin penggiling.
Di dalam kesusasteraan. Mereka jarang
membahaskan era sebelum Islam masuk kecuali tulisan berkenaan bahtera Nabi Nuh
atau kisah-kisah asmara dan Raffles menyatakan betapa sukarnya dan hamper tidak
menjumpai maklumat-maklumat tentang sejarah dalam penulisan tersebut. menurut
Raffles, di Jawa dia sangat beruntung kerana boleh menjumpai sisa-sisa sastera
dan seni kuno bernilai di dalam puisi, runtuhan candi, arca dan juga prasasti.
Karya sebelum Islam ini dilarang oleh orang Melayu dan sebab itulah Jawa
dianggap sebagai tempat bermulanya seni dan ilmu pengetahuan semenjak pulau
tersebut dimasukkan ke dalam Kepulauan Nusantara.
Ketika tiba di Suruaso, kumpulan
Raffles ditempatkan di sebuah rumah papan sederhana dengan panjang rumah
tersebut sekitar 30 kaki bersebelahan dengan Sungai Emas. Tepat di seberang
rumah papan terdapat sebuah masjid berbentuk bujur sangkar. Di bahagian depan
masjid berkenaan Raffles mendapati terdapat prasasti-prasasti peninggalan
kerajaan Hindu dalam keadaan terbalik. Raffles mendapati prasasti berkenaan
digunakan sebagai tempat berpijak daripada bangunan moden yang menjadi asas
kepada bangunan masjid tersebut. Raffles menyatakan huruf-huruf yang didapati
daripada prasasti berkenaan merupakan huruf yang sama dengan prasasti yang
didapati di Jawa. Dalam masa satu jam, dengan bantuan para pekerja, beliau
sempat menyalin beberapa buah prasasti berkenaan.
Semasa berjalan meninggalkan Suruaso,
kumpulan Raffles melalui kawasan yang mempunyai beberapa kolam kecil, dan
selepas daripada kolam kecil itu, mereka melalui kawasan runtuhan bangunan dan
yang tinggal hanyalah binaan seperti arca dan juga runtuhan binaan yang
dipercayai merupakan binaan gerbang masuk kota.
Di Pagaruyung, Raffles dibawa melihat
batu datar besar tempat Sultan Pagaruyung bersemayam. Apabila pekerja Raffles
membersihkan kawasan sekitar batu datar itu, barulah dapat dilihat kawasan
istana yang sudah terkubur. Tiada prasasti ditemui tetapi dapat ditemui arca
pada zaman dahulu yang digunakan untuk mengenang orang yang sudah meninggal
pada zaman dahulu. Arca ini dipahat dengan saiz yang kecil tetapi halus
buatannya. Dipercayai arca ini dibuat pada zaman Islam. Tempat yang menjadi
kawasan orang kaya-kaya dahulu berehat kini sudah menjadi kawasan penanaman
tebu dan juga mentimun oleh penduduk setempat.
Raffles juga mendapati industri
pembuatan di Minangkabau lebih maju. Minangkabau terkenal dengan pembuatan
kerisnya. Di sini, besi ditempa dan dijadikan beberapa jenis hasil yang dapat
menampung keperluan luar daripada Minangkabau. Industri tembikar berskala besar
yang terdapat di pinggiran danau tidak hanya membekalkan Padang, tetapi juga
membekalkan Bengkulu dangan kualitinya yang baik.
Memoir of the Life and Public Services of Sir Thomas Stamford Raffles by
His Widow Vol. 1 (edisi
kedua), London: James Duncan, 1835, hlm 401-409, 413, 415-427, 432-433 dalam
Anthony Reid. 2010. Sumatera Tempo Delo, dari Marco Polo sampai Tan Malaka.
Jakarta. Komunitas Bambu. m/s 196-211.
Kertas ini dibentangkan pada Perjumpaan Bulanan Kumpulan Penyelidikan Teknologi Melayu ASASI di Bilik Perbincangan ATMA pada 22/4/2014
Sunday, March 16, 2014
Apa sainsnya petua, azimat, nujum dan lain-lain?
Menurut
Shaharir (2003), kegiatan mencungkil unsur sains dalam manuskrip Melayu-Jawi
yang terbenam di perpustakaan/muzium/arkib seluruh negara, khasnya di Perpustakaan
Negara Malaysia (PNM), belum dilakukan oleh kumpulan penyelidik tempatan. Dalam
usaha menghidupkan kembali penyelidikan ini, beliau telah melakukan kajian
terhadap judul manuskrip Melayu-Jawi seluruh dunia yang telah dikatalog oleh
PNM. Itulah yang telah melahirkan pengelasan ilmu secara kasar dan tekaannya
sahaja akan semua manuskrip melayu-Jawi seluruh dunia berasaskan katalog yang
dilakukan oleh PNM tersebut.
Dalam jumpaan Shaharir pada 2003
tersebut, beliau telah mengkelaskan manuskrip sains kepada;
1. Ramalan & taabir (astrologi, azimat, firasat, hikmat, ilmu bintang,
ilmu nujum, ketika/kuteka, petua, perimbun, raksi/rasi, rejang, tilik, ta’bir/takbir dan sebagainya.
2. Falsafah (tashawwuf dan
mantiq)
3. Perubatan (tib, murajabat)
4. Sains hayat
5. Teknologi / kejuruteraan
6. Asal kejadian alam, manusia, dan makhluk lain
7. Astrologi-astronomi / kosmologi / kosmogeni / kosmogenesis (ilmu falaq,
hay’aht, nujum, ilmu bintang)
8. Faraidh
9. Sains fizis
10. Matematik (ilmu hisab, ilmu hitung)
Jika dilihat daripada kelas
manuskrip yang diberikan oleh Shaharir di atas, perkara yang menjadi
kemusykilan adalah dimanakah terletaknya sains dalam petua, azimat mantera dan
lain-lain lagi yang dirasakan tiada unsur sains tetapi hanyalah mitos atau
kepercayaan bangsa Melayu sahaja.
Daripada sudut petua, penelitian awal yang dilakukan
oleh Hashim Awang (2006) terhadap Manuskrip 331 yang tersimpan di Perpustakaan
Negara Malaysia (PNM) mendapati petua yang diberikan oleh penulis kesemuanya
bertitik tolak daripada bulan dan hari. Bulan dan hari menjadi asas menentukan
kesesuaian dan keselamatan untuk menjalankan sebarang aktiviti. Pengiraan bulan
itu berdasarkan bulan Hijrah. Taqwim Hijrah ini mempunyai 12 bulan iaitu
Muharram, Safar, Rabi’ul-awwal, Rabi’ul-akhir, Jamadil-awwal, Jamdil-akhir,
Rajab, Sya’aban, Ramadhan, Syawwal, Zulkae’dah, dan Zulhijjah. Setiap bulan
mempunyai keistimewaan dan kemudharatannya sendiri. Menurut Hashim Awang,
manuskrip yang ditelaah olehnya ini mempunyai beberapa petua yang kebanyakan
orang Melayu menggunakannya seperti petua membina rumah, petua menamakan anak
dan petua cuaca.
Sebagai contoh, untuk membina rumah seseorang itu
perlu terlebih dahulu menentukan bulannya dengan mengambil kira kesesuaian
bulan itu dari segi manfaat dan kemudharatannya. Bulan Muharram tidak sesuai
untuk memulakan kerja membina rumah kerana akan terjadi huru-hara dalam rumah
tersebut. Mengikut M331, hanya empat bulan sahaja yang tidak sesuai untuk
membina rumah iaitu Muharram, Jamadil-akhir, Rejab dan Syawal. Bagi bulan lain
terdapat keistimewaan tertentu . Terdapat juga bulan yang bersifat neutral yang
bermaksud tiada manfaat atau mudharat seaindainya rumah dibina dalam bulan itu
iaitu bulan Rabi’ul-awwal. Setelah ditentukan bulannya, perlulah ditentukan
pula hari hendak memulakan kerja pembinaan. Daripada seminggu, hanya hari Ahad
dan Isnin sahaja yang sesuai untuk memulakan kerja. Hari-hari lain menurut M331
mendatangkan pelbagai masalah kepada penghuninya. Misalnya, sekiranyan rumah
dibina pada hari Selasa dipercayai pasangan suami isteri yang mendiami rumah
tersebut bukan sahaja bercerai berai, tetapi juga akan kehilangan harta. Hari
Rabu pula penghuninya akan kehilangan isteri manakala hari Sabtu, penghuninya
walaupun mendapat banyak harta tetapi harta tersebut akan menyebabkan perkelahian
antara keluarga, fitnah memfitnah dan penghuninya tidak akan kekal tinggal
dalam rumah tersebut.
Untuk
petua menamakan bayi, ia turut menggunakan hari sebagai panduan. M331
menngemukakan nama-nama yang sesuai berpadanan dengan hari lahirnya seseorang
bayi itu. Persoalan tentang kesesuaian hari tidak timbul kerana manusia tidak
mendapat mengawal kelahiran itu. Jika dilihat, pemilihan hari atau bulan untuk
membina rumah serta menamakan anak memang tidak mempunyai kaitan dengan sains
atau teknologi secara langsung. Tetapi, petua-petua ini yang merujuk kepada
bulan dan hari merupakan suatu bentuk hipotesis dalam sains. Petua seperti jika
membina pada hari ini, akan jadi begini merupakan suatu hipotesis sains.
Hipotesis ini menerangkan sebab dan akibat yang akan berlaku pada masa hadapan
jika melakukan sesuatu perbuatan mengikut hari tertentu.
Selain
daripada menunjukkan hipotesis sains, petua-petua ini juga ada menunjukkan
pengaruh astrologi dalam pemikiran alam melayu. Astrologi merupakan ilmu nujum
atau peramalan yang berdasarkan bintang-bintang (Kamus Dewan). Bintang-bintang
yang kebiasaannya dirujuk dalam ilmu nujum Melayu adalah bintang 12 mengikut
padanan planet yang terdapat dalam alam semesta seperti Kamal, Masura, Hafiz,
Satan, Qamar, Sabla, Mizan, Haqrah, Talur, Qaus, Jud dan Hadrat. Menurut Kitab Bintang 12 yang telah ditelaah
oleh Abdul Rahman Kaeh (2006), bintang ini akan menunjukkan fasal yang baik
serta nahas mengikut edaran hari dan saat. Bukanlah isi kandungan dan
fasal-fasal yang terkandung dalam kitab itu yang hendak ditonjolkan, tetapi
perkaitan perangai dan tingkah laku manusia yang digambarkan dengan merujuk
kepada bulan kelahiran, bintangnya serta hari kelahirannya.
Menurut
Sahahrir (2013), manuskrip yang ditelaahnya MS 1864 yang terdapat di PNM
mengandungi tajwid, rejang, kutika, bintang dan ubatan. Bagi beliau, manuskrip
ini penuh dengan hipotesis matematik perubatan. Pembuktian dan penyahbuktian
hipotesis itu memerlukan kerjasama dengan bijak-bestari tempatan (bomoh dan
sebagainya) untuk mengenal segala tumbuhan dan mergastua serta mendapatkan
pesakit berkenaan. Manuskrip ini juga memberi istilah Melayu Lama yang sudah
terfosil seperti istilah astronomi, iaitu rasi dan bintang tujuh yang mendorong
seseorang mengkaji lebih banyak lagi rasi dan bintang Malayonesia serta
membandingkannya dengan rasi-rasi Hindia dan Eropah. Mengapa menggunakan
bintang tujuh juga menjadi persoalan sedangkan kebanyakan kitab nujum Melayu
terdapat juga bintang 12. Manuskrip ini turut menerbitkan masalah sampingan
kepada ahli biologi untuk mendapatkan nama sains bagi setiap tumbuhan yang
sehingga kini masih tidak dapat diketahui spesiesnya.
Ramai
orang ramai termasuk sarjana yang cuba menafikan sainsnya segala petua, azimat
dan sebagainya. Mereka beranggapan bahawa sarjana atau individu yang berusaha
untuk mengkelaskan segala petua ini termasuk dalam sains adalah orang yang
seperti ‘bermimpi di siang hari’. Mereka beranggapan bahawa jika Melayu ini
maju dan sarat dengan ilmu, bagaimana boleh jatuh ke tangan penjajah. Orang-orang
seperti ini biasanya antara orang yang tidak tahu dan juga tidak mahu mengkaji
dengan lebih mendalam berkenaan dengan apa yang telah dihasilkan oleh orang
melayu dahulu. Mereka lebih senang menggunakan serta menambahbaik apa yang
ditinggalkan oleh penjajah.
Jika diikutkan, memang tiada hubungan secara
langsung petua, azimat atau lain-lain dengan sains jika dilihat daripada
pandangan kasar, tetapi sebenarnya cara pandangan alam daripada sudut pandangan
manusia memang berlainan kerana berbezanya makna atau tafsiran sesuatu unsur
sains dari suatu kebudayaan (agama dan bahasa) ke suatu kebudayaan yang lain
(Shaharir 2013b). Setiap manusia ataupun kebudayaan yang berlainan mempunyai
pandangan alamnya yang tersendiri. Sudut pandangan orang Melayu tidaklah sama
dengan pandangan orang bukan Melayu. Tetapi, sudut pandangan orang bukan Melayu
yang hidup dalam kebudayaan Melayu boleh menerima pandangan Melayu tersebut dan
mungkin menjadikan pandangan mereka sama seperti pandangan melayu juga. Ini
dapat dilihat seperti al-Raniri dan Hamzah Fansuri yang bukanlah seorang
penduduk tempatan Acheh tetapi mempunyai sudut pandangannya merujuk kepada alam
Melayu yang boleh dilihat melalui hasil tulisan mereka.
Boleh
dikatakan juga bahawa petua dan semua yang dibincangkan di atas mempunyai unsur
kosmologi dalam alam Melayu. Kosmologi ini merupakan pandangan alam atau
pandangan hidup sesuatu kaum, etnik atau bangsa dalam segala aspek kehidupannya
sehingga terangkumlah dengan sistem kepercayaan adat resam, kesenian dan
kebudayaan (Shaharir. 2013). Daripada apa yang difahami, kosmologi ini akan
berbeza bagi setiap kaum atau bangsa. Mungkin sesetengah pihak tidak menganggap
petua atau lain-lain lagi tidak ada unsur sains tetapi bagi orang Melayu, petua
yang diberikan dan ditulis dalam manuskrip merupakan pandangan alam orang
Melayu terhadap alam sekelilingnya. Mungkin tiada niat dalam hati pemerhati
yang merakamkan petua tersebut berdasarkan pemerhatian sains tetapi pemerhatian
mereka itu merupakan suatu sains.
Jika
dilihat sejarah astrologi itu sendiri, menurut Kim Farnell (2007) bagi
mengetahui sejarah astrologi, kita harus kembali ke zaman Babylon purba di mana
manusia pertama kali menemui bahawa fenomena kosmik mempunyai hubungan dengan
perubahan musim dalam setahun. Jadi mereka perlu meramal keadaan cuaca bagi
memastikan mereka dapat bercucuk tanam dan memungut hasil yang baik. Jelaslah
di sini dapat dilihat bahawa, astrologi itu bermula dengan pemerhatian manusia
secara kasar terhadap alam sekeliling. Daripada pemerhatian inilah menjadikan
fenomena yang berlaku suatu kajian yang lebih mendalam pada masa akan datang.
Ini samalah seperti pandangan atau pemerhatian orang Melayu terhadap fenomena
yang berlaku di sekeliling mereka. Daripada pemerhatian mereka ini sepatutnya dilakukan
kajian yang lebih mendalam untuk mengetahui sebab-musabab fenomena tersebut
boleh berlaku.
Harun
Mat Piah (2005) menegaskan pula bahawa masyarakat Melayu menguasai ilmu tentang
alam dalam makna ilmu bintang, falak, atau astrologi sejak zaman prasejarah
lagi. Tambah beliau lagi, sebagai suatu bangsa pelayaran, mereka menggunakan
pengetahuan ilmu bumi, musim, angin, ribut, taufan, hujan dan lain-lain untuk
berwaspada serta bersedia menghadapi apa juga keadaan yang mungkin berlaku.
Sahlah disini petua yang diturunkan kepada golongan baru merupakan satu ilmu
yang sangat berguna kepada orang lain untuk melakukan pekerjaan harian mereka.
Petua-petua yang diberikan juga merupakan pemerhatian mereka terhadap fenomena
yang berlaku di sekeliling mereka. Fenomena yang mereka perhatikan ini jika
dikaji dengan lebih lanjut mungkin akan menerbitkan suatu ilmu baru ataupun
paling tidak pun menambah sesuatu dalam ilmu.
Dalam
ilmu nujum atau ramalan dalam alam Melayu pula, Haron Daud (2009) ada
menayatakan pemerhati akan melihat setiap perkara yang menjadi rujukan
pemerhatiannya seperti hari, bulan, cuaca dan apa-apa yang berkaitan dengan
keadaan sekeliling. Sebagai contoh, untuk bercucuk tanam, terdapat perkiraan
hari dan bulan yang baik atau tidak baik untuk memulakan tanaman. Orang yang
ingin memulakan bercucuk tanam, akan melihat hari atau bulan tersebut sambil
melihat keadaan cuaca dan mula mengira untuk melihat kesesuaian memulakan kerja
tanaman. Jika pelaku itu tidak mahir dalam ilmu penujuman ini, meraka akan
berjumpa dengan ahli nujum untuk menujum waktu yang sesuai. Keadaan cuaca atau
fenomena alam yang dilihat boleh menjadikan pemerhatian mereka berupa
pemerhatian saintifik kerana terdapat waktu-waktu yang tidak sesuai itu adalah
waktu musim hujan yang lebat ataupun musim kurangnya hujan. Ini merupakan hujah
yang boleh dikatakan ilmu nujum, petua dan lain-lain terdapat unsur dan
pemikiran saintifik daripada orang Melayu. Sarjana Melayu sekarang perlulah
dengan lebih teliti untuk mengkaji petua, nujum dan lain-lain lagi untuk melihat tahap kebenaran petua tersebut.
Jika
dilihat maksud sains itu sendiri pemerhatian terhadap sesuatu dengan bersistem,
mantik dan objektif dengan menggunakan kaedah khusus yang diperantikan untuk
mewujudkan penumpukan ilmu pengetahuan yang boleh dipercayai. Takrif di atas
menunjukkan sains itu merupakan pemerhatian seseorang terhadap suatu peristiwa
di sekelilingnya berdasarkan kaedah yang digunapakai oleh pemerhati itu sendiri
untuk mendapatkan pengetahuan berdasarkan pemerhatiannya itu. Proses
mendapatkan ilmu ini seperti biasanya adalah melalui pengalaman, kemudiannya
mendapatkan fakta dan peraturan daripada pengalaman yang telah lalu. Cara sains
mengkaji sesuatu perkara adalah dengan melihatnya dengan teliti, mengukurnya,
membuat ujikaji dan dengan cuba menerangkan mengapa suatu fenomena itu terjadi.
Persoalan mengenai petua merupakan ilmu Melayu yang tidak saintifik adalah
tidak benar kerana ia merupakan suatu kaedah pencerapan daripada seseorang
pencerap kepada perkara yang dicerapnya.
Petua menunjukkan
pengalaman seseorang terhadap suatu fenomena di sekelilingnya dan menurunkan
apa yang diperhatikannya itu kepada orang lain samada melalui lisan ataupun
tulisan. Terdapat juga beberapa pendapat mengatakan pencerapan yang membenihkan
petua itu tidak menerusi ujikaji yang saintifik. Pendapat ini juga boleh
disangkal kerana ujikaji saintifik adalah berdasarkan fenomena yang berlaku di
sekeliling pencerap. Fenomena ini kemudiannya akan disusun atur oleh pencerap
untuk melihat samada pandangan atau pemerhatiannya pada pertama kali itu sama
dengan hasil perhatiannya pada kali yang lain.
Sebagai
contoh, dalam petua membina rumah, terdapat petua yang menyuruh orang yang
ingin membina rumah agar pintu rumah itu menghadap arah anging bertiup agar
angin mudah masuk ke dalam rumah. Petua ini mungkin diperhatikan daripada orang
sebelum mereka yang membina rumah dengan tidak melihat arah angin menyebabkan
rumah mereka tidak dimasuki angin selepas siap rumah tersebut. Walaupun tiada
radas yang diperlukan untuk melakukan kajian tersebut, tetapi pengalaman yang
ditempuhi pencerap itu menjadikan petua yang ditinggalkan lebih bersifat
saintifik.
Walau
bagaimanapun, tidaklah dinafikan bahawa setiap cerapan yang dilakukan oleh
orang dahulu yang boleh membuahkan petua itu benar secara mutlak. Ini kerana
pencerap merupakan seorang manusia yang tidak lari daripada melakukan
kesilapan. Pandangan mereka terhadap fenomena yang dilihatnya mungkin betul dan
mungkin juga salah. Walaupun pemerhatian yang berkali-kali dilakukan oleh
pencerap tersebut dan menghasilkan hasil yang sama. Pemerhatian mereka terhadap
suatu fenomena itu juga boleh menghasilkan pandangan yang lain jika dilihat dan
diperhatikan oleh orang lain. Oleh sebab itulah banyak petua untuk satu-satu keadaan.
Sebagai contoh, ada petua menamakan anak berdasarkan bulan dan hari anak
dilahirkan. Terdapat juga petua menamakan anak berdasarkan rejang nama ibu dan
ayahnya. Ada juga petua menamakan anak itu berdasarkan kiraan-kiraan tertentu
dan ada juga yang menyuruh orang lain menamakan anak mereka berdasarkan
ketinggian ilmuan orang itu. Mungkin masyarakat masa itu menggunakan petua yang
biasa mereka gunakan sahaja. Tidak mencampuri petua-petua yang berlainan.
RUJUKAN
Abdul Rahman Kaeh. 2006. Kitab Bintang Dua Belas. Dalam Rogayah A.
Hamid dan Mariam Salim (penyt). Kepustakaan
Ilmu Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa & Pustaka
Furnell, K. 2007. Astrology - An
Illustrated Guide. London. Star Fire
Haron Daud. 2009. Kitab Ilmu
Nujum Melayu. Bangi. ATMA UKM
Harun Mat Piah. 2005. Pendahuluan. Dalam Rogayah A. Hamid dan Mariam
Salim (penyt). Kepustakaan Ilmu Melayu.
Kuala Lumpur. Dewan Bahasa & Pustaka
Hashim Awang. 2006. Manuskrip 331: Petua Melayu Dalam Rogayah A. Hamid
dan Mariam Salim (penyt). Kepustakaan
Ilmu Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa & Pustaka
Kamus Dewan
Shaharir Mohamad Zain. 2003. Sains dan Teknologi Melayu Sebelum
Dikuasai Penjajah Dari Eropah. Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu. 1(2): 157-204
Shaharir Mohamad Zain. 2006. Sains dan Teknologi Melayu Sebelum
Dikuasai Penjajah dari Eropah. Dalam
Rogayah A. Hamid dan Mariam Salim (penyt). Kepustakaan Ilmu Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa & Pustaka
Shaharir Mohamad Zain. 2013. Bagaimanakah Sains Matematik Malayonesia
dapat Ditemui di dalam Manuskrip dalam bahasa Melayu-Jawi Pra-Abad ke 20 M.
Kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Etnomatematik anjuran Pusat
Pengajian Sains Matematik UKM (26 Jun 2013)
Shaharir Mohamad Zain. 2013b. Epistemologi Malayonesia Berbahasa
Melayu. Kertas kerja yang dibentangkan pada Forum Arus Melayu sempena Festival
Georgetown Pulau Pinang anjuran Penang Institute (16 Jun 2013).
Kertas ini dibentangkan dalam Seminar Etnosains anjuran Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya
PENDIDIKAN SEJARAH MEMBENTUK KAREKTER ANAK MUDA
Sejarah
merupakan kajian mengenai masa lampau terutamanya yang berkaitan dengan
manusia. Ini termasuklah mengenai kerajaan, peperangan, adat istiadat, dan
segala perlakuan manusia pada masa lampau. Menurut Ibnu Khaldun, sejarah
merupakan catatan tentang masyarakat umum manusia atau peradaban manusia yang
terjadi pada masyarakat itu. Pendidikan sejarah merupakan suatu matapelajaran
yang dapat membuka minda kepada pelajarnya mengenai apa yang dilakukan oleh
bangsanya sendiri dengan dibandingkan apa yang berlaku pada masyarakat lain di
bahagian dunia lain pada waktu yang sama. Francis Bacon ada menyatakan sejarah
merupakan pengetahuan tentang sesuatu objek yang ditentukan oleh ruang dan
waktu.
Setiap
bangsa mempunyai sejarahnya tersendiri dan kebiasaannya, sejarah ini ditulis
oleh pemerintah kepada bangsa tersebut. Jika bangsanya sendiri yang memerintah,
makanya sejarah bangsanya akan diagung-agungkan melebihi bangsa lain. Jika
bukan bangsanya yang memerintah, makanya cerita atau sejarah sesuatu bangsa itu
hanya akan terpendam sahaja dalam benak-benak orang yang mengetahuinya. Jika
nasib baik, akan disebut dalam buku-buku teks sejarah tetapi hanyalah sekadar fakta
sampingan sahaja. Sama ada bangsa itu mempunyai kehebatannya tersendiri,
ataupun hanyalah sekadar bangsa yang menghuni dalam hutan, sejarah setiap
bangsa ini perlu ditulis semula bagi melihat apakah yang ada pada bangsa itu
pada waktu dahulu jika mahu dibandingkan dengan apa yang bangsa itu ada pada
waktu sekarang. Penulisan sejarah semula ini penting supaya anak-anak akan
datang dapat mengetahui apakah yang ada pada bangsanya dahulu. Dengan
pengetahuan terhadap keupayaan bangsanya pada zaman dahulu, membolehkan
semangat ingin memajukan bangsanya untuk mewarisi kehebatan bangsanya seperti
zaman dahulu.
Jika
dilihat kepada bangsa Minangkabau, pernah terdengar daripada beberapa orang
pemikir dan terbaca pada beberapa laman sesawang yang cuba menidakkan keupayaan
bangsa Minangkabau ini sejak dahulu lagi. Sama ada mereka tidak pernah membaca
mengenai kehebatan bangsa ini ataupun tahu tetapi menidakkan perkara-perkara
tersebut. Ini menjadi persoalan dan menjadi tanggungjawab kepada para pemikir
sejarah bangsa Minangkabau untuk membangunkan kembali ilmu sejarah Minangkabau.
Para pengkaji sejarah Minangkabau perlulah mula mengumpulkan maklumat dan
sejarah-sejarah lampau mengenai bangsa Minangkabau ini dan ditulis dalam satu
buku khas untuk tatapan generasi akan datang supaya mereka dapat menghargai dan
berbangga lahir dalam bangsa Minangkabau. Terdapat beberapa perkara yang
menjadi minat penulis untuk dibincangkan supaya dapat membuka minda generasi
sekarang dan akan datang untuk memulakan pengumpulan bahan-bahan sejarah bangsa
Minangkabau.
1.
Perantau
Mengapa
orang Minang terkenal dengan sifat suka merantaunya? Sejak bilakah mulanya
sifat orang Minang menjadi perantau ini? Sejarah ada mencatatkan bahawa
penghijrahan pertama yang berlaku pada abad ke-7 yang mana para pedagang emas
yang berada di pedalaman Minangkabau ingin melakukan perdagangan dan meluaskan
perniagaan mereka di muara Jambi serta daripada pedagang inilah yang membentuk
Kerajaan Melayu (Paul M.N., 2006). Pada abad ke-14 pula, penghijrahan secara
besar-besaran berlaku apabila banyak keluarga Minang berpindah ke pantai timur
Sumatera untuk mendirikan kumpulan-kumpulan pedagang di Batubara, Pelalawan hinggalah ke Tanah
Melayu di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Di samping itu, orang Minang juga
banyak berhijrah ke pesisir pantai barat Sumatera. Kebanyakan perantau Minang
menduduki di Melabuh, Acheh, Barus hinggalah ke Bangkulu (Christine D. 2008).
Setelah Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke Portugis pada 1511, orang Minang
berhijrah pula ke Sulawesi Selatan dengan menjadi penyokong kepada Kesultanan
Goa dengan menjadi pedagang dan juga pentadbir kerajaan. Pada abad ke-18,
penghijrahan besar-besaran sekali lagi berlaku apabila orang Minangkabau
mendapat hak keistimewaan untuk mendiami kawasan Kerajaan Siak. Penhijrahan
lain yang berlaku adalah semasa penjajahan Belanda pada 1920 ketika pembukaan
kebun tembakau di Sumatera Timur. Semasa kemerdekaan Indonesia, penghijrah
Minang banyak menduduki Bandar-bandar besar di Jawa.
Kebanyakan
penghijrahan yang disebutkan di atas merupakan penghijrahan orang Minang
disebabkan faktor ekonomi dan kedudukan. Terdapat juga perantauan orang Minang
ini disebabkan oleh factor keilmuan. Pada akhir abd ke-18, ramai pelajar
daripada Minang merantau ke Mekah untuk mendalami pengajian agama Islam seperti
Haji Miskin, Haji Piobang dan Haji Sumanik. Apabila para pelajar ini pulang
daripada pengajian, mereka menjadi penyokong kuat gerakan Paderi dan penyebaran
pemikiran Islam di seluruh Minangkabau dan Mandailing. Penghijrahan kedua ke Timur
Tengah pula berlaku pada awal abad ke-20 oleh Abdul karim Amrullah, Tahir
Jalaluddin, Muhammad Jamil jambek dan Ahmad Khatib al-Minangkabawi. Selain
menghala ke Timur Tengah, terdapat juga para pelajar daripada Minangkabau yang
melakukan perantauan ke Eropah seperti Abdul Rivai, Mohammad Hatta, Sutan
Syahrir, Roestam Effendi dan Nazir Pamuntjak. Selain itu, intelektual lain
seperti Tan Malaka pernah hidup mengembara di lapan buah Negara sekitar Eropah
dan juga Asia. Tan Malaka bukan sahaja pergi mengembara di negara orang, malah
menjadi penghubung rangkaian pergerakan kermerdekaan Asia. Boleh dikatakan
kesemua pelajar Minang yang merantau di Eropah tersebut akhirnya pulang menjadi
pejuang kemerdekaan dan pengasas Republik Indonesia.
Daripada
kisah perantau ini sahaja sudah menampakkan betapa hebatnya bangsa Minangkabau
ini sejak dahulu lagi. Para pemuda harus menghayati perjuangan-perjuangan orang
Minang dahulu supaya dengan penghayatan ini akan membolehkan para pemuda Minang
untuk menangkis persoalan daripada bangsa lain apa yang hebatnya pada bangsa
Minang.
2.
Teknologi
Peperangan
Jika
dibaca pada catatan-catatan Belanda mengenai peperangan di Minang, akan
didapati beberapa ayat yang menyatakan bahawa orang Minang merupakan suatu
bangsa yang sukar untuk dikalahkan dalam peperangan. Teknik dan taktik
peperangan yang digunakan oleh orang Minang merupakan berlainan dengan apa yang
ditempuhi Belanda semasa melawan tentera Diporonegoro. Tulisan dan catatan
daripada Hendrix dan beberapa ketua turus tentera Belanda yang pernah berperang
di Sumatera Barat menyatakan bahawa orang Minang ini sangat handal dan hebat
dalam pembinaan benteng pertahanan. Kekuatan benteng pertahanan ini membolehkan
mereka hanya memerlukan kekuatan tentera yang sedikit sahaja untuk mengawal
benteng pertahanan. Penguasaan pejuang Minang terhadap alam sekeliling dan
bijak menggunakan alam sekitar sebagai pertahanan juga turut diakui oleh Belanda.
Penggunaan buluh runcing sebagai pagar kawasan membolehkan pejuang Minang
mengetahui setiap pergerakan musuh.
Di
samping kehebatan daripada pembinaan benteng pertahanan, orang Minang juga
berjaya untuk membuat sendiri senjata api untuk berperang. Walaupun pada
asalnya mereka mempelajari daripada bantuan China dan juga Turki, namun mereka
masih boleh lagi mengubahsuai bentuk senjata itu supaya selesa dengan
penggunaan mereka. Ini kerana contoh senjata yang diajar kepada mereka mungkin
tidak sesuai dengan tubuh badan orang Minang yang lebih kecil berbanding dengan
orang Turki dan juga China. Perbezaan yang ketara antara senapang yang diimport
dengan buatan sendiri adalah adanya sumbu khas yang hanya diketahui oleh orang
Minang sahaja penggunaannya. Bukan setakat senapang sahaja yang dibuat, malah
peluru senapang itu juga dibuat sendiri dengan menggunakan sumber yang berada
di sekitar mereka. Suatu yang amat menghairankan adalah, adunan untuk membuat
peluru senapang itu dengan menggunakan belerang yang terdapat di sekitar
kawasan gunung berapi dan juga garam kalium nitrat yang diekstrak daripada
najis haiwan. Bagaimana orang Minang mengetahui dalam najis haiwan terdapatnya
garam kalium nitrat tersebut? Bagaimanakah teknologi pengekstrakan yang
dilakukan pada masa tersebut? Ini semualah perlu dijawab dengan mengkaji dan
meneliti semula sejarah silam dan penambahan fakta ini akan menjelaskan bahawa
teknologi orang Minang pada masa lampau sudah mencapai sebuah teknologi yang
boleh dikatakan setara dengan teknologi yang berada di Barat.
Selain
itu, strategi peperangan yang sukar dijangka juga memberikan kelebihan kepada pejuang
Minang untuk melawan tentera Belanda. Strategi peperangan yang bertahan
diamalkan oleh pejuang Minang semasa melawan tentera Belanda. Pertahanan yang
kukuh dan kemahiran orang Minang menggunakan sumber alam sebagai perisai banyak
membantu pejuang Minang dalam memenangi peperangan. Jarang untuk pejuang Minang
menggempur musuh dalam keadaan kawasan lapang kecuali pada beberapa situasi
tertentu. Seperti semasa tentera belanda sedang berehat ataupun semasa tentera
Belanda sedang menyusun barisan tenteranya. Ini amat menakjubkan kerana pejuang
Minang dengan berani menyerang ribuan tentera Belanda dengan hanya menggunakan
kelewang dan juga bilangan tentera yang sedikit. Sebagai contoh, dalam catatan
Hendrix ada menyatakan serangan yang dilakukan oleh orang Minang dapat didengari teriakan, pekikan dan jeritan
yang menakutkan, keras serta kuat. Suara-suara keras ini sahaja dapat
mengkucar-kacirkan tentera Belanda. Selain dapat mengkucar-kacirkan pertahanan
Belanda, suara ini juga dapat meningkatkan semangat juang mereka. Pernah
terjadi satu peristiwa 30 orang pejuang Minang menakutkan 2000 orang tentera
Belanda yang diwakili oleh orang Melayu. Tambahan Hendrix, untuk mengalahkan
pejuang Minang, yang penting jangan takut dan cemas. Pernah terjadi 60 orang
Minang menakutkan dan mengacau bilaukan ribuan tentera Belanda yang diwakili
oleh oleh orang Melayu dan juga 50 orang tentera Bugis. Sedang tentera Melayu
melarikan diri, orang Bugis yang sudah biasa bertempur dengan tenang membuat
formasi pertahanan mereka iaitu dengan membuat separuh lingkaran. Betapa
nekadnya pejuang Minang menyerang 50 orang Bugis ini dengan sebelah tangan
menetak musuh dan sebelah tangan lagi cuba merampas senjata orang Bugis
tersebut. Oleh kerana ketenangan dan formasi pertahanan Bugis itu, hanya 10
orang sahaja tentera Belanda yang terkorban.
Daripada
catatan-catatan sejarah inilah yang perlu diketengahkan untuk memberi suatu
inspirasi baru kepada para pemuda untuk lebih mengenali bangsanya sendiri.
Dengan itu, akan menghasilkan pemikiran yang percaya akan kehebatan bangsanya
masa lampau. Perasaan kekurangan pada bangsa sendiri ditanam oleh penjajah
dahulu untuk melemahkan pemikiran dan memasung minda bangsa tersebut supaya
patuh pada penjajah yang datang ke mari untuk mentamadunkan manusia.
3.
Sains
dan teknologi
Walaupun
tiadalah ilmu sains dan teknologi yang boleh dibanggakan seperti keagungan
sains dan teknologi Barat seperti sekarang, masih ada pemikiran sains dan
teknologi dalam alam Melayu. Ia mungkin tidak termasuk dalam buku-buku teks
sains pada zaman sekarang. Tetapi boleh dirujuk dalam catatan-catatan lama dan
juga dalam manuskrip-manuskrip Melayu dahulu. Sebagai contoh, bagaimanakah
orang Minang dapat mengetahui dalam najis haiwan adanya garam kalium nitrat
yang merupakan garam yang penting dalam pembuatan peluru dan juga bahan
peledak. Perkara ini harus dikaji dan sejarah kedatangan teknologi pembuatan
senjata ini perlu diselongkar untuk melihat bagaimanakah orang Minang dapat
mempelajari teknologi pembuatan senjata dan juga peluru. Apakah hubungan orang
Minang dahulu yang menyebabkan teknologi persenjataan ini berpindah kepada
mereka? Inilah persoalan sejarah yang perlu dirungkai oleh ahli sejarah kini
untuk menyelongkar kembali ilmu-ilmu dan fakta-fakta sejarah yang telah
dikuburkan oleh para penjajah. Daripada sejarah inilah para pemuda sekarang
akan dapat belajar dan tahu bahawa bangsanya dahulu merupakan satu bangsa yang
hebat. Banyak ilmu dan teknologi dilakukan mengikut acuan sendiri.
Selain
daripada ilmu peperangan tersebut, terdapat juga dalam sejarah mengenai seorang
anak Minang yang mengajar dan juga menjadi khatib di Masjidil Haram, Mekah
iaitu Syeikh Ahmad Bin Abdul Latif al-Khatib. Syeikh Ahmad al-Khatib telah
menulis dua buah kitab berkenaan dengan matematik iaitu Raudah al-Hussab fi ‘ilm al-Hisab yang menjadi kitab pengajarannya
di Mekah dalam Bahasa Arab. Sebuah kitab lagi adalah Alam al-Hussab fi ‘ilm al-Hisab dalam Bahasa Melayu yang digunakan
oleh beliau kepada anak muridnya yang masih tidak fasih dengan istilah-istilah
matematik dalam Bahasa Arab. Kedua-dua kitab ini kebanyakannya banyak
membincangkan mengenai konsep pilihatur dan gabungan dengan menyelesaikan
masalah fekah dalam konteks masyarakat di Minang.
Sebagai
contoh beliau dalam kitab tersebut adalah, seorang murid berjanji memberikan
gurunya makan dengan menggunakan 4 pinggan satu dulang tetapi satu dulang
tersebut hanya boleh memuatkan 3 pinggan. Bagaimanakah kaedah penyusunan
pinggan tersebut menjadi suatu perbincangan dalam menyelesaikan masalah semasa
itu. Selain itu, beliau ada membuat contoh bagaimana hendak memilih beberapa
ekor burung nuri dalam beberapa sangkar untuk dijadikan permainan dan
pertandingan. Beberapa ekor burung nuri terdapat dalam sebuah sangkar. Konsep
pilihatur dan gabungan akan digunakan untuk menjawab persoalan tersebut.
Mengapakah contoh memberi makan kepada guru dan juga pilihan burung nuri
tersebut menjadi pilihan beliau? Jika diperhatikan pada sejarah lalu, memang
menjadi sikap anak murid memberi makan kepada tuan gurunya apabila murid
tersebut sedang atau telah habis pengajian kitabnya. Selain itu, sikap orang
kampung yang suka bermain haiwan terutamanya burung nuri kerana bulunya
mempunyai warna yang cantik serta pandai mengajuk kata-kata manusia. Di sini
jelas dilihat bahawa orang dahulu membuat contoh dalam setiap pekerjaan mereka
dengan merujuk kepada apa yang dilakukan oleh masyarakatnya sendiri. Bukan
seperti sekarang jika matapelajaran pilihatur dan gabungan di ajar,
contoh-contoh yang diberikan lebih kepada penggunaan kad judi, buah dadu dan
juga buah epal yang tiada dalam masyarakat kita sekarang.
Di
samping itu, dalam tulisan beliau, ada menyebut beberapa unit pengiraan yang
digunakan pada waktu tersebut. Nilai matawang seperti sen, ringgit dan rupiah,
pikul, kati, saga, kundi dan bungkal sebagai unit berat, hasta dan depa bagi
unit panjang dan cupak serta gantang sebagai unit isipadu. Penulisan beliau ini
mengenai sukatan ini telah ditulis sebuah kitab tulisan beliau dalam Bahasa
Arab yang bertajuk Sulh al-Jama’tain.
Selain daripada unit pengiraan, beliau juga turut membincangkan mengenai
pendaraban dan pembahagian sehinggalah penentuan punca kuasa yang berpandukan
kepada masalah harian masyarakat. Bilangan-bilangan nombor yang disebut oleh
beliau dalam kitabnya juga menunjukkan pada masa lalu, sudah ada pembilangan
untuk bilangan yang besar. Sudah tentu jika ada perkiraannya, sudah tentu ada
benda yang dikiranya. Sudah tentu bilangan yang besar ini ada benda yang
dikiranya samada dalam perdagangan ataupun dalam kehidupan seharian masyarakat
setempat. Hanya sejarah yang boleh menentukan perkara apakah yang digunakan
untuk menilaikan benda-benda yang bernilai
besar ini.
4.
Kesimpulan
Sejarah yang ada sekarang
kebanyakannya ditulis oleh orang barat dengan sarat dengan pandangan serta
penelitian mereka. Apa yang ditulis oleh mereka pada masa lalu diambil dengan
mudahnya oleh orang kita dengan mempercayainya bulat-bulat tanpa ada penelitian
semula. Sedangkan penafsiran tentang pemerhatian mereka mungkin berbeza dengan
apa yang sebenarnya berlaku pada waktu itu. Fakta-fakta yang dikemukakan oleh
mereka menyebabkan anak muda pada masa kini dengan mudahnya percaya dengan
kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam bangsa ini. Sikap tiada apa-apa pada
bangsa ini yang diterapkan melalui pengajian sejarah serta menggambarkan bahawa
bangsa ini baik sedikit daripada haiwan ditelan oleh anak muda tanpa membuat
penyelidikan lanjut. Daripada apa yang telah diterangkan melalui catatan
sejarah daripada penjajah, beberapa bukti penulisan manuskrip dan juga kitab,
serta binaan-binaan gah seperti rumah gadang itu menunjukkan bahawa bangsa ini
dahulu merupakan suatu bangsa yang hebat tetapi telah di dungukan dengan
fakta-fakta mengarut daripada penulisan Barat.
Bagaimanakah
mahu membuang segala fakta-fakta mengarut ini dalam minda anak muda kita?
Pertamanya perlu ditulis semula sejarah awal kehidupan bangsa mengikut acuan
bangsa itu sendiri. Segala kehebatan dan kekurangan perlu ditulis supaya
kehebatan itu dapat diwarisi dan kekurangan itu dapat diatasi untuk anak muda
masa hadapan tidak mengulanginya semula. Penulisan semula ini mengikut acuan
yang telah ditetapkan dengan segala fakta-fakta dibongkar dan digilap semula
untuk menjadikan pendidikan sejarah pada masa akan datang dapat membina jati
diri atau karakter masyarakat yang tiada berjiwa hamba. Segala kehebatan
bangsanya akan dibanggakan dan anak muda perlu diajar supaya dapat mengekalkan
kehebatan itu dengan cuba mengatasi kehebatan yang terdapat pada bangsa Barat
pada masa sekarang mengikut acuan tersendiri.
Penelitian
semula terhadap fakta-fakta sejarah lalu perlu diperkemaskan dengan segala fakta
yang meragukan ditapis dan diselidiki terlebih dahulu kebenarannya. Istilah
sejarah ditulis oleh orang yang menang sudah boleh dilupakan tetapi perlu
mempunyai istilah persejarahan yang baharu supaya segala bukti-bukti sejarah
yang ada sekarang adalah lebih adil kepada semua pihak tidak kira kelebihan dan
kelemahan sesebuah bangsa tersebut. Kelebihan itu perlu dikekalkan dan
kelemahan perlu diatasi. Itulah konsep sejarah baharu yang perlu dilakukan oleh
semua pihak. Rekod-rekod yang ada perlu didedahkan supaya pelajar ataupun
masyarakat yang mengetahuinya dapat menilai sendiri mengenai kebenaran lalu.
Masa kini bukanlah masanya untuk menutup kelebihan orang lain dan membenarkan
kelemahan diri.
Penulisan
semula sejarah ini akan membangkitkan semangat kepada genarasi akan datang
untuk mengkagumi bangsa sendiri. Penulisan ini dapat membangkitkan karakter
keberanian kepada generasi akan datang. Bukanlah niat untuk sekadar bangga
dengan bangsa sendiri dan tidak melakukan apa-apa, tetapi perlulah selari
kehebatan bangsanya yang lalu dengan meningkatkan kehebatan dan kemajuan hidup
bangsa mereka pada masa kini serta akan datang.
Rujukan
Anthony Reid. 2004. An Indonesian Frontier: Acehness and other Histories of Sumatra.
Singapore: University od Singapore Press
Christine D. 2008. Gejolak Ekonomi, Kebangkitan Islam dan Gerakan Padri: Minangkabau
1784-1847. Komunitas Bambu.
Hendriks. 1881. Oorlogvoeren
op Sumatera. Indische Militair Tijdschrift. Terjemahan internet (15 Okt
2012)
Marsden William. 1783. History of Sumatera. London. The Project Gutenberg EBook.
Paul M.N., 2006. Early
Kongdoms of The Indonesian Archipelago and The Malay Peninsula. Didier
Millet.
Navis. A.A. 1994. Cerita Rakyat dari Sumatera Barat. Jakarta. Grasindo.
Rusli Amrin. 1981. Sumatera Barat hinggan Plakat
Panjang,
Kertas ini dibentangkan pada Seminar pada Festival Kesenian Sumatera (22-23 Feb 2014)
KUBU PERTAHANAN MINANGKABAU
Setiap
kaum yang terdapat di nusantara ini pasti mempunyai pengalaman dengan penjajah
yang datang daripada Barat. Tidak kiralah sama ada menjadi pengikut ataupun menjadi
penentang penjajah tersebut. Bagi yang menentang kemasukan penjajah ke dalam
tanah air mereka, terdapat berbagai-bagai kaedah yang dapat diperhatikan untuk
mereka melawan musuh. Setiap kaum mempunyai kaedah tersendiri berdasarkan ilmu
yang ada dalam dada mereka. Tidak terlepas juga kaum di Minangkabau. Mereka
juga merupakan antara penentang kemasukan tentera Belanda yang agak sukar
ditentang oleh tentera Belanda. Kaum Minangkabau ini mempunyai kaedah yang
tersendiri dalam menyusun atur pertahanan mereka menentang Belanda.
Tidak banyak penulisan yang dapat
didapati untuk melihat dengan mendalam mengenai strategi peperangan orang
Minang. Tetapi terdapat beberapa catatan daripada Belanda dan juga British
mengenai orang Minang di samping bagaimana mereka mendirikan pertahanan semasa
peperangan berlangsung. Antara catatan yang boleh didapati adalah Hendrix
daripada Belanda dan juga Marsden daripada British. Tulisan Marsden hanyalah
catatan mengenai sejarah Sumatera yang dikumpulkan dan setiap perkara yang Marsden
kumpulkan semasa beliau tinggal di Sumatera. Catatan Marsden diperolehi
daripada laporan, temu bual, surat menyurat beliau terhadap orang yang pernah
tinggal atau datang ke Sumatera di samping pengalaman beliau sendiri. Tulisan
Hendrix pula lebih mendalam kerana bukunya yang bertajuk “Berperang di Sumatera”
merupakan sebuah buku yang wajib dibaca oleh para tentera Belanda sebelum
dihantar ke Sumatera. Buku tulisan Hendrix ini merupakan catatan beliau semasa
beliau menjadi Kapten tentera Belanda di Sumatera. Beliau mengumpulkan maklumat
berkenaan peperangan di Sumatera dan menyatakan sikap dan sifat setiap
pertempuran mereka di Sumatera. Sangat menarik hati kerana beliau ada
menyatakan bahawa orang Minang merupakan kaum yang sangat sukar untuk dikalahkan
kerana mereka bijak menggunakan alam sekeliling sebagai benteng pertahanan mereka.
Kepakaran mereka membina benteng
membolehkan orang Minang hanya perlu menggunakan sedikit tenaga tentera untuk
mengawal pintu kubu-kubu mereka. Kelainan yang boleh dilihat orang Minang
semasa mereka berperang adalah mereka suka duduk di sebalik kubu pertahanan
mereka daripada pergi menyerang secara terbuka seperti kaum lain. Cara mereka
bertahan ini ada di catatkan dalam catatan Hendrix. Hendrix menambah lagi
bahawa orang Minang menggunakan ranjau yang runcing untuk dipasang dalam laluan
musuh mereka. Ini menyebabkan barisan musuh akan sukar bergerak maju ke
hadapan. Semasa musuh sedang berhati-hati untuk mengelakkan halangan daripada
buluh runcing itu, mereka akan menyerang dengan menyerang secara mengejut dan
ini akan mengkucar kacirkan barisan musuh. Sistem pertahanan yang terpenting bagi orang Minang
adalah pagar-pagar diperbuat daripada buluh berduri panjang. Buluh berduri
panjang ini ditanam rapat-rapat sehinggakan apabila sudah besar buluh ini, ia
menjadi kawasan buluh yang semak. Semak ini sukar dilalui oleh pasukan Belanda
tetapi menjadi kelebihan kepada pihak Minang kerana mereka dapat mengetahui
segala gerak geri tentera Belanda berdasarkan pergerakan rumpun buluh tersebut.
Pokok buluh ini apabila sudah mencapai umur empat tahun akan menjadi hutan
berduri panjang yang mustahil untuk ditembusi. Belanda menggelarkan hutan
berduri panjang yang sukar ditembusi ini sebagai bamboo aur.
Dalam peperangan dengan penduduk Kampung Pauh, benteng
yang diperbuat daripada tembok batu mengelilingi kampung ini. Tembok batu
setebal 5 meter dengan ketinggian 3 hingga 5 meter mengikut keadaan. Seorang
ketua tentera Belanda bernama Boelhower dalam bukunya, ‘Kenang-kenangan Sewaktu
di Sumatera Barat Tahun 1831-1834’ yang diterbitkan di Belanda pada 1841
menceritakan mengenai pertahanan Bonjol yang sukar ditembusi. Menurut beliau,
“Bonjol terletak di atas bukit berbentuk segi empat
panjang yang dipisahkan oleh sebuah sungai yang mempunyai aliran air yang
deras. Tiga sisi Bonjol dikelilingi oleh dinding pertahanan dua lapis setinggi
lebih kurang 3 meter. Tembok luar terdiri daripada batu-batu besar yang
merupakan tembok benteng yang kukuh dengan teknik pembinaannya hampir sama
dengan benteng-benteng di Eropah. Di antara lapisan benteng tersebut dibuat
parit yang dalam selebar 4 meter. Di atas tembok benteng tersebut ditanam
dengan buluh berduri yang sudah hampir menjadi hutan duri. Hutan duri ini sukar
ditembusi kerana duri dan juga kepadatannya. Orang-orang Minang menggunakan
hutan duri ini sebagai beneng dan tempat untuk memerhatikan pergerakan musuh.
Mereka menempatkan pengintai dan juga penembak tepat di sebalik hutan duri
tersebut. Selain dapat memantau pergerakan musuh, serangan mengejut dapat
dilakukan jika musuh mara kerana pergerakan agak terbatas di dalam kawasan
hutan duri itu.
Dapat dilihat pada beberapa tempat meriam kaliber 12 poin
dengan pedati beroda kayu tanpa jejari untuk mengangkut meriam tersebut.
Berhampiran meriam tersebut dapat dilihat batu-batu bulat yang digunakan untuk
menggantikan peluru. Sungguh menghairankan bagaimana orang Minang dapat membawa
meriam sebesar itu menaiki bukit sedangkan pihak kami (Belanda) hanya mampu
membawa meriam kaliber 3 poin, itupun hanya boleh diangkat dengan menggunakan
tali secara beramai-ramai. Diluar Bonjol, terdapat masjid berbentuk segi empat
yang dibina tanpa menggunakan paku dan besi. Atap masjid ini mempunyai 5
lapisan yang semakin kecil pada lapisan teratas. Keluasan masjid ini dapat
menampung 3000 orang pada satu-satu masa. Orang Minang ini jika mereka mahu,
boleh mencapai tahap kemajuan yang sama dengan Eropah.”
Kubu-kubu pertahanan tentera Minang begitu kuat dan
memiliki beberapa tempat masuk yang sempit sehinggakan sangat susah untuk
ditembusi oleh tentera Belanda. Ini merupakan suatu teknologi pembinaan kubu
oleh pihak Minang yang dikuasai oleh mereka hanya dengan menggunakan alam
sekitar sebagai pertahanan. Kehebatan orang Minang membina pertahanan
membolehkan mereka hanya memerlukan sedikit tentera sahaja untuk menjaga dan
berkawal di setiap pintu masuk kubu kerana pintu masuk yang sukar ditembusi
hanya membenarkan sedikit sahaja tentera Belanda untuk merempuh pintu kubu
tersebut. Di kawasan Lintau pula, dataran Lintau dikelilingi oleh barisan bukit
dan lembah yang dalam. Terdapat empat pintu masuk ke dataran tersebut yang amat
mudah untuk dipertahankan oleh tentera Minang iaitu di Marapalam, Bukit Pauh,
Atar dan Padangsibusuk.
Di sini jelaslah bahawa teknologi
dalam pembinaan kubu pertahanan Minangkabau merupakan teknologinya tersendiri.
Ini dapat dipastikan daripada catatan-catatan barat yang membandingkan cara
orang Minang dan kaum lain berperang. Keadaan semula jadi yang berbukit bukau
serta hutan yang tebal membolehkan orang Minang menggunakan kelebihan mereka
mengenali hutan tersebut untuk membuat benteng pertahanan mereka. Selok belok
dalam hutan dan juga keadaan bukit bukau dalam kawasan peperangan itu
menjadikan orang Minang mendapat kelebihan yang besar untuk mengalahkan tentera
Belanda. Belanda juga mengakui bahawa berperang dengan orang Minang di Sumatera
tidaklah sesukar berperang dengan Diponegoro di Jawa.
Tulisan ini adalah untuk majalah Gadang (Feb 2014)
Subscribe to:
Posts (Atom)
