Tuesday, April 29, 2014

Antara kebaikan Malaysia dan kejahatan Yahudi!



Ramai orang yang mengatakan bahawa makan di KFC atau McDonald merupakan makan daging saudara Islam di Palestin. Minum di Starbucks seperti minum darah orang Palestin. Tapi pernahkah kita fikir tentang kedai runcit Pak Kadir di Kampung Pening Lalat ditutup kerana persaingan daripada kita selalu membeli di Tesco, Giant dan Jusco. Kedai barangan keras (hardware) Ah Chong di Bangi Lama ditutup kerana kita membeli barangan di kedai DIY dan banyak lagi kedai orang tempatan yang terpaksa gulung tikar oleh kerana orang kita sendiri sanggup membeli di pasaraya besar yang jauh berbanding dengan kedai runcit kampungan dalam kawasan perumahan. Ini menyebabkan mereka gulung tikar kerana tidak dapat bersaing dengan pasaran gergasi daripada luar negara. Jahatnya zionis di Palestin membunuh rakyat asal Palestin untuk memberi penempatan pada rakyat Israel. Baiknya kita adalah membunuh orang kampong sendiri untuk memberi kekenyangan pada orang luar. Isunya bukan masalah siapa jual murah dia akan menawan pelanggan. Adakah disebabkan murah 20 hingga 60 sen kita sanggup menyebabkan orang kita sendiri menutup perniagaan mereka. Kemudian kita tuduh orang kita malas bekerja. Kita sambut dengan tangan terbuka pasaraya gergasi ini dengan memenuhi gedung-gedung gergasi semasa jualan murah dan pada awal pembukaannya. Orang kita sanggup pergi menaiki kereta yang jauh daripada tempat tinggal untuk membeli di pasaraya gergasi atas alasan harganya lebih murah sedangkan mereka tidak perasan minyak yang mereka gunakan untuk ke pasaraya itu perlu dibayar. Silap-silap harga minyak yang perlu dibayar untuk pergi ke pasaray itu lebih mahal berbanding harga promosi yang ditetapkan. Lainlah jika Tesco berada di sebelah rumah. Mereka lebih sanggup membayar harga minyak yang lebih banyak berbanding harga beras yang mahal seringgit di kedai Muthu. Mana pergi kemanusiaan yang dilaungkan untuk rakyat Palestin sedangkan di bumi sendiri pun masih ramai lagi orang Islam yang memerlukan bantuan. Adakah kebaikan hanya perlu dilakukan kepada orang Islam sahaja? Kumpulan aktivis makanan “Dapur Jalanan” membuktikan ramai lagi yang sangat memerlukan makanan untuk mealngsungkan kehidupan. Adakah Islam mengajar hanya Muhammad sahaja yang perlu dibantu dan dihormati. Bagaimana dengan Ah Seng yang selalu membantu oraang makan di jalanan, Ravi yang dituduh membuang paku di jalan supaya bengkelnya mendapatkan pelanggan. Bagaimana dengan Encik Ahmad yang mengambil peruntukan kerajaan kepada rakyat seperti petani dan digunakan untuk kepentingan peribadi? Bukanlah bangsa yang menjadikan seseorang itu jahat. Adkah salah jika seseorang itu berbangsa yahudi tetapi dia seorang yang patuh pada ajaran agama dan selalu membantu sesama manusia? Bagaimana seorang Melayu yang melaung-laungkan slogan mengenai ketatasusilaan Melayu sanggup menjatuhkan musuh dalam kerjanya oleh kerana dia sekarang sudah menjadi ‘bos’? adakah ayat-ayat atau slogan-slogan ini hanyalah ayat untuk mendapatkan sesuatu keuntungan daripada pemimpin negara kerana merasakan inilah yang memperjuangkan bangsa sendiri dan Nampak seperti pejuang agama. Ada umat dalam kalangan kita menyatakan membeli di pasar basah amat leceh, busuk, panas da nada juga peniaga menipu. Tetapi apabila membeli barangan di pasaraya besar, bau busuk, perlu beratur panjang untuk membayar dan mendapat kualiti barangan yang rendah serta tidak segar dapat diterima dengan hati yang terbuka. Sedangkan penjual ikan atau sayuran di pasar itu memerlukan wang daripada perniagaan mereka untuk menyara keluarga. Mungkin terdapat dalam ahli keluarga yang masih bersekolah, menanggung rawatan perubatan ibu bapa. Jika tidak pun, mereka mencari rezeki berdasarkan jualan di pasar tersebut. Jika dibandingkan dengan pasaray besar, mereka hanya mahu keuntungan sahaja. Apa keperluan dalam perniagaan mereka tiada siapa tahu. Itu antara pengurusan pasaraya sahaja yang tahu. Para pekerja juga tidak akan diberitahu. Kita juga selalu memikirkan nasib pekerja pasaraya besar yang ingin menyara kehidupan mereka dan keluarga dengan gaji yang kadang kala tidak setimpal. Jangan cakap pasal ‘taukey’ pasaraya, pengurus cawangan pun belum tentu boleh nampak batang hidungnya. Namun sejak kebelakangan ini, jika kita pergi ke pasaraya kita dapat lihat ramai warga asing yang sudah diambil bekerja termasuklah pengawal keselamatan. Bukanlah ingin mempertikaikan orang luar bekerja tersebut, tetapi pada masa dahulu ramai pekerja terdiri daripada orang tempatan dan boleh dikatakan pasaraya ini bagus kerana memberi peluang kepada orang tempatan mendapatkan kerja. Namun apabila pekerja asing mengambil alih tugas orang tempatan, dimana retorik yang mengatakan bahawa pembinaan pasaraya mega ini adalah untuk memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Sekali lagi masalah orang tempatan memilih kerja, malas dan hanya mahu kerja mudah menjadi alasan di dalam penyingkiran orang tempatan. Kadangkala bukanlah orang tempatan ini mahu gaji seperti pengarah syarikat air atau setara dengan gaji menteri, cumanya biarlah setimpal dengan tugas mereka. Jika gaji menteri sama dengan pegawai kerajaan gred 41, perlu bayar told an minyak sendiri, boleh tidur di hotel dengan kadar RM 160 semalam, setahun sekali sahaja boleh keluar negara, itupun hanya makan dan penginapan sahaja yang ditanggung, tiket perlu tanggung sendiri, bawa kereta sendiri dan berbagai kemudahan bertaraf 41 ini, penulis percaya bahawa boleh bilang dengan jari orang yang ingin menjadi menteri. Mungkin jawatan menteri adalah jawatan yang paling tidak menyerlah. Jika wakil rakyat yang hanya untuk menggunakan otak hanya untuk makan dan minum sahaja pun ingin mendapatkan wang yang banyak, inikan pula orang Malaysia yan tinggal di rumah sewa, dengan perbelanjaan anak, sekolah anak, perbelanjaan dapur yang semakin meningkat serta segala macam cukai yang perlu dibayar. Adakah berbaloi jika orang-orang ini mendapat gaji sama dengan orang asing yang duduk di rumah kongsi dengan satu rumah kongsi 20-30 orang, makan secara belian pukal, makan nasi dengan kangkung tepi Sungai Langat. Orang tempatan ada macam-macam yang perlu dibayar disamping memberi anak mereka khasiat makanan yang terbaik boleh mereka berikan. Anak yang membesar dengan makanan khasiat kelak menjadi anak yang berguna dengan ilmu yang boleh membantu keluarga pada masa hadapan. Jika mendapat gaji sedikit, ayahnya pula tidak mengenal halal dan haram dan ayahnya mengambil wang sampingan dengan cara yang tidak betul samada main judi, rasuah, menggelapkan wang atau lain lain. Mereka beri pula hasil yang tidak berkat tersebut kepada anak-anak. Nilai keberkatan itu tiada untuk membina anak yang baik. Kelak anak itu akan menjadi seorang yang tidak dengar kata ibu bapa. Jika berjaya pun mungkin akan menjadi penjenayah berpendidikan tinggi. Tapi itu semua adalah petunjuk daripada Tuhan. Kepada tuhan kita bermohon. Apa yang ingin kita bangunkan adalah produk tempatan yang berkualiti. Kita mahukan anak-anak yang dapat membangunkan keluarga dan masyarakatnya, kita mahukan bapa yang menjadi contoh kepada semua anak negara bangsa. Kita mahukan jati diri kedai runcit daripada orang tempatan, kita mahukan barangan buatan tempatan menjadi produk utamadi negara ini untuk dipakai oleh setiap anak tempatan. Tidak perlu bercakap mengenai antarabangsa jika pasaran tempatan pun masih dalam keadaan terumbang ambing. Kita mahukan agar kedai Pak Kadir menjadi sebuah emporium dalam  Kampung Pening Lalat, kita mahukan kedai kraftangan kita secanggih IKEA, kita mahukan kedai kerepek Mak Siti dapat standing dengan Mister Potato, dodol Mak Kiah dapat standing atau lebih baik daripada Pizza Hut dan yang paling penting masyarakat Malaysia menyanjung tinggi dengan warisan yang kita ada. Tidak salah untuk ke Tesco, Giant atau apa saja tetapi jangan sampai kita sendiri yang membunuh orang kita untuk memberi kehidupan kepada orang luar tetapi kita marah dengan Israel yang membunuh orang Palestin untuk memberi kehidupan kepada rakyatnya. Mereka hanya menggunakan kesempatan dan kekuatan yang ada pada mereka untuk menindas orang Palestin. Kita juga bersetuju dengan salah satu fakta dalam Teori Evolusi bahawa siapa yang kuat akan menang kerana kita juga suka menindas orang bawahan kita. Selagi kita masih ada sikap begini, selagi itulah Palestin akan terus ditindas kerana tiada apa yang kita tidak bergantung kepada Israel. Ini bukanlah teori konspirasi seperti yang terdapat dalam banyak buku hasil tulisan orang tempatan atau luar negara. Inilah sikap yang perlu dibetulkan oleh masyarakat kita. 

Sunday, April 20, 2014

PEMERHATIAN STANFORD RAFFLES TERHADAP ALAM MINANG



Sir Thomas Stamford Raffles (1781-1826) pertama kali ditempatkan di Pulau Pinang oleh Syarikat Hindia Timur. Semasa perang Napoleon, Inggeris dapat menduduki Jawa dan Raffles diangkat menjadi Leftenan Gabernor di Jawa. Ia menggunakan kelebihan dan pangkatnya untuk mengumpul bahan untuk bukunya Sejarah Jawa (1817). Pada awal Julai 1818, Raffles belayar daripada Bangkulu ke Padang bersama isterinya, seorang naturalis bernama Thomas Horsfield dan pengikut-pengikutnya. Pada 14 Julai 1818, mereka berangkat daripada Padang ke daerah pedalaman dengan berjalan kaki dalam rombongan besar termasuk 50 orang tentera Inggeris. Dalam perjalanan ini, Raffles telah mencatatkan mengenai segala perkara yang dijumpainya dijadikan surat untuk dikirimkan kepada penaungnya Duchess of Somerset pada September 1818.
            Raffles berjalan dalam suatu perkampungan dan melihat semua perempuan dalam kawasan tersebut mempunyai lubang telinga yang sangat besar supaya dapat memasukkan anting-anting yang besar atau dikatakan roda kerana anting-anting besar itu menyerupai roda. Anting-anting tersebut mempunyai diameter dalam 2 inci dan hiasan sekelilingnya pelbagai. Ada anting-anting kayu yang dihias dengan perak, tembaga dan banyak hiasan yang menarik lain.
Lombong-lombong utama banyak terdapat di Sungai Pagu dan Sungai Abu. Berdasarkan peta yang dilihat, kawasan ini terletak di sebalik Gunung Talang. Ketika memasuki Kota Solaya, Raffles melalui kawasan perkuburan yang ditandai sepohon beringin yang sangat besar. Di kawasan perkuburan beliau melihat beberapa makam daripada kayu yang disebut jiri oleh orang tempatan. Menurut Raffles, makam ini berbentuk unik, sebahagiannya lebih bagus daripada gubuk tetapi kebanyakannya memiliki lantai panggung. Di kedua ujung makam dibangunkan semacam tempat duduk yang menumpuk satu sama lain yang menyerupai buritan kapal. Raffles juga pernah menjumpai binaan makam ini di luar Kota Solaya dan di tengah sawah semasa dalam perjalanan beliau.
Semasa melewati pasar mingguan, Raffles melihat para pedagang yang datang daripada sumatera barat dan juga beberapa tempat di luar sumatera barat. Pedagang yang datang daripada Minang biasanya datang melalui jalan air dengan menggunakan kano. Terdapat perahu kano dalam jumlah yang banyak menjadi perhatian beliau. Jika pedagang-pedagang daripada luar alam Minang, terdapat penggunaan kapal bagi beberapa kota yang besar. Perahu besar ini mampu mengangkut muatan seberat 6 tan dan penumpang seramai seratus orang. Raffles juga berpeluang menaiki sebuah daripada kapal tersebut semasa beliau mahu ke Simawang. Menurut beliau perahu ini sangat kukuh  dan apabila apabila dipenuhi penumpang, daripada kejauhan perahu-perahu itu akan kelihatan seperti perahu perang Kepulauan Laut Selatan.
Apabila Raffles sudah sampai di Simawang, beliau disambut oleh pembesar di kawasan tersebut. Beliau diberikan tempat berehat oleh pembesar tersebut. Rumah tempat beliau beristirehat sepanjang 100 kaki dan tingginya sekitar 30-40 kaki. Rumah tersebut sangat kukuh dan ditupang oleh tiga batang kayu ditengahnya seperti tiang kapal. Binaan rumah yang unik ini, dinding di bawah atap yang berbentuk segi tiga dibangun menjulang ke atas dalam beberapa lapis menyerupai buritan kapal. Lantainya dibina dalam 10 kaki daripada permukaan tanah, kawasan di bawah lantai ditutup dan digunakan untuk kegunaan sapid an juga binatang ternakan lain. Pintu masuk utama terletak di tengah tetapi ada pintu masuk kedua yang terdapat di salah satu ujung rumah.
Bahagian dalam rumah terdiri daripada satu ruangan besar dipanggil balai yang tingginya sama dengan keluasannya. Tiga perapian dengan jarak yang sama antara satu sama lain ditempatkan pada bahagian depan rumah. Pada bahagian belakang ditempatkan beberapa buah bilik kecil. Dalam bilik-bilik kecil ini terdapat mesin pemintal serta barang-barang milik perempuan yang tinggal dalam bilik itu. Ini merupakan gambaran umum mengenai rumah di pedalaman kerana rumah di pedalaman ada perbezaan dengan rumah yang terdapat di pesisirin pantai. Juga terdapat perbezaan dengan ulasan mengenai rumah Sumatera yang diberikan penilaian oleh Marsden dalam Sejarah Sumatera (1783). Ujung balai dimana atapnya menjulang ke atas dalam beberapa lapisan seperti buritan kapal diberikan kepada Lady Raffles untuk berehat dan menukar pakaian. Rumah ini mampu memuatkan 150 orang pengikut Raffles.
Semasa memerhatikan keadaan Danau Singkarak, sekitar 50 kaki daripada sungai (Kuantan atau Inderagiri) Raffles melihat kincir air yang kukuh digunakan untuk mengairi sawah-sawah di sekitarnya. Kincir air ini diperbuat daripada buluh dibina hanya untuk mengairi sawah. Kincir air ini dibina di Minangkabau dapat dianggap sebagai kemajuan dalam pertanian yang belum dicapai oleh Jawa walaupun Jawa sudah mempunyai hubungan yang lama dengan China. Raffles meyakini bahawa Eropah ataupun China masih belum menjejakkan kaki ke Minangkabau. Tambahan beliau lagi, berabad-abad penduduk di Minangkabau tidak berinteraksi dengan bangsa lain. Maka, boleh dikatakan bahawa kincir air ini merupakan penemuan asli orang pribumi. Raffles menambah bahawa beliau tidak pernah melihat kincir air yang serupa dengan dilihatnya di Minangkabau pada Jawa.
Lereng-lereng bukit yang sukar diairi ditanam dengan tebu. Ladang tebu ini boleh dikira lading yang besar dengan dibina pusat penggilingan untuk memerah air tebu untuk dibuat gula pasir. Mesin penggilingan ini terdiri daripada dua silinder tegak lurus, bahagian atasnya dibentuk menyerupai ulir yang bertautan sementara bahagian bawahnya dipasang tegak sehinggakan apabila silinder ini diputar, ia akan berputar pada arah yang bertentangan. Silinder ini digerakkan oleh tenaga sapi atau lembu. Hasil perahan sari tebu itu akan dikumpulkan di dalam sebuah bekas yang terletak di bahagian bawah mesin penggiling.



Di dalam kesusasteraan. Mereka jarang membahaskan era sebelum Islam masuk kecuali tulisan berkenaan bahtera Nabi Nuh atau kisah-kisah asmara dan Raffles menyatakan betapa sukarnya dan hamper tidak menjumpai maklumat-maklumat tentang sejarah dalam penulisan tersebut. menurut Raffles, di Jawa dia sangat beruntung kerana boleh menjumpai sisa-sisa sastera dan seni kuno bernilai di dalam puisi, runtuhan candi, arca dan juga prasasti. Karya sebelum Islam ini dilarang oleh orang Melayu dan sebab itulah Jawa dianggap sebagai tempat bermulanya seni dan ilmu pengetahuan semenjak pulau tersebut dimasukkan ke dalam Kepulauan Nusantara.
Ketika tiba di Suruaso, kumpulan Raffles ditempatkan di sebuah rumah papan sederhana dengan panjang rumah tersebut sekitar 30 kaki bersebelahan dengan Sungai Emas. Tepat di seberang rumah papan terdapat sebuah masjid berbentuk bujur sangkar. Di bahagian depan masjid berkenaan Raffles mendapati terdapat prasasti-prasasti peninggalan kerajaan Hindu dalam keadaan terbalik. Raffles mendapati prasasti berkenaan digunakan sebagai tempat berpijak daripada bangunan moden yang menjadi asas kepada bangunan masjid tersebut. Raffles menyatakan huruf-huruf yang didapati daripada prasasti berkenaan merupakan huruf yang sama dengan prasasti yang didapati di Jawa. Dalam masa satu jam, dengan bantuan para pekerja, beliau sempat menyalin beberapa buah prasasti berkenaan.
Semasa berjalan meninggalkan Suruaso, kumpulan Raffles melalui kawasan yang mempunyai beberapa kolam kecil, dan selepas daripada kolam kecil itu, mereka melalui kawasan runtuhan bangunan dan yang tinggal hanyalah binaan seperti arca dan juga runtuhan binaan yang dipercayai merupakan binaan gerbang masuk kota.
Di Pagaruyung, Raffles dibawa melihat batu datar besar tempat Sultan Pagaruyung bersemayam. Apabila pekerja Raffles membersihkan kawasan sekitar batu datar itu, barulah dapat dilihat kawasan istana yang sudah terkubur. Tiada prasasti ditemui tetapi dapat ditemui arca pada zaman dahulu yang digunakan untuk mengenang orang yang sudah meninggal pada zaman dahulu. Arca ini dipahat dengan saiz yang kecil tetapi halus buatannya. Dipercayai arca ini dibuat pada zaman Islam. Tempat yang menjadi kawasan orang kaya-kaya dahulu berehat kini sudah menjadi kawasan penanaman tebu dan juga mentimun oleh penduduk setempat.
Raffles juga mendapati industri pembuatan di Minangkabau lebih maju. Minangkabau terkenal dengan pembuatan kerisnya. Di sini, besi ditempa dan dijadikan beberapa jenis hasil yang dapat menampung keperluan luar daripada Minangkabau. Industri tembikar berskala besar yang terdapat di pinggiran danau tidak hanya membekalkan Padang, tetapi juga membekalkan Bengkulu dangan kualitinya yang baik.

Memoir of the Life and Public Services of Sir Thomas Stamford Raffles by His Widow Vol. 1 (edisi kedua), London: James Duncan, 1835, hlm 401-409, 413, 415-427, 432-433 dalam Anthony Reid. 2010. Sumatera Tempo Delo, dari Marco Polo sampai Tan Malaka. Jakarta. Komunitas Bambu. m/s 196-211.

 Kertas ini dibentangkan pada Perjumpaan Bulanan Kumpulan Penyelidikan Teknologi Melayu ASASI di Bilik Perbincangan ATMA  pada 22/4/2014