Sunday, April 20, 2014

PEMERHATIAN STANFORD RAFFLES TERHADAP ALAM MINANG



Sir Thomas Stamford Raffles (1781-1826) pertama kali ditempatkan di Pulau Pinang oleh Syarikat Hindia Timur. Semasa perang Napoleon, Inggeris dapat menduduki Jawa dan Raffles diangkat menjadi Leftenan Gabernor di Jawa. Ia menggunakan kelebihan dan pangkatnya untuk mengumpul bahan untuk bukunya Sejarah Jawa (1817). Pada awal Julai 1818, Raffles belayar daripada Bangkulu ke Padang bersama isterinya, seorang naturalis bernama Thomas Horsfield dan pengikut-pengikutnya. Pada 14 Julai 1818, mereka berangkat daripada Padang ke daerah pedalaman dengan berjalan kaki dalam rombongan besar termasuk 50 orang tentera Inggeris. Dalam perjalanan ini, Raffles telah mencatatkan mengenai segala perkara yang dijumpainya dijadikan surat untuk dikirimkan kepada penaungnya Duchess of Somerset pada September 1818.
            Raffles berjalan dalam suatu perkampungan dan melihat semua perempuan dalam kawasan tersebut mempunyai lubang telinga yang sangat besar supaya dapat memasukkan anting-anting yang besar atau dikatakan roda kerana anting-anting besar itu menyerupai roda. Anting-anting tersebut mempunyai diameter dalam 2 inci dan hiasan sekelilingnya pelbagai. Ada anting-anting kayu yang dihias dengan perak, tembaga dan banyak hiasan yang menarik lain.
Lombong-lombong utama banyak terdapat di Sungai Pagu dan Sungai Abu. Berdasarkan peta yang dilihat, kawasan ini terletak di sebalik Gunung Talang. Ketika memasuki Kota Solaya, Raffles melalui kawasan perkuburan yang ditandai sepohon beringin yang sangat besar. Di kawasan perkuburan beliau melihat beberapa makam daripada kayu yang disebut jiri oleh orang tempatan. Menurut Raffles, makam ini berbentuk unik, sebahagiannya lebih bagus daripada gubuk tetapi kebanyakannya memiliki lantai panggung. Di kedua ujung makam dibangunkan semacam tempat duduk yang menumpuk satu sama lain yang menyerupai buritan kapal. Raffles juga pernah menjumpai binaan makam ini di luar Kota Solaya dan di tengah sawah semasa dalam perjalanan beliau.
Semasa melewati pasar mingguan, Raffles melihat para pedagang yang datang daripada sumatera barat dan juga beberapa tempat di luar sumatera barat. Pedagang yang datang daripada Minang biasanya datang melalui jalan air dengan menggunakan kano. Terdapat perahu kano dalam jumlah yang banyak menjadi perhatian beliau. Jika pedagang-pedagang daripada luar alam Minang, terdapat penggunaan kapal bagi beberapa kota yang besar. Perahu besar ini mampu mengangkut muatan seberat 6 tan dan penumpang seramai seratus orang. Raffles juga berpeluang menaiki sebuah daripada kapal tersebut semasa beliau mahu ke Simawang. Menurut beliau perahu ini sangat kukuh  dan apabila apabila dipenuhi penumpang, daripada kejauhan perahu-perahu itu akan kelihatan seperti perahu perang Kepulauan Laut Selatan.
Apabila Raffles sudah sampai di Simawang, beliau disambut oleh pembesar di kawasan tersebut. Beliau diberikan tempat berehat oleh pembesar tersebut. Rumah tempat beliau beristirehat sepanjang 100 kaki dan tingginya sekitar 30-40 kaki. Rumah tersebut sangat kukuh dan ditupang oleh tiga batang kayu ditengahnya seperti tiang kapal. Binaan rumah yang unik ini, dinding di bawah atap yang berbentuk segi tiga dibangun menjulang ke atas dalam beberapa lapis menyerupai buritan kapal. Lantainya dibina dalam 10 kaki daripada permukaan tanah, kawasan di bawah lantai ditutup dan digunakan untuk kegunaan sapid an juga binatang ternakan lain. Pintu masuk utama terletak di tengah tetapi ada pintu masuk kedua yang terdapat di salah satu ujung rumah.
Bahagian dalam rumah terdiri daripada satu ruangan besar dipanggil balai yang tingginya sama dengan keluasannya. Tiga perapian dengan jarak yang sama antara satu sama lain ditempatkan pada bahagian depan rumah. Pada bahagian belakang ditempatkan beberapa buah bilik kecil. Dalam bilik-bilik kecil ini terdapat mesin pemintal serta barang-barang milik perempuan yang tinggal dalam bilik itu. Ini merupakan gambaran umum mengenai rumah di pedalaman kerana rumah di pedalaman ada perbezaan dengan rumah yang terdapat di pesisirin pantai. Juga terdapat perbezaan dengan ulasan mengenai rumah Sumatera yang diberikan penilaian oleh Marsden dalam Sejarah Sumatera (1783). Ujung balai dimana atapnya menjulang ke atas dalam beberapa lapisan seperti buritan kapal diberikan kepada Lady Raffles untuk berehat dan menukar pakaian. Rumah ini mampu memuatkan 150 orang pengikut Raffles.
Semasa memerhatikan keadaan Danau Singkarak, sekitar 50 kaki daripada sungai (Kuantan atau Inderagiri) Raffles melihat kincir air yang kukuh digunakan untuk mengairi sawah-sawah di sekitarnya. Kincir air ini diperbuat daripada buluh dibina hanya untuk mengairi sawah. Kincir air ini dibina di Minangkabau dapat dianggap sebagai kemajuan dalam pertanian yang belum dicapai oleh Jawa walaupun Jawa sudah mempunyai hubungan yang lama dengan China. Raffles meyakini bahawa Eropah ataupun China masih belum menjejakkan kaki ke Minangkabau. Tambahan beliau lagi, berabad-abad penduduk di Minangkabau tidak berinteraksi dengan bangsa lain. Maka, boleh dikatakan bahawa kincir air ini merupakan penemuan asli orang pribumi. Raffles menambah bahawa beliau tidak pernah melihat kincir air yang serupa dengan dilihatnya di Minangkabau pada Jawa.
Lereng-lereng bukit yang sukar diairi ditanam dengan tebu. Ladang tebu ini boleh dikira lading yang besar dengan dibina pusat penggilingan untuk memerah air tebu untuk dibuat gula pasir. Mesin penggilingan ini terdiri daripada dua silinder tegak lurus, bahagian atasnya dibentuk menyerupai ulir yang bertautan sementara bahagian bawahnya dipasang tegak sehinggakan apabila silinder ini diputar, ia akan berputar pada arah yang bertentangan. Silinder ini digerakkan oleh tenaga sapi atau lembu. Hasil perahan sari tebu itu akan dikumpulkan di dalam sebuah bekas yang terletak di bahagian bawah mesin penggiling.



Di dalam kesusasteraan. Mereka jarang membahaskan era sebelum Islam masuk kecuali tulisan berkenaan bahtera Nabi Nuh atau kisah-kisah asmara dan Raffles menyatakan betapa sukarnya dan hamper tidak menjumpai maklumat-maklumat tentang sejarah dalam penulisan tersebut. menurut Raffles, di Jawa dia sangat beruntung kerana boleh menjumpai sisa-sisa sastera dan seni kuno bernilai di dalam puisi, runtuhan candi, arca dan juga prasasti. Karya sebelum Islam ini dilarang oleh orang Melayu dan sebab itulah Jawa dianggap sebagai tempat bermulanya seni dan ilmu pengetahuan semenjak pulau tersebut dimasukkan ke dalam Kepulauan Nusantara.
Ketika tiba di Suruaso, kumpulan Raffles ditempatkan di sebuah rumah papan sederhana dengan panjang rumah tersebut sekitar 30 kaki bersebelahan dengan Sungai Emas. Tepat di seberang rumah papan terdapat sebuah masjid berbentuk bujur sangkar. Di bahagian depan masjid berkenaan Raffles mendapati terdapat prasasti-prasasti peninggalan kerajaan Hindu dalam keadaan terbalik. Raffles mendapati prasasti berkenaan digunakan sebagai tempat berpijak daripada bangunan moden yang menjadi asas kepada bangunan masjid tersebut. Raffles menyatakan huruf-huruf yang didapati daripada prasasti berkenaan merupakan huruf yang sama dengan prasasti yang didapati di Jawa. Dalam masa satu jam, dengan bantuan para pekerja, beliau sempat menyalin beberapa buah prasasti berkenaan.
Semasa berjalan meninggalkan Suruaso, kumpulan Raffles melalui kawasan yang mempunyai beberapa kolam kecil, dan selepas daripada kolam kecil itu, mereka melalui kawasan runtuhan bangunan dan yang tinggal hanyalah binaan seperti arca dan juga runtuhan binaan yang dipercayai merupakan binaan gerbang masuk kota.
Di Pagaruyung, Raffles dibawa melihat batu datar besar tempat Sultan Pagaruyung bersemayam. Apabila pekerja Raffles membersihkan kawasan sekitar batu datar itu, barulah dapat dilihat kawasan istana yang sudah terkubur. Tiada prasasti ditemui tetapi dapat ditemui arca pada zaman dahulu yang digunakan untuk mengenang orang yang sudah meninggal pada zaman dahulu. Arca ini dipahat dengan saiz yang kecil tetapi halus buatannya. Dipercayai arca ini dibuat pada zaman Islam. Tempat yang menjadi kawasan orang kaya-kaya dahulu berehat kini sudah menjadi kawasan penanaman tebu dan juga mentimun oleh penduduk setempat.
Raffles juga mendapati industri pembuatan di Minangkabau lebih maju. Minangkabau terkenal dengan pembuatan kerisnya. Di sini, besi ditempa dan dijadikan beberapa jenis hasil yang dapat menampung keperluan luar daripada Minangkabau. Industri tembikar berskala besar yang terdapat di pinggiran danau tidak hanya membekalkan Padang, tetapi juga membekalkan Bengkulu dangan kualitinya yang baik.

Memoir of the Life and Public Services of Sir Thomas Stamford Raffles by His Widow Vol. 1 (edisi kedua), London: James Duncan, 1835, hlm 401-409, 413, 415-427, 432-433 dalam Anthony Reid. 2010. Sumatera Tempo Delo, dari Marco Polo sampai Tan Malaka. Jakarta. Komunitas Bambu. m/s 196-211.

 Kertas ini dibentangkan pada Perjumpaan Bulanan Kumpulan Penyelidikan Teknologi Melayu ASASI di Bilik Perbincangan ATMA  pada 22/4/2014

No comments:

Post a Comment