Sunday, March 16, 2014

Apa sainsnya petua, azimat, nujum dan lain-lain?



Menurut Shaharir (2003), kegiatan mencungkil unsur sains dalam manuskrip Melayu-Jawi yang terbenam di perpustakaan/muzium/arkib seluruh negara, khasnya di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), belum dilakukan oleh kumpulan penyelidik tempatan. Dalam usaha menghidupkan kembali penyelidikan ini, beliau telah melakukan kajian terhadap judul manuskrip Melayu-Jawi seluruh dunia yang telah dikatalog oleh PNM. Itulah yang telah melahirkan pengelasan ilmu secara kasar dan tekaannya sahaja akan semua manuskrip melayu-Jawi seluruh dunia berasaskan katalog yang dilakukan oleh PNM tersebut.
                Dalam jumpaan Shaharir pada 2003 tersebut, beliau telah mengkelaskan manuskrip sains kepada;
1.       Ramalan & taabir (astrologi, azimat, firasat, hikmat, ilmu bintang, ilmu nujum, ketika/kuteka, petua, perimbun, raksi/rasi, rejang, tilik, ta’bir/takbir dan sebagainya.
2.       Falsafah (tashawwuf dan mantiq)
3.       Perubatan (tib, murajabat)
4.       Sains hayat
5.       Teknologi / kejuruteraan
6.       Asal kejadian alam, manusia, dan makhluk lain
7.       Astrologi-astronomi / kosmologi / kosmogeni / kosmogenesis (ilmu falaq, hay’aht, nujum, ilmu bintang)
8.       Faraidh
9.       Sains fizis
10.   Matematik (ilmu hisab, ilmu hitung)

Jika dilihat daripada kelas manuskrip yang diberikan oleh Shaharir di atas, perkara yang menjadi kemusykilan adalah dimanakah terletaknya sains dalam petua, azimat mantera dan lain-lain lagi yang dirasakan tiada unsur sains tetapi hanyalah mitos atau kepercayaan bangsa Melayu sahaja.
                Daripada sudut petua, penelitian awal yang dilakukan oleh Hashim Awang (2006) terhadap Manuskrip 331 yang tersimpan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati petua yang diberikan oleh penulis kesemuanya bertitik tolak daripada bulan dan hari. Bulan dan hari menjadi asas menentukan kesesuaian dan keselamatan untuk menjalankan sebarang aktiviti. Pengiraan bulan itu berdasarkan bulan Hijrah. Taqwim Hijrah ini mempunyai 12 bulan iaitu Muharram, Safar, Rabi’ul-awwal, Rabi’ul-akhir, Jamadil-awwal, Jamdil-akhir, Rajab, Sya’aban, Ramadhan, Syawwal, Zulkae’dah, dan Zulhijjah. Setiap bulan mempunyai keistimewaan dan kemudharatannya sendiri. Menurut Hashim Awang, manuskrip yang ditelaah olehnya ini mempunyai beberapa petua yang kebanyakan orang Melayu menggunakannya seperti petua membina rumah, petua menamakan anak dan petua cuaca.
                Sebagai contoh, untuk membina rumah seseorang itu perlu terlebih dahulu menentukan bulannya dengan mengambil kira kesesuaian bulan itu dari segi manfaat dan kemudharatannya. Bulan Muharram tidak sesuai untuk memulakan kerja membina rumah kerana akan terjadi huru-hara dalam rumah tersebut. Mengikut M331, hanya empat bulan sahaja yang tidak sesuai untuk membina rumah iaitu Muharram, Jamadil-akhir, Rejab dan Syawal. Bagi bulan lain terdapat keistimewaan tertentu . Terdapat juga bulan yang bersifat neutral yang bermaksud tiada manfaat atau mudharat seaindainya rumah dibina dalam bulan itu iaitu bulan Rabi’ul-awwal. Setelah ditentukan bulannya, perlulah ditentukan pula hari hendak memulakan kerja pembinaan. Daripada seminggu, hanya hari Ahad dan Isnin sahaja yang sesuai untuk memulakan kerja. Hari-hari lain menurut M331 mendatangkan pelbagai masalah kepada penghuninya. Misalnya, sekiranyan rumah dibina pada hari Selasa dipercayai pasangan suami isteri yang mendiami rumah tersebut bukan sahaja bercerai berai, tetapi juga akan kehilangan harta. Hari Rabu pula penghuninya akan kehilangan isteri manakala hari Sabtu, penghuninya walaupun mendapat banyak harta tetapi harta tersebut akan menyebabkan perkelahian antara keluarga, fitnah memfitnah dan penghuninya tidak akan kekal tinggal dalam rumah tersebut.
Untuk petua menamakan bayi, ia turut menggunakan hari sebagai panduan. M331 menngemukakan nama-nama yang sesuai berpadanan dengan hari lahirnya seseorang bayi itu. Persoalan tentang kesesuaian hari tidak timbul kerana manusia tidak mendapat mengawal kelahiran itu. Jika dilihat, pemilihan hari atau bulan untuk membina rumah serta menamakan anak memang tidak mempunyai kaitan dengan sains atau teknologi secara langsung. Tetapi, petua-petua ini yang merujuk kepada bulan dan hari merupakan suatu bentuk hipotesis dalam sains. Petua seperti jika membina pada hari ini, akan jadi begini merupakan suatu hipotesis sains. Hipotesis ini menerangkan sebab dan akibat yang akan berlaku pada masa hadapan jika melakukan sesuatu perbuatan mengikut hari tertentu.
Selain daripada menunjukkan hipotesis sains, petua-petua ini juga ada menunjukkan pengaruh astrologi dalam pemikiran alam melayu. Astrologi merupakan ilmu nujum atau peramalan yang berdasarkan bintang-bintang (Kamus Dewan). Bintang-bintang yang kebiasaannya dirujuk dalam ilmu nujum Melayu adalah bintang 12 mengikut padanan planet yang terdapat dalam alam semesta seperti Kamal, Masura, Hafiz, Satan, Qamar, Sabla, Mizan, Haqrah, Talur, Qaus, Jud dan Hadrat.  Menurut Kitab Bintang 12 yang telah ditelaah oleh Abdul Rahman Kaeh (2006), bintang ini akan menunjukkan fasal yang baik serta nahas mengikut edaran hari dan saat. Bukanlah isi kandungan dan fasal-fasal yang terkandung dalam kitab itu yang hendak ditonjolkan, tetapi perkaitan perangai dan tingkah laku manusia yang digambarkan dengan merujuk kepada bulan kelahiran, bintangnya serta hari kelahirannya.
Menurut Sahahrir (2013), manuskrip yang ditelaahnya MS 1864 yang terdapat di PNM mengandungi tajwid, rejang, kutika, bintang dan ubatan. Bagi beliau, manuskrip ini penuh dengan hipotesis matematik perubatan. Pembuktian dan penyahbuktian hipotesis itu memerlukan kerjasama dengan bijak-bestari tempatan (bomoh dan sebagainya) untuk mengenal segala tumbuhan dan mergastua serta mendapatkan pesakit berkenaan. Manuskrip ini juga memberi istilah Melayu Lama yang sudah terfosil seperti istilah astronomi, iaitu rasi dan bintang tujuh yang mendorong seseorang mengkaji lebih banyak lagi rasi dan bintang Malayonesia serta membandingkannya dengan rasi-rasi Hindia dan Eropah. Mengapa menggunakan bintang tujuh juga menjadi persoalan sedangkan kebanyakan kitab nujum Melayu terdapat juga bintang 12. Manuskrip ini turut menerbitkan masalah sampingan kepada ahli biologi untuk mendapatkan nama sains bagi setiap tumbuhan yang sehingga kini masih tidak dapat diketahui spesiesnya.
Ramai orang ramai termasuk sarjana yang cuba menafikan sainsnya segala petua, azimat dan sebagainya. Mereka beranggapan bahawa sarjana atau individu yang berusaha untuk mengkelaskan segala petua ini termasuk dalam sains adalah orang yang seperti ‘bermimpi di siang hari’. Mereka beranggapan bahawa jika Melayu ini maju dan sarat dengan ilmu, bagaimana boleh jatuh ke tangan penjajah. Orang-orang seperti ini biasanya antara orang yang tidak tahu dan juga tidak mahu mengkaji dengan lebih mendalam berkenaan dengan apa yang telah dihasilkan oleh orang melayu dahulu. Mereka lebih senang menggunakan serta menambahbaik apa yang ditinggalkan oleh penjajah.
 Jika diikutkan, memang tiada hubungan secara langsung petua, azimat atau lain-lain dengan sains jika dilihat daripada pandangan kasar, tetapi sebenarnya cara pandangan alam daripada sudut pandangan manusia memang berlainan kerana berbezanya makna atau tafsiran sesuatu unsur sains dari suatu kebudayaan (agama dan bahasa) ke suatu kebudayaan yang lain (Shaharir 2013b). Setiap manusia ataupun kebudayaan yang berlainan mempunyai pandangan alamnya yang tersendiri. Sudut pandangan orang Melayu tidaklah sama dengan pandangan orang bukan Melayu. Tetapi, sudut pandangan orang bukan Melayu yang hidup dalam kebudayaan Melayu boleh menerima pandangan Melayu tersebut dan mungkin menjadikan pandangan mereka sama seperti pandangan melayu juga. Ini dapat dilihat seperti al-Raniri dan Hamzah Fansuri yang bukanlah seorang penduduk tempatan Acheh tetapi mempunyai sudut pandangannya merujuk kepada alam Melayu yang boleh dilihat melalui hasil tulisan mereka.
Boleh dikatakan juga bahawa petua dan semua yang dibincangkan di atas mempunyai unsur kosmologi dalam alam Melayu. Kosmologi ini merupakan pandangan alam atau pandangan hidup sesuatu kaum, etnik atau bangsa dalam segala aspek kehidupannya sehingga terangkumlah dengan sistem kepercayaan adat resam, kesenian dan kebudayaan (Shaharir. 2013). Daripada apa yang difahami, kosmologi ini akan berbeza bagi setiap kaum atau bangsa. Mungkin sesetengah pihak tidak menganggap petua atau lain-lain lagi tidak ada unsur sains tetapi bagi orang Melayu, petua yang diberikan dan ditulis dalam manuskrip merupakan pandangan alam orang Melayu terhadap alam sekelilingnya. Mungkin tiada niat dalam hati pemerhati yang merakamkan petua tersebut berdasarkan pemerhatian sains tetapi pemerhatian mereka itu merupakan suatu sains.
Jika dilihat sejarah astrologi itu sendiri, menurut Kim Farnell (2007) bagi mengetahui sejarah astrologi, kita harus kembali ke zaman Babylon purba di mana manusia pertama kali menemui bahawa fenomena kosmik mempunyai hubungan dengan perubahan musim dalam setahun. Jadi mereka perlu meramal keadaan cuaca bagi memastikan mereka dapat bercucuk tanam dan memungut hasil yang baik. Jelaslah di sini dapat dilihat bahawa, astrologi itu bermula dengan pemerhatian manusia secara kasar terhadap alam sekeliling. Daripada pemerhatian inilah menjadikan fenomena yang berlaku suatu kajian yang lebih mendalam pada masa akan datang. Ini samalah seperti pandangan atau pemerhatian orang Melayu terhadap fenomena yang berlaku di sekeliling mereka. Daripada pemerhatian mereka ini sepatutnya dilakukan kajian yang lebih mendalam untuk mengetahui sebab-musabab fenomena tersebut boleh berlaku.
Harun Mat Piah (2005) menegaskan pula bahawa masyarakat Melayu menguasai ilmu tentang alam dalam makna ilmu bintang, falak, atau astrologi sejak zaman prasejarah lagi. Tambah beliau lagi, sebagai suatu bangsa pelayaran, mereka menggunakan pengetahuan ilmu bumi, musim, angin, ribut, taufan, hujan dan lain-lain untuk berwaspada serta bersedia menghadapi apa juga keadaan yang mungkin berlaku. Sahlah disini petua yang diturunkan kepada golongan baru merupakan satu ilmu yang sangat berguna kepada orang lain untuk melakukan pekerjaan harian mereka. Petua-petua yang diberikan juga merupakan pemerhatian mereka terhadap fenomena yang berlaku di sekeliling mereka. Fenomena yang mereka perhatikan ini jika dikaji dengan lebih lanjut mungkin akan menerbitkan suatu ilmu baru ataupun paling tidak pun menambah sesuatu dalam ilmu.
Dalam ilmu nujum atau ramalan dalam alam Melayu pula, Haron Daud (2009) ada menayatakan pemerhati akan melihat setiap perkara yang menjadi rujukan pemerhatiannya seperti hari, bulan, cuaca dan apa-apa yang berkaitan dengan keadaan sekeliling. Sebagai contoh, untuk bercucuk tanam, terdapat perkiraan hari dan bulan yang baik atau tidak baik untuk memulakan tanaman. Orang yang ingin memulakan bercucuk tanam, akan melihat hari atau bulan tersebut sambil melihat keadaan cuaca dan mula mengira untuk melihat kesesuaian memulakan kerja tanaman. Jika pelaku itu tidak mahir dalam ilmu penujuman ini, meraka akan berjumpa dengan ahli nujum untuk menujum waktu yang sesuai. Keadaan cuaca atau fenomena alam yang dilihat boleh menjadikan pemerhatian mereka berupa pemerhatian saintifik kerana terdapat waktu-waktu yang tidak sesuai itu adalah waktu musim hujan yang lebat ataupun musim kurangnya hujan. Ini merupakan hujah yang boleh dikatakan ilmu nujum, petua dan lain-lain terdapat unsur dan pemikiran saintifik daripada orang Melayu. Sarjana Melayu sekarang perlulah dengan lebih teliti untuk mengkaji petua, nujum dan lain-lain lagi untuk  melihat tahap kebenaran petua tersebut.
Jika dilihat maksud sains itu sendiri pemerhatian terhadap sesuatu dengan bersistem, mantik dan objektif dengan menggunakan kaedah khusus yang diperantikan untuk mewujudkan penumpukan ilmu pengetahuan yang boleh dipercayai. Takrif di atas menunjukkan sains itu merupakan pemerhatian seseorang terhadap suatu peristiwa di sekelilingnya berdasarkan kaedah yang digunapakai oleh pemerhati itu sendiri untuk mendapatkan pengetahuan berdasarkan pemerhatiannya itu. Proses mendapatkan ilmu ini seperti biasanya adalah melalui pengalaman, kemudiannya mendapatkan fakta dan peraturan daripada pengalaman yang telah lalu. Cara sains mengkaji sesuatu perkara adalah dengan melihatnya dengan teliti, mengukurnya, membuat ujikaji dan dengan cuba menerangkan mengapa suatu fenomena itu terjadi. Persoalan mengenai petua merupakan ilmu Melayu yang tidak saintifik adalah tidak benar kerana ia merupakan suatu kaedah pencerapan daripada seseorang pencerap kepada perkara yang dicerapnya.
Petua menunjukkan pengalaman seseorang terhadap suatu fenomena di sekelilingnya dan menurunkan apa yang diperhatikannya itu kepada orang lain samada melalui lisan ataupun tulisan. Terdapat juga beberapa pendapat mengatakan pencerapan yang membenihkan petua itu tidak menerusi ujikaji yang saintifik. Pendapat ini juga boleh disangkal kerana ujikaji saintifik adalah berdasarkan fenomena yang berlaku di sekeliling pencerap. Fenomena ini kemudiannya akan disusun atur oleh pencerap untuk melihat samada pandangan atau pemerhatiannya pada pertama kali itu sama dengan hasil perhatiannya pada kali yang lain.
Sebagai contoh, dalam petua membina rumah, terdapat petua yang menyuruh orang yang ingin membina rumah agar pintu rumah itu menghadap arah anging bertiup agar angin mudah masuk ke dalam rumah. Petua ini mungkin diperhatikan daripada orang sebelum mereka yang membina rumah dengan tidak melihat arah angin menyebabkan rumah mereka tidak dimasuki angin selepas siap rumah tersebut. Walaupun tiada radas yang diperlukan untuk melakukan kajian tersebut, tetapi pengalaman yang ditempuhi pencerap itu menjadikan petua yang ditinggalkan lebih bersifat saintifik.
Walau bagaimanapun, tidaklah dinafikan bahawa setiap cerapan yang dilakukan oleh orang dahulu yang boleh membuahkan petua itu benar secara mutlak. Ini kerana pencerap merupakan seorang manusia yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Pandangan mereka terhadap fenomena yang dilihatnya mungkin betul dan mungkin juga salah. Walaupun pemerhatian yang berkali-kali dilakukan oleh pencerap tersebut dan menghasilkan hasil yang sama. Pemerhatian mereka terhadap suatu fenomena itu juga boleh menghasilkan pandangan yang lain jika dilihat dan diperhatikan oleh orang lain. Oleh sebab itulah banyak petua untuk satu-satu keadaan. Sebagai contoh, ada petua menamakan anak berdasarkan bulan dan hari anak dilahirkan. Terdapat juga petua menamakan anak berdasarkan rejang nama ibu dan ayahnya. Ada juga petua menamakan anak itu berdasarkan kiraan-kiraan tertentu dan ada juga yang menyuruh orang lain menamakan anak mereka berdasarkan ketinggian ilmuan orang itu. Mungkin masyarakat masa itu menggunakan petua yang biasa mereka gunakan sahaja. Tidak mencampuri petua-petua yang berlainan.

RUJUKAN
Abdul Rahman Kaeh. 2006. Kitab Bintang Dua Belas. Dalam Rogayah A. Hamid dan Mariam Salim (penyt). Kepustakaan Ilmu Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa & Pustaka
Furnell, K. 2007. Astrology - An Illustrated Guide. London. Star Fire
Haron Daud. 2009. Kitab Ilmu Nujum Melayu. Bangi. ATMA UKM
Harun Mat Piah. 2005. Pendahuluan. Dalam Rogayah A. Hamid dan Mariam Salim (penyt). Kepustakaan Ilmu Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa & Pustaka
Hashim Awang. 2006. Manuskrip 331: Petua Melayu Dalam Rogayah A. Hamid dan Mariam Salim (penyt). Kepustakaan Ilmu Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa & Pustaka
Kamus Dewan
Shaharir Mohamad Zain. 2003. Sains dan Teknologi Melayu Sebelum Dikuasai Penjajah Dari Eropah. Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu. 1(2): 157-204
Shaharir Mohamad Zain. 2006. Sains dan Teknologi Melayu Sebelum Dikuasai Penjajah dari Eropah. Dalam  Rogayah A. Hamid dan Mariam Salim (penyt). Kepustakaan Ilmu Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa & Pustaka
Shaharir Mohamad Zain. 2013. Bagaimanakah Sains Matematik Malayonesia dapat Ditemui di dalam Manuskrip dalam bahasa Melayu-Jawi Pra-Abad ke 20 M. Kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Etnomatematik anjuran Pusat Pengajian Sains Matematik UKM (26 Jun 2013)
Shaharir Mohamad Zain. 2013b. Epistemologi Malayonesia Berbahasa Melayu. Kertas kerja yang dibentangkan pada Forum Arus Melayu sempena Festival Georgetown Pulau Pinang anjuran Penang Institute (16 Jun 2013).

Kertas ini dibentangkan dalam Seminar Etnosains anjuran Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya

No comments:

Post a Comment