Sunday, March 16, 2014

PENDIDIKAN SEJARAH MEMBENTUK KAREKTER ANAK MUDA



Sejarah merupakan kajian mengenai masa lampau terutamanya yang berkaitan dengan manusia. Ini termasuklah mengenai kerajaan, peperangan, adat istiadat, dan segala perlakuan manusia pada masa lampau. Menurut Ibnu Khaldun, sejarah merupakan catatan tentang masyarakat umum manusia atau peradaban manusia yang terjadi pada masyarakat itu. Pendidikan sejarah merupakan suatu matapelajaran yang dapat membuka minda kepada pelajarnya mengenai apa yang dilakukan oleh bangsanya sendiri dengan dibandingkan apa yang berlaku pada masyarakat lain di bahagian dunia lain pada waktu yang sama. Francis Bacon ada menyatakan sejarah merupakan pengetahuan tentang sesuatu objek yang ditentukan oleh ruang dan waktu.
Setiap bangsa mempunyai sejarahnya tersendiri dan kebiasaannya, sejarah ini ditulis oleh pemerintah kepada bangsa tersebut. Jika bangsanya sendiri yang memerintah, makanya sejarah bangsanya akan diagung-agungkan melebihi bangsa lain. Jika bukan bangsanya yang memerintah, makanya cerita atau sejarah sesuatu bangsa itu hanya akan terpendam sahaja dalam benak-benak orang yang mengetahuinya. Jika nasib baik, akan disebut dalam buku-buku teks sejarah tetapi hanyalah sekadar fakta sampingan sahaja. Sama ada bangsa itu mempunyai kehebatannya tersendiri, ataupun hanyalah sekadar bangsa yang menghuni dalam hutan, sejarah setiap bangsa ini perlu ditulis semula bagi melihat apakah yang ada pada bangsa itu pada waktu dahulu jika mahu dibandingkan dengan apa yang bangsa itu ada pada waktu sekarang. Penulisan sejarah semula ini penting supaya anak-anak akan datang dapat mengetahui apakah yang ada pada bangsanya dahulu. Dengan pengetahuan terhadap keupayaan bangsanya pada zaman dahulu, membolehkan semangat ingin memajukan bangsanya untuk mewarisi kehebatan bangsanya seperti zaman dahulu.
Jika dilihat kepada bangsa Minangkabau, pernah terdengar daripada beberapa orang pemikir dan terbaca pada beberapa laman sesawang yang cuba menidakkan keupayaan bangsa Minangkabau ini sejak dahulu lagi. Sama ada mereka tidak pernah membaca mengenai kehebatan bangsa ini ataupun tahu tetapi menidakkan perkara-perkara tersebut. Ini menjadi persoalan dan menjadi tanggungjawab kepada para pemikir sejarah bangsa Minangkabau untuk membangunkan kembali ilmu sejarah Minangkabau. Para pengkaji sejarah Minangkabau perlulah mula mengumpulkan maklumat dan sejarah-sejarah lampau mengenai bangsa Minangkabau ini dan ditulis dalam satu buku khas untuk tatapan generasi akan datang supaya mereka dapat menghargai dan berbangga lahir dalam bangsa Minangkabau. Terdapat beberapa perkara yang menjadi minat penulis untuk dibincangkan supaya dapat membuka minda generasi sekarang dan akan datang untuk memulakan pengumpulan bahan-bahan sejarah bangsa Minangkabau.
1.      Perantau
Mengapa orang Minang terkenal dengan sifat suka merantaunya? Sejak bilakah mulanya sifat orang Minang menjadi perantau ini? Sejarah ada mencatatkan bahawa penghijrahan pertama yang berlaku pada abad ke-7 yang mana para pedagang emas yang berada di pedalaman Minangkabau ingin melakukan perdagangan dan meluaskan perniagaan mereka di muara Jambi serta daripada pedagang inilah yang membentuk Kerajaan Melayu (Paul M.N., 2006). Pada abad ke-14 pula, penghijrahan secara besar-besaran berlaku apabila banyak keluarga Minang berpindah ke pantai timur Sumatera untuk mendirikan kumpulan-kumpulan pedagang  di Batubara, Pelalawan hinggalah ke Tanah Melayu di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Di samping itu, orang Minang juga banyak berhijrah ke pesisir pantai barat Sumatera. Kebanyakan perantau Minang menduduki di Melabuh, Acheh, Barus hinggalah ke Bangkulu (Christine D. 2008). Setelah Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke Portugis pada 1511, orang Minang berhijrah pula ke Sulawesi Selatan dengan menjadi penyokong kepada Kesultanan Goa dengan menjadi pedagang dan juga pentadbir kerajaan. Pada abad ke-18, penghijrahan besar-besaran sekali lagi berlaku apabila orang Minangkabau mendapat hak keistimewaan untuk mendiami kawasan Kerajaan Siak. Penhijrahan lain yang berlaku adalah semasa penjajahan Belanda pada 1920 ketika pembukaan kebun tembakau di Sumatera Timur. Semasa kemerdekaan Indonesia, penghijrah Minang banyak menduduki Bandar-bandar besar di Jawa.
Kebanyakan penghijrahan yang disebutkan di atas merupakan penghijrahan orang Minang disebabkan faktor ekonomi dan kedudukan. Terdapat juga perantauan orang Minang ini disebabkan oleh factor keilmuan. Pada akhir abd ke-18, ramai pelajar daripada Minang merantau ke Mekah untuk mendalami pengajian agama Islam seperti Haji Miskin, Haji Piobang dan Haji Sumanik. Apabila para pelajar ini pulang daripada pengajian, mereka menjadi penyokong kuat gerakan Paderi dan penyebaran pemikiran Islam di seluruh Minangkabau dan Mandailing. Penghijrahan kedua ke Timur Tengah pula berlaku pada awal abad ke-20 oleh Abdul karim Amrullah, Tahir Jalaluddin, Muhammad Jamil jambek dan Ahmad Khatib al-Minangkabawi. Selain menghala ke Timur Tengah, terdapat juga para pelajar daripada Minangkabau yang melakukan perantauan ke Eropah seperti Abdul Rivai, Mohammad Hatta, Sutan Syahrir, Roestam Effendi dan Nazir Pamuntjak. Selain itu, intelektual lain seperti Tan Malaka pernah hidup mengembara di lapan buah Negara sekitar Eropah dan juga Asia. Tan Malaka bukan sahaja pergi mengembara di negara orang, malah menjadi penghubung rangkaian pergerakan kermerdekaan Asia. Boleh dikatakan kesemua pelajar Minang yang merantau di Eropah tersebut akhirnya pulang menjadi pejuang kemerdekaan dan pengasas Republik Indonesia.
Daripada kisah perantau ini sahaja sudah menampakkan betapa hebatnya bangsa Minangkabau ini sejak dahulu lagi. Para pemuda harus menghayati perjuangan-perjuangan orang Minang dahulu supaya dengan penghayatan ini akan membolehkan para pemuda Minang untuk menangkis persoalan daripada bangsa lain apa yang hebatnya pada bangsa Minang.
2.      Teknologi Peperangan
Jika dibaca pada catatan-catatan Belanda mengenai peperangan di Minang, akan didapati beberapa ayat yang menyatakan bahawa orang Minang merupakan suatu bangsa yang sukar untuk dikalahkan dalam peperangan. Teknik dan taktik peperangan yang digunakan oleh orang Minang merupakan berlainan dengan apa yang ditempuhi Belanda semasa melawan tentera Diporonegoro. Tulisan dan catatan daripada Hendrix dan beberapa ketua turus tentera Belanda yang pernah berperang di Sumatera Barat menyatakan bahawa orang Minang ini sangat handal dan hebat dalam pembinaan benteng pertahanan. Kekuatan benteng pertahanan ini membolehkan mereka hanya memerlukan kekuatan tentera yang sedikit sahaja untuk mengawal benteng pertahanan. Penguasaan pejuang Minang terhadap alam sekeliling dan bijak menggunakan alam sekitar sebagai pertahanan juga turut diakui oleh Belanda. Penggunaan buluh runcing sebagai pagar kawasan membolehkan pejuang Minang mengetahui setiap pergerakan musuh.
Di samping kehebatan daripada pembinaan benteng pertahanan, orang Minang juga berjaya untuk membuat sendiri senjata api untuk berperang. Walaupun pada asalnya mereka mempelajari daripada bantuan China dan juga Turki, namun mereka masih boleh lagi mengubahsuai bentuk senjata itu supaya selesa dengan penggunaan mereka. Ini kerana contoh senjata yang diajar kepada mereka mungkin tidak sesuai dengan tubuh badan orang Minang yang lebih kecil berbanding dengan orang Turki dan juga China. Perbezaan yang ketara antara senapang yang diimport dengan buatan sendiri adalah adanya sumbu khas yang hanya diketahui oleh orang Minang sahaja penggunaannya. Bukan setakat senapang sahaja yang dibuat, malah peluru senapang itu juga dibuat sendiri dengan menggunakan sumber yang berada di sekitar mereka. Suatu yang amat menghairankan adalah, adunan untuk membuat peluru senapang itu dengan menggunakan belerang yang terdapat di sekitar kawasan gunung berapi dan juga garam kalium nitrat yang diekstrak daripada najis haiwan. Bagaimana orang Minang mengetahui dalam najis haiwan terdapatnya garam kalium nitrat tersebut? Bagaimanakah teknologi pengekstrakan yang dilakukan pada masa tersebut? Ini semualah perlu dijawab dengan mengkaji dan meneliti semula sejarah silam dan penambahan fakta ini akan menjelaskan bahawa teknologi orang Minang pada masa lampau sudah mencapai sebuah teknologi yang boleh dikatakan setara dengan teknologi yang berada di Barat.
Selain itu, strategi peperangan yang sukar dijangka juga memberikan kelebihan kepada pejuang Minang untuk melawan tentera Belanda. Strategi peperangan yang bertahan diamalkan oleh pejuang Minang semasa melawan tentera Belanda. Pertahanan yang kukuh dan kemahiran orang Minang menggunakan sumber alam sebagai perisai banyak membantu pejuang Minang dalam memenangi peperangan. Jarang untuk pejuang Minang menggempur musuh dalam keadaan kawasan lapang kecuali pada beberapa situasi tertentu. Seperti semasa tentera belanda sedang berehat ataupun semasa tentera Belanda sedang menyusun barisan tenteranya. Ini amat menakjubkan kerana pejuang Minang dengan berani menyerang ribuan tentera Belanda dengan hanya menggunakan kelewang dan juga bilangan tentera yang sedikit. Sebagai contoh, dalam catatan Hendrix ada menyatakan serangan yang dilakukan oleh orang Minang  dapat didengari teriakan, pekikan dan jeritan yang menakutkan, keras serta kuat. Suara-suara keras ini sahaja dapat mengkucar-kacirkan tentera Belanda. Selain dapat mengkucar-kacirkan pertahanan Belanda, suara ini juga dapat meningkatkan semangat juang mereka. Pernah terjadi satu peristiwa 30 orang pejuang Minang menakutkan 2000 orang tentera Belanda yang diwakili oleh orang Melayu. Tambahan Hendrix, untuk mengalahkan pejuang Minang, yang penting jangan takut dan cemas. Pernah terjadi 60 orang Minang menakutkan dan mengacau bilaukan ribuan tentera Belanda yang diwakili oleh oleh orang Melayu dan juga 50 orang tentera Bugis. Sedang tentera Melayu melarikan diri, orang Bugis yang sudah biasa bertempur dengan tenang membuat formasi pertahanan mereka iaitu dengan membuat separuh lingkaran. Betapa nekadnya pejuang Minang menyerang 50 orang Bugis ini dengan sebelah tangan menetak musuh dan sebelah tangan lagi cuba merampas senjata orang Bugis tersebut. Oleh kerana ketenangan dan formasi pertahanan Bugis itu, hanya 10 orang sahaja tentera Belanda yang terkorban.
Daripada catatan-catatan sejarah inilah yang perlu diketengahkan untuk memberi suatu inspirasi baru kepada para pemuda untuk lebih mengenali bangsanya sendiri. Dengan itu, akan menghasilkan pemikiran yang percaya akan kehebatan bangsanya masa lampau. Perasaan kekurangan pada bangsa sendiri ditanam oleh penjajah dahulu untuk melemahkan pemikiran dan memasung minda bangsa tersebut supaya patuh pada penjajah yang datang ke mari untuk mentamadunkan manusia.
3.      Sains dan teknologi
Walaupun tiadalah ilmu sains dan teknologi yang boleh dibanggakan seperti keagungan sains dan teknologi Barat seperti sekarang, masih ada pemikiran sains dan teknologi dalam alam Melayu. Ia mungkin tidak termasuk dalam buku-buku teks sains pada zaman sekarang. Tetapi boleh dirujuk dalam catatan-catatan lama dan juga dalam manuskrip-manuskrip Melayu dahulu. Sebagai contoh, bagaimanakah orang Minang dapat mengetahui dalam najis haiwan adanya garam kalium nitrat yang merupakan garam yang penting dalam pembuatan peluru dan juga bahan peledak. Perkara ini harus dikaji dan sejarah kedatangan teknologi pembuatan senjata ini perlu diselongkar untuk melihat bagaimanakah orang Minang dapat mempelajari teknologi pembuatan senjata dan juga peluru. Apakah hubungan orang Minang dahulu yang menyebabkan teknologi persenjataan ini berpindah kepada mereka? Inilah persoalan sejarah yang perlu dirungkai oleh ahli sejarah kini untuk menyelongkar kembali ilmu-ilmu dan fakta-fakta sejarah yang telah dikuburkan oleh para penjajah. Daripada sejarah inilah para pemuda sekarang akan dapat belajar dan tahu bahawa bangsanya dahulu merupakan satu bangsa yang hebat. Banyak ilmu dan teknologi dilakukan mengikut acuan sendiri.
Selain daripada ilmu peperangan tersebut, terdapat juga dalam sejarah mengenai seorang anak Minang yang mengajar dan juga menjadi khatib di Masjidil Haram, Mekah iaitu Syeikh Ahmad Bin Abdul Latif al-Khatib. Syeikh Ahmad al-Khatib telah menulis dua buah kitab berkenaan dengan matematik iaitu Raudah al-Hussab fi ‘ilm al-Hisab yang menjadi kitab pengajarannya di Mekah dalam Bahasa Arab. Sebuah kitab lagi adalah Alam al-Hussab fi ‘ilm al-Hisab dalam Bahasa Melayu yang digunakan oleh beliau kepada anak muridnya yang masih tidak fasih dengan istilah-istilah matematik dalam Bahasa Arab. Kedua-dua kitab ini kebanyakannya banyak membincangkan mengenai konsep pilihatur dan gabungan dengan menyelesaikan masalah fekah dalam konteks masyarakat di Minang.
Sebagai contoh beliau dalam kitab tersebut adalah, seorang murid berjanji memberikan gurunya makan dengan menggunakan 4 pinggan satu dulang tetapi satu dulang tersebut hanya boleh memuatkan 3 pinggan. Bagaimanakah kaedah penyusunan pinggan tersebut menjadi suatu perbincangan dalam menyelesaikan masalah semasa itu. Selain itu, beliau ada membuat contoh bagaimana hendak memilih beberapa ekor burung nuri dalam beberapa sangkar untuk dijadikan permainan dan pertandingan. Beberapa ekor burung nuri terdapat dalam sebuah sangkar. Konsep pilihatur dan gabungan akan digunakan untuk menjawab persoalan tersebut. Mengapakah contoh memberi makan kepada guru dan juga pilihan burung nuri tersebut menjadi pilihan beliau? Jika diperhatikan pada sejarah lalu, memang menjadi sikap anak murid memberi makan kepada tuan gurunya apabila murid tersebut sedang atau telah habis pengajian kitabnya. Selain itu, sikap orang kampung yang suka bermain haiwan terutamanya burung nuri kerana bulunya mempunyai warna yang cantik serta pandai mengajuk kata-kata manusia. Di sini jelas dilihat bahawa orang dahulu membuat contoh dalam setiap pekerjaan mereka dengan merujuk kepada apa yang dilakukan oleh masyarakatnya sendiri. Bukan seperti sekarang jika matapelajaran pilihatur dan gabungan di ajar, contoh-contoh yang diberikan lebih kepada penggunaan kad judi, buah dadu dan juga buah epal yang tiada dalam masyarakat kita sekarang.
Di samping itu, dalam tulisan beliau, ada menyebut beberapa unit pengiraan yang digunakan pada waktu tersebut. Nilai matawang seperti sen, ringgit dan rupiah, pikul, kati, saga, kundi dan bungkal sebagai unit berat, hasta dan depa bagi unit panjang dan cupak serta gantang sebagai unit isipadu. Penulisan beliau ini mengenai sukatan ini telah ditulis sebuah kitab tulisan beliau dalam Bahasa Arab yang bertajuk Sulh al-Jama’tain. Selain daripada unit pengiraan, beliau juga turut membincangkan mengenai pendaraban dan pembahagian sehinggalah penentuan punca kuasa yang berpandukan kepada masalah harian masyarakat. Bilangan-bilangan nombor yang disebut oleh beliau dalam kitabnya juga menunjukkan pada masa lalu, sudah ada pembilangan untuk bilangan yang besar. Sudah tentu jika ada perkiraannya, sudah tentu ada benda yang dikiranya. Sudah tentu bilangan yang besar ini ada benda yang dikiranya samada dalam perdagangan ataupun dalam kehidupan seharian masyarakat setempat. Hanya sejarah yang boleh menentukan perkara apakah yang digunakan untuk menilaikan  benda-benda yang bernilai besar ini.
4.      Kesimpulan
            Sejarah yang ada sekarang kebanyakannya ditulis oleh orang barat dengan sarat dengan pandangan serta penelitian mereka. Apa yang ditulis oleh mereka pada masa lalu diambil dengan mudahnya oleh orang kita dengan mempercayainya bulat-bulat tanpa ada penelitian semula. Sedangkan penafsiran tentang pemerhatian mereka mungkin berbeza dengan apa yang sebenarnya berlaku pada waktu itu. Fakta-fakta yang dikemukakan oleh mereka menyebabkan anak muda pada masa kini dengan mudahnya percaya dengan kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam bangsa ini. Sikap tiada apa-apa pada bangsa ini yang diterapkan melalui pengajian sejarah serta menggambarkan bahawa bangsa ini baik sedikit daripada haiwan ditelan oleh anak muda tanpa membuat penyelidikan lanjut. Daripada apa yang telah diterangkan melalui catatan sejarah daripada penjajah, beberapa bukti penulisan manuskrip dan juga kitab, serta binaan-binaan gah seperti rumah gadang itu menunjukkan bahawa bangsa ini dahulu merupakan suatu bangsa yang hebat tetapi telah di dungukan dengan fakta-fakta mengarut daripada penulisan Barat.
Bagaimanakah mahu membuang segala fakta-fakta mengarut ini dalam minda anak muda kita? Pertamanya perlu ditulis semula sejarah awal kehidupan bangsa mengikut acuan bangsa itu sendiri. Segala kehebatan dan kekurangan perlu ditulis supaya kehebatan itu dapat diwarisi dan kekurangan itu dapat diatasi untuk anak muda masa hadapan tidak mengulanginya semula. Penulisan semula ini mengikut acuan yang telah ditetapkan dengan segala fakta-fakta dibongkar dan digilap semula untuk menjadikan pendidikan sejarah pada masa akan datang dapat membina jati diri atau karakter masyarakat yang tiada berjiwa hamba. Segala kehebatan bangsanya akan dibanggakan dan anak muda perlu diajar supaya dapat mengekalkan kehebatan itu dengan cuba mengatasi kehebatan yang terdapat pada bangsa Barat pada masa sekarang mengikut acuan tersendiri.
Penelitian semula terhadap fakta-fakta sejarah lalu perlu diperkemaskan dengan segala fakta yang meragukan ditapis dan diselidiki terlebih dahulu kebenarannya. Istilah sejarah ditulis oleh orang yang menang sudah boleh dilupakan tetapi perlu mempunyai istilah persejarahan yang baharu supaya segala bukti-bukti sejarah yang ada sekarang adalah lebih adil kepada semua pihak tidak kira kelebihan dan kelemahan sesebuah bangsa tersebut. Kelebihan itu perlu dikekalkan dan kelemahan perlu diatasi. Itulah konsep sejarah baharu yang perlu dilakukan oleh semua pihak. Rekod-rekod yang ada perlu didedahkan supaya pelajar ataupun masyarakat yang mengetahuinya dapat menilai sendiri mengenai kebenaran lalu. Masa kini bukanlah masanya untuk menutup kelebihan orang lain dan membenarkan kelemahan diri.
Penulisan semula sejarah ini akan membangkitkan semangat kepada genarasi akan datang untuk mengkagumi bangsa sendiri. Penulisan ini dapat membangkitkan karakter keberanian kepada generasi akan datang. Bukanlah niat untuk sekadar bangga dengan bangsa sendiri dan tidak melakukan apa-apa, tetapi perlulah selari kehebatan bangsanya yang lalu dengan meningkatkan kehebatan dan kemajuan hidup bangsa mereka pada masa kini serta akan datang.

Rujukan
Anthony Reid. 2004. An Indonesian Frontier: Acehness and other Histories of Sumatra. Singapore: University od Singapore Press
Christine D. 2008. Gejolak Ekonomi, Kebangkitan Islam dan Gerakan Padri: Minangkabau 1784-1847. Komunitas Bambu.
Hendriks. 1881. Oorlogvoeren op Sumatera. Indische Militair Tijdschrift. Terjemahan internet (15 Okt 2012)
Marsden William. 1783. History of Sumatera. London. The Project Gutenberg EBook.
Paul M.N., 2006. Early Kongdoms of The Indonesian Archipelago and The Malay Peninsula. Didier Millet.
Navis. A.A. 1994. Cerita Rakyat dari Sumatera Barat. Jakarta. Grasindo.

Rusli Amrin. 1981. Sumatera Barat hinggan Plakat Panjang, 


Kertas ini dibentangkan pada Seminar pada Festival Kesenian Sumatera (22-23 Feb 2014)

No comments:

Post a Comment