Sunday, March 16, 2014

KUBU PERTAHANAN MINANGKABAU



Setiap kaum yang terdapat di nusantara ini pasti mempunyai pengalaman dengan penjajah yang datang daripada Barat. Tidak kiralah sama ada menjadi pengikut ataupun menjadi penentang penjajah tersebut. Bagi yang menentang kemasukan penjajah ke dalam tanah air mereka, terdapat berbagai-bagai kaedah yang dapat diperhatikan untuk mereka melawan musuh. Setiap kaum mempunyai kaedah tersendiri berdasarkan ilmu yang ada dalam dada mereka. Tidak terlepas juga kaum di Minangkabau. Mereka juga merupakan antara penentang kemasukan tentera Belanda yang agak sukar ditentang oleh tentera Belanda. Kaum Minangkabau ini mempunyai kaedah yang tersendiri dalam menyusun atur pertahanan mereka menentang Belanda.
            Tidak banyak penulisan yang dapat didapati untuk melihat dengan mendalam mengenai strategi peperangan orang Minang. Tetapi terdapat beberapa catatan daripada Belanda dan juga British mengenai orang Minang di samping bagaimana mereka mendirikan pertahanan semasa peperangan berlangsung. Antara catatan yang boleh didapati adalah Hendrix daripada Belanda dan juga Marsden daripada British. Tulisan Marsden hanyalah catatan mengenai sejarah Sumatera yang dikumpulkan dan setiap perkara yang Marsden kumpulkan semasa beliau tinggal di Sumatera. Catatan Marsden diperolehi daripada laporan, temu bual, surat menyurat beliau terhadap orang yang pernah tinggal atau datang ke Sumatera di samping pengalaman beliau sendiri. Tulisan Hendrix pula lebih mendalam kerana bukunya yang bertajuk “Berperang di Sumatera” merupakan sebuah buku yang wajib dibaca oleh para tentera Belanda sebelum dihantar ke Sumatera. Buku tulisan Hendrix ini merupakan catatan beliau semasa beliau menjadi Kapten tentera Belanda di Sumatera. Beliau mengumpulkan maklumat berkenaan peperangan di Sumatera dan menyatakan sikap dan sifat setiap pertempuran mereka di Sumatera. Sangat menarik hati kerana beliau ada menyatakan bahawa orang Minang merupakan kaum yang sangat sukar untuk dikalahkan kerana mereka bijak menggunakan alam sekeliling sebagai benteng pertahanan  mereka.
            Kepakaran mereka membina benteng membolehkan orang Minang hanya perlu menggunakan sedikit tenaga tentera untuk mengawal pintu kubu-kubu mereka. Kelainan yang boleh dilihat orang Minang semasa mereka berperang adalah mereka suka duduk di sebalik kubu pertahanan mereka daripada pergi menyerang secara terbuka seperti kaum lain. Cara mereka bertahan ini ada di catatkan dalam catatan Hendrix. Hendrix menambah lagi bahawa orang Minang menggunakan ranjau yang runcing untuk dipasang dalam laluan musuh mereka. Ini menyebabkan barisan musuh akan sukar bergerak maju ke hadapan. Semasa musuh sedang berhati-hati untuk mengelakkan halangan daripada buluh runcing itu, mereka akan menyerang dengan menyerang secara mengejut dan ini akan mengkucar kacirkan barisan musuh. Sistem pertahanan yang terpenting bagi orang Minang adalah pagar-pagar diperbuat daripada buluh berduri panjang. Buluh berduri panjang ini ditanam rapat-rapat sehinggakan apabila sudah besar buluh ini, ia menjadi kawasan buluh yang semak. Semak ini sukar dilalui oleh pasukan Belanda tetapi menjadi kelebihan kepada pihak Minang kerana mereka dapat mengetahui segala gerak geri tentera Belanda berdasarkan pergerakan rumpun buluh tersebut. Pokok buluh ini apabila sudah mencapai umur empat tahun akan menjadi hutan berduri panjang yang mustahil untuk ditembusi. Belanda menggelarkan hutan berduri panjang yang sukar ditembusi ini sebagai bamboo aur.
Dalam peperangan dengan penduduk Kampung Pauh, benteng yang diperbuat daripada tembok batu mengelilingi kampung ini. Tembok batu setebal 5 meter dengan ketinggian 3 hingga 5 meter mengikut keadaan. Seorang ketua tentera Belanda bernama Boelhower dalam bukunya, ‘Kenang-kenangan Sewaktu di Sumatera Barat Tahun 1831-1834’ yang diterbitkan di Belanda pada 1841 menceritakan mengenai pertahanan Bonjol yang sukar ditembusi. Menurut beliau,
“Bonjol terletak di atas bukit berbentuk segi empat panjang yang dipisahkan oleh sebuah sungai yang mempunyai aliran air yang deras. Tiga sisi Bonjol dikelilingi oleh dinding pertahanan dua lapis setinggi lebih kurang 3 meter. Tembok luar terdiri daripada batu-batu besar yang merupakan tembok benteng yang kukuh dengan teknik pembinaannya hampir sama dengan benteng-benteng di Eropah. Di antara lapisan benteng tersebut dibuat parit yang dalam selebar 4 meter. Di atas tembok benteng tersebut ditanam dengan buluh berduri yang sudah hampir menjadi hutan duri. Hutan duri ini sukar ditembusi kerana duri dan juga kepadatannya. Orang-orang Minang menggunakan hutan duri ini sebagai beneng dan tempat untuk memerhatikan pergerakan musuh. Mereka menempatkan pengintai dan juga penembak tepat di sebalik hutan duri tersebut. Selain dapat memantau pergerakan musuh, serangan mengejut dapat dilakukan jika musuh mara kerana pergerakan agak terbatas di dalam kawasan hutan duri itu.
Dapat dilihat pada beberapa tempat meriam kaliber 12 poin dengan pedati beroda kayu tanpa jejari untuk mengangkut meriam tersebut. Berhampiran meriam tersebut dapat dilihat batu-batu bulat yang digunakan untuk menggantikan peluru. Sungguh menghairankan bagaimana orang Minang dapat membawa meriam sebesar itu menaiki bukit sedangkan pihak kami (Belanda) hanya mampu membawa meriam kaliber 3 poin, itupun hanya boleh diangkat dengan menggunakan tali secara beramai-ramai. Diluar Bonjol, terdapat masjid berbentuk segi empat yang dibina tanpa menggunakan paku dan besi. Atap masjid ini mempunyai 5 lapisan yang semakin kecil pada lapisan teratas. Keluasan masjid ini dapat menampung 3000 orang pada satu-satu masa. Orang Minang ini jika mereka mahu, boleh mencapai tahap kemajuan yang sama dengan Eropah.”
Kubu-kubu pertahanan tentera Minang begitu kuat dan memiliki beberapa tempat masuk yang sempit sehinggakan sangat susah untuk ditembusi oleh tentera Belanda. Ini merupakan suatu teknologi pembinaan kubu oleh pihak Minang yang dikuasai oleh mereka hanya dengan menggunakan alam sekitar sebagai pertahanan. Kehebatan orang Minang membina pertahanan membolehkan mereka hanya memerlukan sedikit tentera sahaja untuk menjaga dan berkawal di setiap pintu masuk kubu kerana pintu masuk yang sukar ditembusi hanya membenarkan sedikit sahaja tentera Belanda untuk merempuh pintu kubu tersebut. Di kawasan Lintau pula, dataran Lintau dikelilingi oleh barisan bukit dan lembah yang dalam. Terdapat empat pintu masuk ke dataran tersebut yang amat mudah untuk dipertahankan oleh tentera Minang iaitu di Marapalam, Bukit Pauh, Atar dan Padangsibusuk.
            Di sini jelaslah bahawa teknologi dalam pembinaan kubu pertahanan Minangkabau merupakan teknologinya tersendiri. Ini dapat dipastikan daripada catatan-catatan barat yang membandingkan cara orang Minang dan kaum lain berperang. Keadaan semula jadi yang berbukit bukau serta hutan yang tebal membolehkan orang Minang menggunakan kelebihan mereka mengenali hutan tersebut untuk membuat benteng pertahanan mereka. Selok belok dalam hutan dan juga keadaan bukit bukau dalam kawasan peperangan itu menjadikan orang Minang mendapat kelebihan yang besar untuk mengalahkan tentera Belanda. Belanda juga mengakui bahawa berperang dengan orang Minang di Sumatera tidaklah sesukar berperang dengan Diponegoro di Jawa.


Tulisan ini adalah untuk majalah Gadang (Feb 2014)

No comments:

Post a Comment