MUHAMAD
SHAFIQ BIN MOHD ALI & ZULISKANDAR RAMLI
Institut
Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti
Kebangsaan Malaysia
Abstrak
Orang Minangkabau di Sumatera
Barat sangat terkenal dengan budaya adat perpatih, dan juga rumah gadangnya.
Namun fakta bagaimana kaum ini berperang dengan Belanda jarang dibincangkan.
Mengenai teknologi pembuatan senapangnya yang tersendiri walaupun dipelajari
daripada luar iaitu daripada Turki dan juga China. Senapang dan juga peluru
juga mereka arif membuatnya tanpa bergantung kepada pembekal dari luar.
Teknologi senapang mereka hanya ketinggalan beberapa tahun sahaja berbanding
senapang daripada Eropah. Selain itu orang Minang begitu bijak untuk
menggunakan kelebihan alam semula jadi sebagai benteng pertahanan mereka
melawan musuh. Alam sekitarnya yang berbukit, lembah dan kawasan berbatu
membolehkan mereka menyusun strategi peperangan yang tidak dapat dibayangkan
oleh pihak Belanda. Persiapan mereka membina benteng selama beberapa tahun menjadikan
benteng mereka sukar untuk ditembusi. Teknik dan taktik peperangan yang berbeza
dengan kaum lain turut diketengahkan. Mereka tidak menyerang musuh secara
melulu tetapi hanya menunggu di belakang benteng dan menyerang secara mengejut.
Hanya sesekali sahaja mereka akan menyerang dahulu itupun jika mereka yakin
bahawa serangan itu akan membuahkan hasil yang baik. Perbandingan yang dibuat
daripada taktik peperangan di Jawa membuktikan orang Minang mempunyai taktik
peperangannya yang tersendiri. Pihak Belanda terpaksa melakukan penyelidikan,
pemerhatian dan beberapa percubaan untuk berjaya menawan kawasan atau daerah
yang telah dikuasai oleh pejuang Minang. Kertas ini tidaklah memberi suatu
fakta terbaru, hanya mengumpul tulisan dan catatan daripada pihak Belanda
bagaimana mereka bertempur, berperang dan bertahan daripada serangan pejuang
Minang.
Pembuatan Senapang
Orang
minang sudah pandai membuta senapang dan juga mengeksport hasil senapang mereka
pada abad ke-18 beserta pelurunya. Antara kerajaan yang membeli senapang hasil
tangan orang minang ini adalah Acheh dan juga Portugis. Orang minang ini juga
selain pandai membuat senapang, mereka juga golongan yang pandai menggunakan
senapang dengan sebaiknya. Seorang Belanda yang pernah berkunjung ke Sumatera
Barat sewaktu Perang Padri sedang berlangsung ada menulis mengenai kehebatan
orang minang dengan menyatakan keberanian, terlatihnya tentera mereka dalam
peperangan, penembak yang jitu dan juga bangsa yang pandai menggunakan alam
semula jadi sebagai benteng pertahanan yang kukuh serta sukar ditembusi.
Kepandaian menggunakan senapang, ditambah pula dengan boleh membuat senapang
sendiri, menjadikan orang minang boleh menginovasi senapang yang dibawa
daripada China dan Turki. Perbezaan senapang yang diimport daripada luar dengan
senapang yang diperbuat sendiri oleh orang minang adalah adanya sumbu khas.
Fungsi sumbu ini hanya diketahui oleh orang minang sahaja kerana senapang jenis
ini tidak pernah dilihat dari mana-mana bahagian pembuatan termasuklah kerajaan
Islam Uthmaniyyah yang mengajar orang minang membuat senapang melalui wakil
daripada kerajaan Turki. Rusli Amrin (1981) ada menyatakan senapang yang dibuat
oleh orang minangkabau ini serupa dengan senapang yang dibawa oleh Belanda,
cumanya senapang ciptaan orang minang hanya ketinggalan setahun dua sahaja.
Daerah yang terkenal dengan industri pembuatan senapang
adalah di Sg. Yani dan juga Sg. Puar. Teknologi pembuatan peluru senapang
adalah sangat unik bagi orang minang kerana pembuatan peluru biasanya dilakukan
oleh orang-orang perempuan yang tidak pergi berperang. Ini memberi sumbangan besar
dalam membantu lelaki yang sibuk berperang manakala perempuannya menghasilkan
peluru di rumah semasa ketiadaan lelaki. Kebiasaannya, peluru yang digunakan
adalah peluru timah yang dicampur dengan pecahan porselin, besi dan beras. Bahan
pecahan ini dimasukkan ke dalam peluru adalah untuk menyebarkan
bahagian-bahagian kecil itu ke dalam tubuh musuh. Peluru senapang ini dibuat
dengan mencampur saltpeter (kalium nitrat) yang diambil daripada najis haiwan
dengan belerang yang diperolehi daripada gunung berapi mahupun sumber air panas
dan arang. Saltpeter dan belerang akan dimasak di atas wajan besi pada suhu
yang amat tinggi. Menurut Anthony Reid (2004), kaedah yang digunakan oleh orang
Minang merupakan kaedah yang sederhana tetapi sangat merbahaya. Anthony juga
merasa hairan kerana kemalangan yang berlaku semasa proses pembuatan ini
amatlah kecil kerana mereka bukanlah melakukan proses tersebut dalam kilang
khas yang mempunyai sistem keselamatan yang tinggi. Mereka hanya membuat peluru
ini di rumah-rumah sendiri. Ini menunjukkan bahawa tahap ketelitian mereka
semasa melakukan proses pembuatan peluru tersebut dengan keadaan berjaga-jaga
supaya tiada kecelakaan berlaku.
Kebanyakan sejarawan tidak dapat mengenal pasti bilakah
kali pertama orang Minang mengenal dan pandai membuat senapang ini. terdapat
dua kemungkinan bagaimana orang Minang boleh mengenal dan membuat senapang
sendiri serta menguasai kemahiran serta teknologi pembuatan senapang.
Pertamanya adalah daripada kerajaan China dalam era Maharaja Ming iaitu antara
1390-1527 kerana pada akhir abad ke 14 dan awal abad ke 15, teknologi pembuatan
senapang dan peluru daripada China telah tersebar di seluruh Semenanjung Melaka
dan Sumatera yang menyebabkan penyebaran besar-besaran teknologi pembuatan
senjata ke atas kerajaan-kerajaan daerah di Melaka dan Sumatera sebelum orang
Eropah datang memperkenalkan senapang dan senjata-senjata mereka (Sun Laicen,
2003).
Kemungkinan kedua
adalah daripada kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pencerobohan tentera Portugis ke
Lautan Hindi untuk menguasai jalur perdagangan lada pada 1489 memaksa kerajaan
Acheh meminta perlindungan serta bantuan ketenteraan daripada Kerajaan Turki
dengan membawa ufti dan surat pengakuan Kerajaan Acheh tunduk pada Kerajaan
Turki. Sebagai balasan, pada 1520, Vezir Sinan Pasha mengirimkan pedang dan
juga meriam Turki sebagai bantuan awal kepada Acheh. Selepas itu, pada 1537,
Sultan Suleiman mengirim armada lautnya ke Gujerat untuk menghancurkan angkatan
laut Portugis dan pasukan ini tiba di Acheh bagi membantu Acheh berperang
melawan Batak serta saki baki tentera Portugis. Sepucuk surat daripada Sultan
Awaluddin pada 1567 meminta bantuan ketenteraan daripada pihak Turki dan Sultan
Selim II menghantar bantuan ketenteraan bagi membantu Acheh berperang dengan
Portugis. Selain menghantar tentera, baginda Sultan Selim II turut mengirim
bersama tukang-tukang yang berpengalaman untuk membina senjata antaranya ahli
dalam pembuatan senapang dan meriam untuk kegunaan Acheh (Marsden, 1783).
Kehadiran tukang yang mahir itu membolehkan penduduk tempatan mempelajari dan
pandai membuat sendiri sehinggakan meriam dan senapang yang diperbuat oleh
penduduk tempatan digunakan dengan meluasnya apabila peperangan yang berlaku
antara orang Minang dan juga Belanda dalam perang Padri.
Namun, kemungkinan
yang lebih dipercayai adalah daripada China dengan pembuktian peluru senapang
dan meriam tersebut. Peluru tersebut diperbuat daripada saltpeter (kalium nitrat). Terdapat dalam catatan arab
dan parsi yang menyatakan saltpeter tersebut dengan gelaran ‘salji China’
(arab) dan ‘garam China’ (Parsi). Sumber kalium nitrat yang diperolehi juga
merupakan antara teknologi China mendapatkan garam tersebut iaitu daripada
najis haiwan. Mengikut sejarahnya, sumber garam ini didapati daripada suku kaum
China yang sekarang ini berada di Laos. Mereka membakar roket pada perayaan
Bang Fei dan kalium nitrat diperlukan untuk melancarkan roket ini. Kaum ini
mendapatkan sumber saltpeter daripada najis haiwan sama seperti yang dilakukan
oleh orang Minang untuk mendapatkan saltpeter peluru. Walau bagaimanapun, kita
tidak boleh menafikan sumbangan kerajaan Turki yang menghantar wakil atau
tukang membuat senjatanya. Mungkin orang Minang mengambil daripada kedua-duanya
dan mengubah senjata mereka mengikut citarasa tersendiri.
Teknologi Benteng
Semasa berperang dengan Belanda, orang Minang sangat
pakar dalam membina benteng. Kepakaran mereka dalam membina benteng membolehkan
mereka hanya menggunakan tentera yang sedikit untuk mengawal benteng pertahanan
mereka. Di samping itu, orang Minang lebih senang bertahan dalam benteng yang
dibina dengan kukuh dan memanfaatkan alam sekeliling sebagai pertahanan. Orang
Minang menggunakan ranjau daripada buluh yang sangat runcing untuk dipasang
pada laluan musuh. Sistem pertahanan yang terpenting bagi orang Minang adalah
pagar-pagar diperbuat daripada buluh berduri panjang. Buluh berduri panjang ini
ditanam rapat-rapat sehinggakan apabila sudah besar buluh ini, ia menjadi
kawasan buluh yang semak. Semak ini sukar dilalui oleh pasukan Belanda tetapi
menjadi kelebihan kepada pihak Minang kerana mereka dapat mengetahui segala
gerak geri tentera Belanda berdasarkan pergerakan rumpun buluh tersebut. Pokok
buluh ini apabila sudah mencapai umur empat tahun akan menjadi hutan berduri
panjang yang mustahil untuk ditembusi. Belanda menggelarkan hutan berduri
panjang yang sukar ditembusi ini sebagai bamboo aur.
Dalam
peperangan dengan penduduk Kampung Pauh, benteng yang diperbuat daripada tembok
batu mengelilingi kampung ini. Tembok batu setebal 5 meter dengan ketinggian 3
hingga 5 meter mengikut keadaan. Seorang ketua tentera Belanda bernama
Boelhower dalam bukunya, ‘Kenang-kenangan Sewaktu di Sumatera Barat Tahun
1831-1834’ yang diterbitkan di Belanda pada 1841 menceritakan mengenai
pertahanan Bonjol yang sukar ditembusi. Menurut beliau,
“Bonjol terletak di atas bukit berbentuk segi empat
panjang yang dipisahkan oleh sebuah sungai yang mempunyai aliran air yang
deras. Tiga sisi Bonjol dikelilingi oleh dinding pertahanan dua lapis setinggi
lebih kurang 3 meter. Tembok luar terdiri daripada batu-batu besar yang
merupakan tembok benteng yang kukuh dengan teknik pembinaannya hampir sama
dengan benteng-benteng di Eropah. Di antara lapisan benteng tersebut dibuat
parit yang dalam selebar 4 meter. Di atas tembok benteng tersebut ditanam
dengan buluh berduri yang sudah hampir menjadi hutan duri. Hutan duri ini sukar
ditembusi kerana duri dan juga kepadatannya. Orang-orang Minang menggunakan
hutan duri ini sebagai beneng dan tempat untuk memerhatikan pergerakan musuh.
Mereka menempatkan pengintai dan juga penembak tepat di sebalik hutan duri
tersebut. Selain dapat memantau pergerakan musuh, serangan mengejut dapat dilakukan
jika musuh mara kerana pergerakan agak terbatas di dalam kawasan hutan duri
itu.
Dapat dilihat pada beberapa tempat meriam kaliber 12 poin
dengan pedati beroda kayu tanpa jejari untuk mengangkut meriam tersebut.
Berhampiran meriam tersebut dapat dilihat batu-batu bulat yang digunakan untuk
menggantikan peluru. Sungguh menghairankan bagaimana orang Minang dapat membawa
meriam sebesar itu menaiki bukit sedangkan pihak kami (Belanda) hanya mampu
membawa meriam kaliber 3 poin, itupun hanya boleh diangkat dengan menggunakan
tali secara beramai-ramai. Diluar Bonjol, terdapat masjid berbentuk segi empat
yang dibina tanpa menggunakan paku dan besi. Atap masjid ini mempunyai 5
lapisan yang semakin kecil pada lapisan teratas. Keluasan masjid ini dapat
menampung 3000 orang pada satu-satu masa. Orang Minang ini jika mereka mahu,
boleh mencapai tahap kemajuan yang sama dengan Eropah.”
Kubu-kubu pertahanan tentera
Minang begitu kuat dan memiliki beberapa tempat masuk yang sempit sehinggakan
sangat susah untuk ditembusi oleh tentera Belanda. Ini merupakan suatu
teknologi pembinaan kubu oleh pihak Minang yang dikuasai oleh mereka hanya
dengan menggunakan alam sekitar sebagai pertahanan. Kehebatan orang Minang
membina pertahanan membolehkan mereka hanya memerlukan sedikit tentera sahaja
untuk menjaga dan berkawal di setiap pintu masuk kubu kerana pintu masuk yang
sukar ditembusi hanya membenarkan sedikit sahaja tentera Belanda untuk merempuh
pintu kubu tersebut. Di kawasan Lintau pula, dataran Lintau dikelilingi oleh barisan
bukit dan lembah yang dalam. Terdapat empat pintu masuk ke dataran tersebut
yang amat mudah untuk dipertahankan oleh tentera Minang iaitu di Marapalam,
Bukit Pauh, Atar dan Padangsibusuk.
Strategi Peperangan
Bagaimana
pencapaian tentera Minang dalam medan tempur? Hampir semua penulis Belanda
mengakui bahawa dalam peperangan, orang Minang adalah musuh yang paling sukar
untuk dikalahkan. Oleh kerana itulah selepas 15 tahun berperang barulah Bonjol
dapat dikuasai oleh Belanda. Sehinggakan terdapat tulisan daripada orang
Belanda sendiri yang mengakui Minangkabau merupakan penduduk paling kuat
melawan dan paling sukar untuk ditangani oleh penjajah Belanda.
Kapten
Hendrix, kapten tentera Belanda ada menulis catatan mengenai peperangan di
Sumatera Barat, pengalamannya dan petunjuk bagaimana berperang dengan lebih
jitu berdasarkan pengalamannya semasa beliau menjadi kapten di Sumatera Barat.
Catatannya dikumpulkan dan dibukukan selepas beliau meninggal dunia. Buku
catatan tersebut diberi judul “Berperang Di Sumatera” diterbitkan pada 1881.
Hendrix menasihatkan dalam catatannya agar musuh daripada Sumatera itu jangan diambil
ringan dan mengambil mudah dengan mereka. Ini kerana, menurut Hendrix dalam
keadaan yang paling sukar sekalipun, orang Minang masih boleh menunjukkan
keberanian mereka yang luar biasa. Contoh terbaik adalah semasa menyerang
Lintau, orang Minang sewaktu itu bertahan sehingga manusia yang terakhir
walaupun mereka mempunyai waktu untuk mengundur diri melalui sebuah lubang di
bahagian belakang kubu pertahanan. Pejuang-pejuang ini sudah biasa dan di ajar
agar bertempur sehingga titisan darah terakhir dalam benteng yang telah dibina.
Para pejuang
Minang tidak akan menyerang dilapangan terbuka kecuali jika mereka melihat kita
sedang berbaris, kata Hendrix. Dalam hal yang demikian, orang Minang pintar
sekali mengambil posisi untuk menyerang setiap sudut. Hal ini pernah dialami
oleh Vermeulen Krieger sewaktu berundur dari Pisang setelah pemberontakan yang
hebat di Bonjol pada 11 Januari 1833. Selain daripada itu, tentera Minang
dengan bijak sekali mempergunakan kekacauan dalam barisan pihak Belanda.
Beberapa orang pejuang Minang sahaja sudah cukup untuk mengamuk dengan
menggunakan kelewang yang dihayun kiri dan kanan untuk mengucar kacirkan
tentera bantuan Belanda yang terdiri daripada orang Melayu. Amukan ini
membuatkan orang Melayu tersebut melarikan diri meninggalkan barisan serta
meninggalkan barangan yang mereka bawa. Hendrix menambah jika pasukannya
memasuki benteng musuh maka tentera Melayu biasanya menunggu perkembangan
pertempuran. Apabila musuh mulai berhasil diusir daripada bentengnya, mereka
menjadi pasukan yang terbaik untuk memusnahkan dan mengejar tentera Minang.
Sebahagian tentera Belanda turut berminat untuk mengejar pejuang Minang kerana tertarik
dengan hasil barangan yang akan diperolehi. Kebiasaannya apabila orang Minang
melarikan diri, mereka akan menyerang semula semasa tentera Belanda memasuki
benteng mereka yang tertutup. Tentera Belanda yang terkepung dalam benteng akan
huru-hara ingin keluar dari benteng sehinggakan berpusu-pusu dan ada yang
terpijak rakan sendiri.
Perang orang
Minang dengan Belanda banyak memberi contoh bahawa pejuang Minang berkumpul di
belakang bukit, dalam jurang dan juga semak belukar. Dalam keadaan yang tidak
dijangka ini, mereka menunggu saat terbaik untuk mengadakan serangan dengan
hebatnya. Hendrix menyatakan biarlah tentera Melayu sahaja yang mengejar
pejuang Minang. Hendrix menyatakan antara kesalahan tentera Belanda adalah
mereka membakar dan merompak barangan orang Minang sedangkan orang Minang hanya
bertahan di gua-gua batu, hutan dan puncak bukit menyusun strategi serangan.
Semasa tentera Belanda sedang seronok
berhibur kerana dapat merampas sebuah kubu orang Minang, pejuang Minang akan
menyerang kembali secara serang hendap. Jika terdapat bantuan lain daripada
luar, pejuang Minang akan memutuskan jalan perhubungan antara pos kawalan
Belanda. Pejuang Minang mampu bertahan dengan keadaan sebegini berbulan-bulan
lamanya kerana semangat yang ada pada mereka. Jika mereka berjumpa dengan musuh
di tengah-tengah jalan sekalipun mereka akan cuba menyerang. Inilah semangat
yang ditanamkan dalam setiap pejuang Minang. Selalu juga berlaku apabila
pejuang Minang mengundurkan diri dengan sengaja dan meninggalkan beberapa orang
mereka di bentenh untuk mengumpan bahawa mereka ingin bertahan. Jika Belanda
menyerang secara besar-besaran, mereka yang tinggal tadi akan segera melarikan
diri. Maka biasanya Belanda terpedaya dan mengejar untuk menyerang pejuang
Minang. Pejuang Minang yang telah berundur awal telah bersedia di balik bukit,
batu besar, hutan kecil atau lembah yang kemudiannya menyerang secara mengejut
tentera Belanda yang cuba mengejar saki baki pejuang Minang. Kekacauan berlaku
dalam kumpulan Belanda kerana serangan mengejut serta datang dari pelbagai arah
yang mereka tidak dapat menangkisnya. Inilah sebab utama mengapakah banyak kali
pihak Belanda tewas dalam tangan pejuang Minang.
Orang Melayu
yang menjadi tentera Belanda selalu berasa gerun dengan keberanian pejuang
Minang. Jika tentera Melayu ini terserempak dengan pejuang Minang, mereka akan
melarikan diri apabila terdapat peluang. Menurut catatan Hendrix juga, jika
serangan yang dimulakan oleh pejuang Minang, akan dapat didengar teriakan,
pekikan dan jeritan yang menakutkan, keras serta kuat. Suara-suara ini sahaja
dapat mengkucar-kacirkan keadaan Belanda disamping dapat meningkatkan semangat
pejuang Minang. Pernah terjadi satu peristiwa 30 orang pejuang Minang
menakutkan 2000 orang tentera Belanda yang diwakili oleh orang Melayu. Menurut
Hendrix, untuk mengalahkan pejuang Minang yang penting jangan takut atau cemas.
Pernah 60 pejuang Minang menakutkan dan mengacau bilaukan ribuan tentera
Belanda yang diwakili oleh 50 orang Bugis. Namun, 50 orang Bugis ini tetap
tenang dengan membuat formasi peperangan mereka iaitu separuh lingkaran. Begitu
nekadnya pejuang Minang menyerang tentera Bugis yang tidak lari dengan sebelah
tangan menetak musuh manakala sebalah tangan lagi akan cuba merampas senjata
musuh. Hasil daripada ketenangan orang Bugis tersebut menyebabkan hanya 10
orang sahaja tentera Belanda yang terkorban.
Salah satu
muslihat pejuang Minang juga adalah pandainya mereka berpura-pura seakan-akan
tiada niat untuk menyerang Belanda. Ini
dialami oleh Van Bervevoorde sewaktu dalam perjalanan dari Rao ke Bonjol.
Beliau berangkat membawa pasukan sebesar 70 orang dan kebanyakannya orang
Madura yang berpengalaman dalam berperang. Selama dalam perjalanan, tiada
serangan yang dilakukan oleh orang tempatan malah mereka melihat ramai rakyat
tempatan sedang mengerjakan kerja masing-masing seperti membuat jalan, membina
rumah serta bertani. Rakyat tempatan yang sedang melakukan kerja masing-masing
menegur para tentera dengan ramah dan hormat. Tentera Van Bervevoorde berhenti
rehat di satu kawasan lapang berdekatan dengan Bonjol. Sedang semua tentera
berehat di bawah pohon, senapang di susun di satu bahagian dengan keadaan
berjauhan dengan tempat mereka berehat. Pejuang Minang sedang melihat mereka
berehat begitu mulailah menyerang pasukan tentera Belanda yang sedang berehat
itu. Oleh kerana mereka jauh daripada senjata mereka, tentera Belanda tidak
dapat bertahan dengan upaya mereka. Seluruh pasukan tersebut dapat ditumpaskan
oleh pejuang Minang dan hanya dua orang sahaja dapat menyelamatkan diri dengan
berenang menyeberangi Sungai Masang.
Bagi orang
Minang, jika tenteranya mundur bererti satu kekalahan. Oleh sebab itulah para
pejuang Minang akan menyerang walaupun tinggal seorang. Semakin ramai
rakan-rakan mereka terkorban, semakin bersemangat mereka melancarkan serangan.
Oleh kerana itulah, orang Minang sebelum menyerang akan melakukan perisikan
yang akan menentukan sama ada keadaan pertahanan musuh boleh ditembusi.
Serangan secara mengejut pejuang Minang ke atas tentera Melayu Belanda menyebabkan orang Melayu itu segera melarikan
diri, bingung dan kacau bilaukan barisan Belanda. Seperti kekalahan Belanda ke
atas pejuang Minang di Marapalam pada 1824. Menurut Hendrix, kekalahan ini
disebabkan oleh serangan pejuang Minang kepada Belanda sehinggakan
meriam-meriam berat Belanda berjaya dirampas oleh pejuang Minang.
Pada tahun
1822 di Kapau, Leftenen Kolonel Raaf bersama anak buahnya menghadapi tentangan
yang hebat daripada pejuang Minang. Beliau kehilangan ramai tenteranya serta kehilangan
beberapa buah meriamnya yang agak berat. Kapau secara semula jadinya sudah
menjadi benteng yang kukuh dengan parit serta bukit sekelilingnya. Raaf hampir
ditangkap oleh pejuang Minang oleh kerana tenteranya ramai yang terbunuh dan
melarikan diri. Selepas dapat memperkuatkan kembali tenteranya, raaf cuba
menyusun ketenteraannya untuk menyerang Lintau kerana bagi Raaf, kejatuhan
Lintau akan menyebabkan kekuatan pejuang Minang dapat dipatahkan.
13 April
1823, Belanda mulai bergerak ke Marapalam untuk menyerang Lintau. Meriam
disusun bagi menyerang secara serentak tetapi dengan serangan meriam sekalipun
masih tidak dapat mengalahkan pejuang Minang. Malah, pejuang Minang dengan
berani menyerang semula Belanda. Serangan daripada pejuang Minang juga menyebabkan
Belanda terpaksa mengundurkan diri. Menurut Raaf, yang menyukarkan mereka untuk
menyerang adalah keadaan lapangan peperangan yang sukar, bukit bukau yang curam
untuk didaki, parit yang mempunyai ranjau-ranjau tajam, dan pertahanan musuh
yang berlapis-lapis. Lapisan pertahanan ini terlalu merbahaya untuk diserang
secara hadapan kerana Belanda tidak dapat melihat apa yang ada dalam lapisan
pertahanan tersebut tetapi pejuang Minang dengan jelasnya dapat melihat
pergerakan Belanda. Menurut Raaf juga, setiap rintangan yang dihadapi masih ada
lagi yang perlu diharungi dan pertahanan yang seterusnya itu lebih kukuh dan
lebih merbahaya. Semakin dekat Belanda dengan pertahanan pejuang Minang,
semakin ramai tentera Belanda yang terkorban. Selain itu, pejuang Minang juga
mengatur sistem pengairan dilereng-lereng bukit yang curam menyebabkan
lereng-lereng itu terlalu licin dan sukar untuk dipanjat. Satu-satunya jalan
yang boleh digunakan untuk mengahncurkan pertahanan pejuang Minang adalah
dengan menggunakan meriam-meriam berkaliber besar. Tetapi, meriam-meriam ini
amat sukar dibawa mendaki bukit-bukit yang curam kerana amat berat malah dengan
keadaan curam yang licin.
Semasa
Belanda cuba mendapatkan kembali meriam-meriamnya yang telah dirampas oleh
pejuang Minang, ia diketahui oleh pejuang Minang dan mereka menyerang dengan
dahsyat. Pertempuran secara jarak dekat terjadi dengan menggunakan senapang
sebagai alat penukul atau penusuk yang dilakukan oleh tentera Belanda. Manakala
pejuang Minang hanya menggunakan klewang panjang. Pada mulanya pertempuran
terjadi dengan seimbang tetapi oleh sebab diasak dengan kuat ole pejuang Minang
menyebabkan Belanda terpaksa berundur. Menurut catatan Belanda lagi, klewang
yang digunakan oleh pejuang Minang lebih panjang dan lebih mudah untuk
menyerang. Ini memberi kelebihan kepada pejuang Minang dalam menguasai lapangan
peperangan. Dalam masa pertempuran itu berlaku, pejuang Minang akan
mempertahankan diri serta rakan-rakan mereka yang lain. Ini membuatkan tentera
Belanda leka dengan serangan tersebut sehinggakan ada satu kumpulan daripada
pejuang Minang yang cuba merampas empat lagi meriam yang masih terdapat pada
Belanda.
Walaupun
kelebihan kepada pejuang Minang, bantuan daripada tentera Belanda yang lain
membolehkan pejuang Minang diasak sehinggakan mereka juga turut berundur.
Tentera Belanda yang telah kehilangan banyak senjata dan kehabisan peluru
menggunakan bayonet sahaja untuk menyerang kembali pejuang Minang. Satu
kebaikan daripada pejuang Minang ini adalah mereka tidak menyerang semasa
mereka mengetahui musuh berada dalam keadaan sangat lemah. Etika peperangan
inilah yang patut dicontohi. Ini dapat dilihat dalam catatan Janeral Van Geen
dalam buku hariannya
“Untunglah musuh tidak mempergunakan kemenangan itu
sebaik-baiknya, walaupun kami telah kehilangan semangat kerana kalah, kami
tidak dikejar oleh mereka. Pada pertarungan itu, 3 wira meninggal dan 45
serdadu, 9 perwira dan 178 tentera bawahan luka berat”
Janeral Van Geen juga ada
menyatakan dan mengakui kemenangan lebih besar boleh dicapai oleh pejuang
Minang jika mereka betul-betul mengejar pasukan Belanda sewaktu sedang
mengundurkan diri. Dapat dilihat etika peperangan yang bukan berlandaskan
kemenangan semata-mata.
Walaubagaimanapun, tempat pertama yang dapat ditembusi oleh
Belanda adalah Marapalam. Di Marapalam tentera Belanda menyusun strategi untuk
menumpaskan pejuang Minang dan mula menyerang Padangsibusuk. Namun, sekali lagi
alam sekitar menjadi halangan. Air sungai yang dalam dan berkelok-kelok serta
deras menyebabkan serangan yang dilakukan terhadap kawasan pejuang Minang
menjadi sukar dan mengorbankan ramai tentera Melayu Belanda.
Menurut Hendrix lagi, ada satu perbezaan yang boleh
dilihat antara perang melawan pejuang Minang di Sumatera dengan peperangan
melawan Diponegoro di Jawa. Di Jawa, Belanda harus mengirim pasukan tentera ke
sana sini untuk menggempur pasukan musuh sedangkan di Sumatera, musuh selalu
bertahan di belakang benteng pertahanan. Serangan yang dilakukan oleh pejuang
Minang hanya dilakukan sekali sekala, itupun serangan dilakukan oleh pejuang
yang tidak sabar, bukan atas serangan ketua mereka. Serangan-serangan kecil ini
tidak mendatangkan sebarang kesan kepada pihak Belanda. Daripada pengalaman
Hendrix yang dicatatkan dalam catatan beliau, ketika di Bonjol 1834, jika
tentera Belanda hanya menanti serangan kemudian bertahan dengan waktu yang
lama, pejuang Minang lama kelamaan akan menurun motivasi mereka. Ini disebabkan
oleh kekurangan makanan dan juga perasaan rindu kepada keluarga yang sudah lama
ditinggalkan. Semakin lama Belanda bertahan, semakin mudah untuk pejuang Minang
dikalahkan.
Selain
daripada bertahan daripada serangan, Belanda juga menjadikan rakyat di
Padangsibusuk dan Silungkang rakan serta teman rapat agar boleh membantu
menunjukkan jalan serta kawasan-kawasan untuk menyerang pejuang Minang. Belanda
dapat menyerang Koto Tujuh, Lintau dan Marapalam dan dengan taktik berkawan
dengan rakyat tempatan membolehkan Belanda menguasai 3 kawasan ini dengan hanya
3 hari sahaja. Khabaran ini amat disenangi oleh pemerintah Belanda ketika itu
kerana beliau dapat menguasai daerah yang sukar untuk ditawan oleh pemerintah
sebelum ini dengan hanya 3 hari sahaja. Daerah ini bukan sahaja mempunyai
pertahanan pejuang Minang yang kukuh, malah bentuk muka buminya yang sukar
untuk melakukan sesuatu pergerakan yang besar. Kemenangan ini menurut Hendrix
adalah daripada perencanaan yang matang setelah beberapa lama berperang dengan
pejuang Minang serta penyelidikan mengenai medan peperangan yang sangat
dikuasai oleh pejuang Minang. Dalam keadaan seperti di Sumatera, Belanda
menyimpulkan tidak boleh digunakan taktik pengepungan tetapi menggunakan kaedah
pemusatan segala kekuatan pada tempat masuk pertahanan.
Kesimpulan
Dapat disimpulkan bahawa orang
Minang mempunyai kaedah dan tatacara peperangan yang tersendiri. Walaupun
mendapat teknologi pembuatan senapang daripada luar, tetapi masih lagi boleh
merekabentuk senjata mengikut acuan dan keperluan tersendiri. Kaedah pembinaan
kubu pertahanan yang bijak menggunakan alam dan berlainan dengan kaedah
peperangan daripada bangsa lain terutamanya apabila dibandingkan dengan kaedah
peperangan di Jawa. Ini semua menunjukkan bahawa orang Minang mempunyai kaedah
peperangan ataupun bolehlah dikatakan mempunyai kaedah pengurusan kehidupannya
tersendiri walaupun mengambil contoh daripada luar tetapi nilai tersendiri itu
dikekalkan.
Rujukan
Anthony Reid. 2004. An Indonesian
Frontier: Acehness and other Histories of Sumatra. Singapore: University of
Singapore Press.
Hendriks. 1881. Oorlogvoeren op
Sumatera, Indische Militair Tijdschrift. Terjemahan Internet ( 15 Okt 2012)
Marsden William. 1783. History of
Sumatera, London
Navis. A. A. 1994. Cerita Rakyat dari
Sumatera Barat. Jakarta: Grasindo
Rusli Amrin. 1981. Sumatera Barat hingga
Plakat Panjang, Perang Saudara yang ditunggangi Belanda, Orang Padri Sebagai
Pejuang. Jakarta: Penerbit Sinar Harapan
Sun Laicen, 2003, Military Technology Transfers from Ming China and the
Emergence of Northen Mainland Southeast Asia (1390-1527), Journal of Southeast Asian Studies 34(3): 495-517
Internet :
http://dedymahe.wordpress.com/2012/06/29/178/
http://id.wikipedia.org/wiki/Perang_Padri
http://lokalgenius.blogspot.com/2011/06/ilmu-perang-melayu-taktik-dan-strategi.html
http://mozaikminang.wordpress.com/2009/10/18/seni-perang-minangkabau/
http://saifulhaj.multiply.com/journal/item/40/ILMU-PERANG-DALAM-MASYARAKAT-MELAYU
http://www.pelaminanminang.com/fakta-menarik/minangkabau-eksportir-senapan-abad-18.html
Tulisan ini adalah untuk Seminar Minang Diaspora (26-27 April 2014)
ade kesalahan ejaan, kene double checking lagi nie heheee.. btw, a good job, interesting , heeee orang Minang punya semangat waja, bijak, kretif dan bersikap inovasi dalam peperangan.. :) orang yang menulis nie ade keturunan minang jugak ka heee ^__^
ReplyDelete