Sunday, March 16, 2014

TEKNOLOGI PEPERANGAN ORANG MINANG




MUHAMAD SHAFIQ BIN MOHD ALI & ZULISKANDAR RAMLI
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak
Orang Minangkabau di Sumatera Barat sangat terkenal dengan budaya adat perpatih, dan juga rumah gadangnya. Namun fakta bagaimana kaum ini berperang dengan Belanda jarang dibincangkan. Mengenai teknologi pembuatan senapangnya yang tersendiri walaupun dipelajari daripada luar iaitu daripada Turki dan juga China. Senapang dan juga peluru juga mereka arif membuatnya tanpa bergantung kepada pembekal dari luar. Teknologi senapang mereka hanya ketinggalan beberapa tahun sahaja berbanding senapang daripada Eropah. Selain itu orang Minang begitu bijak untuk menggunakan kelebihan alam semula jadi sebagai benteng pertahanan mereka melawan musuh. Alam sekitarnya yang berbukit, lembah dan kawasan berbatu membolehkan mereka menyusun strategi peperangan yang tidak dapat dibayangkan oleh pihak Belanda. Persiapan mereka membina benteng selama beberapa tahun menjadikan benteng mereka sukar untuk ditembusi. Teknik dan taktik peperangan yang berbeza dengan kaum lain turut diketengahkan. Mereka tidak menyerang musuh secara melulu tetapi hanya menunggu di belakang benteng dan menyerang secara mengejut. Hanya sesekali sahaja mereka akan menyerang dahulu itupun jika mereka yakin bahawa serangan itu akan membuahkan hasil yang baik. Perbandingan yang dibuat daripada taktik peperangan di Jawa membuktikan orang Minang mempunyai taktik peperangannya yang tersendiri. Pihak Belanda terpaksa melakukan penyelidikan, pemerhatian dan beberapa percubaan untuk berjaya menawan kawasan atau daerah yang telah dikuasai oleh pejuang Minang. Kertas ini tidaklah memberi suatu fakta terbaru, hanya mengumpul tulisan dan catatan daripada pihak Belanda bagaimana mereka bertempur, berperang dan bertahan daripada serangan pejuang Minang.

Pembuatan Senapang
            Orang minang sudah pandai membuta senapang dan juga mengeksport hasil senapang mereka pada abad ke-18 beserta pelurunya. Antara kerajaan yang membeli senapang hasil tangan orang minang ini adalah Acheh dan juga Portugis. Orang minang ini juga selain pandai membuat senapang, mereka juga golongan yang pandai menggunakan senapang dengan sebaiknya. Seorang Belanda yang pernah berkunjung ke Sumatera Barat sewaktu Perang Padri sedang berlangsung ada menulis mengenai kehebatan orang minang dengan menyatakan keberanian, terlatihnya tentera mereka dalam peperangan, penembak yang jitu dan juga bangsa yang pandai menggunakan alam semula jadi sebagai benteng pertahanan yang kukuh serta sukar ditembusi. Kepandaian menggunakan senapang, ditambah pula dengan boleh membuat senapang sendiri, menjadikan orang minang boleh menginovasi senapang yang dibawa daripada China dan Turki. Perbezaan senapang yang diimport daripada luar dengan senapang yang diperbuat sendiri oleh orang minang adalah adanya sumbu khas. Fungsi sumbu ini hanya diketahui oleh orang minang sahaja kerana senapang jenis ini tidak pernah dilihat dari mana-mana bahagian pembuatan termasuklah kerajaan Islam Uthmaniyyah yang mengajar orang minang membuat senapang melalui wakil daripada kerajaan Turki. Rusli Amrin (1981) ada menyatakan senapang yang dibuat oleh orang minangkabau ini serupa dengan senapang yang dibawa oleh Belanda, cumanya senapang ciptaan orang minang hanya ketinggalan setahun dua sahaja.
            Daerah yang terkenal dengan industri pembuatan senapang adalah di Sg. Yani dan juga Sg. Puar. Teknologi pembuatan peluru senapang adalah sangat unik bagi orang minang kerana pembuatan peluru biasanya dilakukan oleh orang-orang perempuan yang tidak pergi berperang. Ini memberi sumbangan besar dalam membantu lelaki yang sibuk berperang manakala perempuannya menghasilkan peluru di rumah semasa ketiadaan lelaki. Kebiasaannya, peluru yang digunakan adalah peluru timah yang dicampur dengan pecahan porselin, besi dan beras. Bahan pecahan ini dimasukkan ke dalam peluru adalah untuk menyebarkan bahagian-bahagian kecil itu ke dalam tubuh musuh. Peluru senapang ini dibuat dengan mencampur saltpeter (kalium nitrat) yang diambil daripada najis haiwan dengan belerang yang diperolehi daripada gunung berapi mahupun sumber air panas dan arang. Saltpeter dan belerang akan dimasak di atas wajan besi pada suhu yang amat tinggi. Menurut Anthony Reid (2004), kaedah yang digunakan oleh orang Minang merupakan kaedah yang sederhana tetapi sangat merbahaya. Anthony juga merasa hairan kerana kemalangan yang berlaku semasa proses pembuatan ini amatlah kecil kerana mereka bukanlah melakukan proses tersebut dalam kilang khas yang mempunyai sistem keselamatan yang tinggi. Mereka hanya membuat peluru ini di rumah-rumah sendiri. Ini menunjukkan bahawa tahap ketelitian mereka semasa melakukan proses pembuatan peluru tersebut dengan keadaan berjaga-jaga supaya tiada kecelakaan berlaku.
            Kebanyakan sejarawan tidak dapat mengenal pasti bilakah kali pertama orang Minang mengenal dan pandai membuat senapang ini. terdapat dua kemungkinan bagaimana orang Minang boleh mengenal dan membuat senapang sendiri serta menguasai kemahiran serta teknologi pembuatan senapang. Pertamanya adalah daripada kerajaan China dalam era Maharaja Ming iaitu antara 1390-1527 kerana pada akhir abad ke 14 dan awal abad ke 15, teknologi pembuatan senapang dan peluru daripada China telah tersebar di seluruh Semenanjung Melaka dan Sumatera yang menyebabkan penyebaran besar-besaran teknologi pembuatan senjata ke atas kerajaan-kerajaan daerah di Melaka dan Sumatera sebelum orang Eropah datang memperkenalkan senapang dan senjata-senjata mereka (Sun Laicen, 2003).
Kemungkinan kedua adalah daripada kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pencerobohan tentera Portugis ke Lautan Hindi untuk menguasai jalur perdagangan lada pada 1489 memaksa kerajaan Acheh meminta perlindungan serta bantuan ketenteraan daripada Kerajaan Turki dengan membawa ufti dan surat pengakuan Kerajaan Acheh tunduk pada Kerajaan Turki. Sebagai balasan, pada 1520, Vezir Sinan Pasha mengirimkan pedang dan juga meriam Turki sebagai bantuan awal kepada Acheh. Selepas itu, pada 1537, Sultan Suleiman mengirim armada lautnya ke Gujerat untuk menghancurkan angkatan laut Portugis dan pasukan ini tiba di Acheh bagi membantu Acheh berperang melawan Batak serta saki baki tentera Portugis. Sepucuk surat daripada Sultan Awaluddin pada 1567 meminta bantuan ketenteraan daripada pihak Turki dan Sultan Selim II menghantar bantuan ketenteraan bagi membantu Acheh berperang dengan Portugis. Selain menghantar tentera, baginda Sultan Selim II turut mengirim bersama tukang-tukang yang berpengalaman untuk membina senjata antaranya ahli dalam pembuatan senapang dan meriam untuk kegunaan Acheh (Marsden, 1783). Kehadiran tukang yang mahir itu membolehkan penduduk tempatan mempelajari dan pandai membuat sendiri sehinggakan meriam dan senapang yang diperbuat oleh penduduk tempatan digunakan dengan meluasnya apabila peperangan yang berlaku antara orang Minang dan juga Belanda dalam perang Padri.
Namun, kemungkinan yang lebih dipercayai adalah daripada China dengan pembuktian peluru senapang dan meriam tersebut. Peluru tersebut diperbuat daripada saltpeter  (kalium nitrat). Terdapat dalam catatan arab dan parsi yang menyatakan saltpeter tersebut dengan gelaran ‘salji China’ (arab) dan ‘garam China’ (Parsi). Sumber kalium nitrat yang diperolehi juga merupakan antara teknologi China mendapatkan garam tersebut iaitu daripada najis haiwan. Mengikut sejarahnya, sumber garam ini didapati daripada suku kaum China yang sekarang ini berada di Laos. Mereka membakar roket pada perayaan Bang Fei dan kalium nitrat diperlukan untuk melancarkan roket ini. Kaum ini mendapatkan sumber saltpeter daripada najis haiwan sama seperti yang dilakukan oleh orang Minang untuk mendapatkan saltpeter peluru. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan sumbangan kerajaan Turki yang menghantar wakil atau tukang membuat senjatanya. Mungkin orang Minang mengambil daripada kedua-duanya dan mengubah senjata mereka mengikut citarasa tersendiri.
Teknologi Benteng
            Semasa berperang dengan Belanda, orang Minang sangat pakar dalam membina benteng. Kepakaran mereka dalam membina benteng membolehkan mereka hanya menggunakan tentera yang sedikit untuk mengawal benteng pertahanan mereka. Di samping itu, orang Minang lebih senang bertahan dalam benteng yang dibina dengan kukuh dan memanfaatkan alam sekeliling sebagai pertahanan. Orang Minang menggunakan ranjau daripada buluh yang sangat runcing untuk dipasang pada laluan musuh. Sistem pertahanan yang terpenting bagi orang Minang adalah pagar-pagar diperbuat daripada buluh berduri panjang. Buluh berduri panjang ini ditanam rapat-rapat sehinggakan apabila sudah besar buluh ini, ia menjadi kawasan buluh yang semak. Semak ini sukar dilalui oleh pasukan Belanda tetapi menjadi kelebihan kepada pihak Minang kerana mereka dapat mengetahui segala gerak geri tentera Belanda berdasarkan pergerakan rumpun buluh tersebut. Pokok buluh ini apabila sudah mencapai umur empat tahun akan menjadi hutan berduri panjang yang mustahil untuk ditembusi. Belanda menggelarkan hutan berduri panjang yang sukar ditembusi ini sebagai bamboo aur.
Dalam peperangan dengan penduduk Kampung Pauh, benteng yang diperbuat daripada tembok batu mengelilingi kampung ini. Tembok batu setebal 5 meter dengan ketinggian 3 hingga 5 meter mengikut keadaan. Seorang ketua tentera Belanda bernama Boelhower dalam bukunya, ‘Kenang-kenangan Sewaktu di Sumatera Barat Tahun 1831-1834’ yang diterbitkan di Belanda pada 1841 menceritakan mengenai pertahanan Bonjol yang sukar ditembusi. Menurut beliau,
“Bonjol terletak di atas bukit berbentuk segi empat panjang yang dipisahkan oleh sebuah sungai yang mempunyai aliran air yang deras. Tiga sisi Bonjol dikelilingi oleh dinding pertahanan dua lapis setinggi lebih kurang 3 meter. Tembok luar terdiri daripada batu-batu besar yang merupakan tembok benteng yang kukuh dengan teknik pembinaannya hampir sama dengan benteng-benteng di Eropah. Di antara lapisan benteng tersebut dibuat parit yang dalam selebar 4 meter. Di atas tembok benteng tersebut ditanam dengan buluh berduri yang sudah hampir menjadi hutan duri. Hutan duri ini sukar ditembusi kerana duri dan juga kepadatannya. Orang-orang Minang menggunakan hutan duri ini sebagai beneng dan tempat untuk memerhatikan pergerakan musuh. Mereka menempatkan pengintai dan juga penembak tepat di sebalik hutan duri tersebut. Selain dapat memantau pergerakan musuh, serangan mengejut dapat dilakukan jika musuh mara kerana pergerakan agak terbatas di dalam kawasan hutan duri itu.
Dapat dilihat pada beberapa tempat meriam kaliber 12 poin dengan pedati beroda kayu tanpa jejari untuk mengangkut meriam tersebut. Berhampiran meriam tersebut dapat dilihat batu-batu bulat yang digunakan untuk menggantikan peluru. Sungguh menghairankan bagaimana orang Minang dapat membawa meriam sebesar itu menaiki bukit sedangkan pihak kami (Belanda) hanya mampu membawa meriam kaliber 3 poin, itupun hanya boleh diangkat dengan menggunakan tali secara beramai-ramai. Diluar Bonjol, terdapat masjid berbentuk segi empat yang dibina tanpa menggunakan paku dan besi. Atap masjid ini mempunyai 5 lapisan yang semakin kecil pada lapisan teratas. Keluasan masjid ini dapat menampung 3000 orang pada satu-satu masa. Orang Minang ini jika mereka mahu, boleh mencapai tahap kemajuan yang sama dengan Eropah.”
Kubu-kubu pertahanan tentera Minang begitu kuat dan memiliki beberapa tempat masuk yang sempit sehinggakan sangat susah untuk ditembusi oleh tentera Belanda. Ini merupakan suatu teknologi pembinaan kubu oleh pihak Minang yang dikuasai oleh mereka hanya dengan menggunakan alam sekitar sebagai pertahanan. Kehebatan orang Minang membina pertahanan membolehkan mereka hanya memerlukan sedikit tentera sahaja untuk menjaga dan berkawal di setiap pintu masuk kubu kerana pintu masuk yang sukar ditembusi hanya membenarkan sedikit sahaja tentera Belanda untuk merempuh pintu kubu tersebut. Di kawasan Lintau pula, dataran Lintau dikelilingi oleh barisan bukit dan lembah yang dalam. Terdapat empat pintu masuk ke dataran tersebut yang amat mudah untuk dipertahankan oleh tentera Minang iaitu di Marapalam, Bukit Pauh, Atar dan Padangsibusuk.
Strategi Peperangan
Bagaimana pencapaian tentera Minang dalam medan tempur? Hampir semua penulis Belanda mengakui bahawa dalam peperangan, orang Minang adalah musuh yang paling sukar untuk dikalahkan. Oleh kerana itulah selepas 15 tahun berperang barulah Bonjol dapat dikuasai oleh Belanda. Sehinggakan terdapat tulisan daripada orang Belanda sendiri yang mengakui Minangkabau merupakan penduduk paling kuat melawan dan paling sukar untuk ditangani oleh penjajah Belanda.
Kapten Hendrix, kapten tentera Belanda ada menulis catatan mengenai peperangan di Sumatera Barat, pengalamannya dan petunjuk bagaimana berperang dengan lebih jitu berdasarkan pengalamannya semasa beliau menjadi kapten di Sumatera Barat. Catatannya dikumpulkan dan dibukukan selepas beliau meninggal dunia. Buku catatan tersebut diberi judul “Berperang Di Sumatera” diterbitkan pada 1881. Hendrix menasihatkan dalam catatannya agar musuh daripada Sumatera itu jangan diambil ringan dan mengambil mudah dengan mereka. Ini kerana, menurut Hendrix dalam keadaan yang paling sukar sekalipun, orang Minang masih boleh menunjukkan keberanian mereka yang luar biasa. Contoh terbaik adalah semasa menyerang Lintau, orang Minang sewaktu itu bertahan sehingga manusia yang terakhir walaupun mereka mempunyai waktu untuk mengundur diri melalui sebuah lubang di bahagian belakang kubu pertahanan. Pejuang-pejuang ini sudah biasa dan di ajar agar bertempur sehingga titisan darah terakhir dalam benteng yang telah dibina.
Para pejuang Minang tidak akan menyerang dilapangan terbuka kecuali jika mereka melihat kita sedang berbaris, kata Hendrix. Dalam hal yang demikian, orang Minang pintar sekali mengambil posisi untuk menyerang setiap sudut. Hal ini pernah dialami oleh Vermeulen Krieger sewaktu berundur dari Pisang setelah pemberontakan yang hebat di Bonjol pada 11 Januari 1833. Selain daripada itu, tentera Minang dengan bijak sekali mempergunakan kekacauan dalam barisan pihak Belanda. Beberapa orang pejuang Minang sahaja sudah cukup untuk mengamuk dengan menggunakan kelewang yang dihayun kiri dan kanan untuk mengucar kacirkan tentera bantuan Belanda yang terdiri daripada orang Melayu. Amukan ini membuatkan orang Melayu tersebut melarikan diri meninggalkan barisan serta meninggalkan barangan yang mereka bawa. Hendrix menambah jika pasukannya memasuki benteng musuh maka tentera Melayu biasanya menunggu perkembangan pertempuran. Apabila musuh mulai berhasil diusir daripada bentengnya, mereka menjadi pasukan yang terbaik untuk memusnahkan dan mengejar tentera Minang. Sebahagian tentera Belanda turut berminat untuk mengejar pejuang Minang kerana tertarik dengan hasil barangan yang akan diperolehi. Kebiasaannya apabila orang Minang melarikan diri, mereka akan menyerang semula semasa tentera Belanda memasuki benteng mereka yang tertutup. Tentera Belanda yang terkepung dalam benteng akan huru-hara ingin keluar dari benteng sehinggakan berpusu-pusu dan ada yang terpijak rakan sendiri.
Perang orang Minang dengan Belanda banyak memberi contoh bahawa pejuang Minang berkumpul di belakang bukit, dalam jurang dan juga semak belukar. Dalam keadaan yang tidak dijangka ini, mereka menunggu saat terbaik untuk mengadakan serangan dengan hebatnya. Hendrix menyatakan biarlah tentera Melayu sahaja yang mengejar pejuang Minang. Hendrix menyatakan antara kesalahan tentera Belanda adalah mereka membakar dan merompak barangan orang Minang sedangkan orang Minang hanya bertahan di gua-gua batu, hutan dan puncak bukit menyusun strategi serangan. Semasa tentera Belanda sedang  seronok berhibur kerana dapat merampas sebuah kubu orang Minang, pejuang Minang akan menyerang kembali secara serang hendap. Jika terdapat bantuan lain daripada luar, pejuang Minang akan memutuskan jalan perhubungan antara pos kawalan Belanda. Pejuang Minang mampu bertahan dengan keadaan sebegini berbulan-bulan lamanya kerana semangat yang ada pada mereka. Jika mereka berjumpa dengan musuh di tengah-tengah jalan sekalipun mereka akan cuba menyerang. Inilah semangat yang ditanamkan dalam setiap pejuang Minang. Selalu juga berlaku apabila pejuang Minang mengundurkan diri dengan sengaja dan meninggalkan beberapa orang mereka di bentenh untuk mengumpan bahawa mereka ingin bertahan. Jika Belanda menyerang secara besar-besaran, mereka yang tinggal tadi akan segera melarikan diri. Maka biasanya Belanda terpedaya dan mengejar untuk menyerang pejuang Minang. Pejuang Minang yang telah berundur awal telah bersedia di balik bukit, batu besar, hutan kecil atau lembah yang kemudiannya menyerang secara mengejut tentera Belanda yang cuba mengejar saki baki pejuang Minang. Kekacauan berlaku dalam kumpulan Belanda kerana serangan mengejut serta datang dari pelbagai arah yang mereka tidak dapat menangkisnya. Inilah sebab utama mengapakah banyak kali pihak Belanda tewas dalam tangan pejuang Minang.
Orang Melayu yang menjadi tentera Belanda selalu berasa gerun dengan keberanian pejuang Minang. Jika tentera Melayu ini terserempak dengan pejuang Minang, mereka akan melarikan diri apabila terdapat peluang. Menurut catatan Hendrix juga, jika serangan yang dimulakan oleh pejuang Minang, akan dapat didengar teriakan, pekikan dan jeritan yang menakutkan, keras serta kuat. Suara-suara ini sahaja dapat mengkucar-kacirkan keadaan Belanda disamping dapat meningkatkan semangat pejuang Minang. Pernah terjadi satu peristiwa 30 orang pejuang Minang menakutkan 2000 orang tentera Belanda yang diwakili oleh orang Melayu. Menurut Hendrix, untuk mengalahkan pejuang Minang yang penting jangan takut atau cemas. Pernah 60 pejuang Minang menakutkan dan mengacau bilaukan ribuan tentera Belanda yang diwakili oleh 50 orang Bugis. Namun, 50 orang Bugis ini tetap tenang dengan membuat formasi peperangan mereka iaitu separuh lingkaran. Begitu nekadnya pejuang Minang menyerang tentera Bugis yang tidak lari dengan sebelah tangan menetak musuh manakala sebalah tangan lagi akan cuba merampas senjata musuh. Hasil daripada ketenangan orang Bugis tersebut menyebabkan hanya 10 orang sahaja tentera Belanda yang terkorban.
Salah satu muslihat pejuang Minang juga adalah pandainya mereka berpura-pura seakan-akan tiada niat untuk menyerang  Belanda. Ini dialami oleh Van Bervevoorde sewaktu dalam perjalanan dari Rao ke Bonjol. Beliau berangkat membawa pasukan sebesar 70 orang dan kebanyakannya orang Madura yang berpengalaman dalam berperang. Selama dalam perjalanan, tiada serangan yang dilakukan oleh orang tempatan malah mereka melihat ramai rakyat tempatan sedang mengerjakan kerja masing-masing seperti membuat jalan, membina rumah serta bertani. Rakyat tempatan yang sedang melakukan kerja masing-masing menegur para tentera dengan ramah dan hormat. Tentera Van Bervevoorde berhenti rehat di satu kawasan lapang berdekatan dengan Bonjol. Sedang semua tentera berehat di bawah pohon, senapang di susun di satu bahagian dengan keadaan berjauhan dengan tempat mereka berehat. Pejuang Minang sedang melihat mereka berehat begitu mulailah menyerang pasukan tentera Belanda yang sedang berehat itu. Oleh kerana mereka jauh daripada senjata mereka, tentera Belanda tidak dapat bertahan dengan upaya mereka. Seluruh pasukan tersebut dapat ditumpaskan oleh pejuang Minang dan hanya dua orang sahaja dapat menyelamatkan diri dengan berenang menyeberangi Sungai Masang.
Bagi orang Minang, jika tenteranya mundur bererti satu kekalahan. Oleh sebab itulah para pejuang Minang akan menyerang walaupun tinggal seorang. Semakin ramai rakan-rakan mereka terkorban, semakin bersemangat mereka melancarkan serangan. Oleh kerana itulah, orang Minang sebelum menyerang akan melakukan perisikan yang akan menentukan sama ada keadaan pertahanan musuh boleh ditembusi. Serangan secara mengejut pejuang Minang ke atas tentera Melayu Belanda  menyebabkan orang Melayu itu segera melarikan diri, bingung dan kacau bilaukan barisan Belanda. Seperti kekalahan Belanda ke atas pejuang Minang di Marapalam pada 1824. Menurut Hendrix, kekalahan ini disebabkan oleh serangan pejuang Minang kepada Belanda sehinggakan meriam-meriam berat Belanda berjaya dirampas oleh pejuang Minang.
Pada tahun 1822 di Kapau, Leftenen Kolonel Raaf bersama anak buahnya menghadapi tentangan yang hebat daripada pejuang Minang. Beliau kehilangan ramai tenteranya serta kehilangan beberapa buah meriamnya yang agak berat. Kapau secara semula jadinya sudah menjadi benteng yang kukuh dengan parit serta bukit sekelilingnya. Raaf hampir ditangkap oleh pejuang Minang oleh kerana tenteranya ramai yang terbunuh dan melarikan diri. Selepas dapat memperkuatkan kembali tenteranya, raaf cuba menyusun ketenteraannya untuk menyerang Lintau kerana bagi Raaf, kejatuhan Lintau akan menyebabkan kekuatan pejuang Minang dapat dipatahkan.
13 April 1823, Belanda mulai bergerak ke Marapalam untuk menyerang Lintau. Meriam disusun bagi menyerang secara serentak tetapi dengan serangan meriam sekalipun masih tidak dapat mengalahkan pejuang Minang. Malah, pejuang Minang dengan berani menyerang semula Belanda. Serangan daripada pejuang Minang juga menyebabkan Belanda terpaksa mengundurkan diri. Menurut Raaf, yang menyukarkan mereka untuk menyerang adalah keadaan lapangan peperangan yang sukar, bukit bukau yang curam untuk didaki, parit yang mempunyai ranjau-ranjau tajam, dan pertahanan musuh yang berlapis-lapis. Lapisan pertahanan ini terlalu merbahaya untuk diserang secara hadapan kerana Belanda tidak dapat melihat apa yang ada dalam lapisan pertahanan tersebut tetapi pejuang Minang dengan jelasnya dapat melihat pergerakan Belanda. Menurut Raaf juga, setiap rintangan yang dihadapi masih ada lagi yang perlu diharungi dan pertahanan yang seterusnya itu lebih kukuh dan lebih merbahaya. Semakin dekat Belanda dengan pertahanan pejuang Minang, semakin ramai tentera Belanda yang terkorban. Selain itu, pejuang Minang juga mengatur sistem pengairan dilereng-lereng bukit yang curam menyebabkan lereng-lereng itu terlalu licin dan sukar untuk dipanjat. Satu-satunya jalan yang boleh digunakan untuk mengahncurkan pertahanan pejuang Minang adalah dengan menggunakan meriam-meriam berkaliber besar. Tetapi, meriam-meriam ini amat sukar dibawa mendaki bukit-bukit yang curam kerana amat berat malah dengan keadaan curam yang licin.
Semasa Belanda cuba mendapatkan kembali meriam-meriamnya yang telah dirampas oleh pejuang Minang, ia diketahui oleh pejuang Minang dan mereka menyerang dengan dahsyat. Pertempuran secara jarak dekat terjadi dengan menggunakan senapang sebagai alat penukul atau penusuk yang dilakukan oleh tentera Belanda. Manakala pejuang Minang hanya menggunakan klewang panjang. Pada mulanya pertempuran terjadi dengan seimbang tetapi oleh sebab diasak dengan kuat ole pejuang Minang menyebabkan Belanda terpaksa berundur. Menurut catatan Belanda lagi, klewang yang digunakan oleh pejuang Minang lebih panjang dan lebih mudah untuk menyerang. Ini memberi kelebihan kepada pejuang Minang dalam menguasai lapangan peperangan. Dalam masa pertempuran itu berlaku, pejuang Minang akan mempertahankan diri serta rakan-rakan mereka yang lain. Ini membuatkan tentera Belanda leka dengan serangan tersebut sehinggakan ada satu kumpulan daripada pejuang Minang yang cuba merampas empat lagi meriam yang masih terdapat pada Belanda.
Walaupun kelebihan kepada pejuang Minang, bantuan daripada tentera Belanda yang lain membolehkan pejuang Minang diasak sehinggakan mereka juga turut berundur. Tentera Belanda yang telah kehilangan banyak senjata dan kehabisan peluru menggunakan bayonet sahaja untuk menyerang kembali pejuang Minang. Satu kebaikan daripada pejuang Minang ini adalah mereka tidak menyerang semasa mereka mengetahui musuh berada dalam keadaan sangat lemah. Etika peperangan inilah yang patut dicontohi. Ini dapat dilihat dalam catatan Janeral Van Geen dalam buku hariannya
“Untunglah musuh tidak mempergunakan kemenangan itu sebaik-baiknya, walaupun kami telah kehilangan semangat kerana kalah, kami tidak dikejar oleh mereka. Pada pertarungan itu, 3 wira meninggal dan 45 serdadu, 9 perwira dan 178 tentera bawahan luka berat”
Janeral Van Geen juga ada menyatakan dan mengakui kemenangan lebih besar boleh dicapai oleh pejuang Minang jika mereka betul-betul mengejar pasukan Belanda sewaktu sedang mengundurkan diri. Dapat dilihat etika peperangan yang bukan berlandaskan kemenangan semata-mata.
            Walaubagaimanapun, tempat pertama yang dapat ditembusi oleh Belanda adalah Marapalam. Di Marapalam tentera Belanda menyusun strategi untuk menumpaskan pejuang Minang dan mula menyerang Padangsibusuk. Namun, sekali lagi alam sekitar menjadi halangan. Air sungai yang dalam dan berkelok-kelok serta deras menyebabkan serangan yang dilakukan terhadap kawasan pejuang Minang menjadi sukar dan mengorbankan ramai tentera Melayu Belanda.
            Menurut Hendrix lagi, ada satu perbezaan yang boleh dilihat antara perang melawan pejuang Minang di Sumatera dengan peperangan melawan Diponegoro di Jawa. Di Jawa, Belanda harus mengirim pasukan tentera ke sana sini untuk menggempur pasukan musuh sedangkan di Sumatera, musuh selalu bertahan di belakang benteng pertahanan. Serangan yang dilakukan oleh pejuang Minang hanya dilakukan sekali sekala, itupun serangan dilakukan oleh pejuang yang tidak sabar, bukan atas serangan ketua mereka. Serangan-serangan kecil ini tidak mendatangkan sebarang kesan kepada pihak Belanda. Daripada pengalaman Hendrix yang dicatatkan dalam catatan beliau, ketika di Bonjol 1834, jika tentera Belanda hanya menanti serangan kemudian bertahan dengan waktu yang lama, pejuang Minang lama kelamaan akan menurun motivasi mereka. Ini disebabkan oleh kekurangan makanan dan juga perasaan rindu kepada keluarga yang sudah lama ditinggalkan. Semakin lama Belanda bertahan, semakin mudah untuk pejuang Minang dikalahkan.
Selain daripada bertahan daripada serangan, Belanda juga menjadikan rakyat di Padangsibusuk dan Silungkang rakan serta teman rapat agar boleh membantu menunjukkan jalan serta kawasan-kawasan untuk menyerang pejuang Minang. Belanda dapat menyerang Koto Tujuh, Lintau dan Marapalam dan dengan taktik berkawan dengan rakyat tempatan membolehkan Belanda menguasai 3 kawasan ini dengan hanya 3 hari sahaja. Khabaran ini amat disenangi oleh pemerintah Belanda ketika itu kerana beliau dapat menguasai daerah yang sukar untuk ditawan oleh pemerintah sebelum ini dengan hanya 3 hari sahaja. Daerah ini bukan sahaja mempunyai pertahanan pejuang Minang yang kukuh, malah bentuk muka buminya yang sukar untuk melakukan sesuatu pergerakan yang besar. Kemenangan ini menurut Hendrix adalah daripada perencanaan yang matang setelah beberapa lama berperang dengan pejuang Minang serta penyelidikan mengenai medan peperangan yang sangat dikuasai oleh pejuang Minang. Dalam keadaan seperti di Sumatera, Belanda menyimpulkan tidak boleh digunakan taktik pengepungan tetapi menggunakan kaedah pemusatan segala kekuatan pada tempat masuk pertahanan.
Kesimpulan
            Dapat disimpulkan bahawa orang Minang mempunyai kaedah dan tatacara peperangan yang tersendiri. Walaupun mendapat teknologi pembuatan senapang daripada luar, tetapi masih lagi boleh merekabentuk senjata mengikut acuan dan keperluan tersendiri. Kaedah pembinaan kubu pertahanan yang bijak menggunakan alam dan berlainan dengan kaedah peperangan daripada bangsa lain terutamanya apabila dibandingkan dengan kaedah peperangan di Jawa. Ini semua menunjukkan bahawa orang Minang mempunyai kaedah peperangan ataupun bolehlah dikatakan mempunyai kaedah pengurusan kehidupannya tersendiri walaupun mengambil contoh daripada luar tetapi nilai tersendiri itu dikekalkan.








Rujukan
Anthony Reid. 2004. An Indonesian Frontier: Acehness and other Histories of Sumatra. Singapore: University of Singapore Press.
Hendriks. 1881. Oorlogvoeren op Sumatera, Indische Militair Tijdschrift. Terjemahan Internet ( 15 Okt 2012)
Marsden William. 1783. History of Sumatera, London
Navis. A. A. 1994. Cerita Rakyat dari Sumatera Barat. Jakarta: Grasindo
Rusli Amrin. 1981. Sumatera Barat hingga Plakat Panjang, Perang Saudara yang ditunggangi Belanda, Orang Padri Sebagai Pejuang. Jakarta: Penerbit Sinar Harapan
Sun Laicen, 2003, Military Technology Transfers from Ming China and the Emergence of Northen Mainland Southeast Asia (1390-1527), Journal of Southeast Asian Studies 34(3): 495-517
Internet :
http://dedymahe.wordpress.com/2012/06/29/178/
http://id.wikipedia.org/wiki/Perang_Padri
http://lokalgenius.blogspot.com/2011/06/ilmu-perang-melayu-taktik-dan-strategi.html
http://mozaikminang.wordpress.com/2009/10/18/seni-perang-minangkabau/
http://saifulhaj.multiply.com/journal/item/40/ILMU-PERANG-DALAM-MASYARAKAT-MELAYU
http://www.pelaminanminang.com/fakta-menarik/minangkabau-eksportir-senapan-abad-18.html


Tulisan ini adalah untuk Seminar Minang Diaspora (26-27 April 2014)



1 comment:

  1. ade kesalahan ejaan, kene double checking lagi nie heheee.. btw, a good job, interesting , heeee orang Minang punya semangat waja, bijak, kretif dan bersikap inovasi dalam peperangan.. :) orang yang menulis nie ade keturunan minang jugak ka heee ^__^

    ReplyDelete