Ramai orang yang mengatakan
bahawa makan di KFC atau McDonald merupakan makan daging saudara Islam di
Palestin. Minum di Starbucks seperti minum darah orang Palestin. Tapi pernahkah
kita fikir tentang kedai runcit Pak Kadir di Kampung Pening Lalat ditutup kerana
persaingan daripada kita selalu membeli di Tesco, Giant dan Jusco. Kedai barangan
keras (hardware) Ah Chong di Bangi Lama ditutup kerana kita membeli barangan di
kedai DIY dan banyak lagi kedai orang tempatan yang terpaksa gulung tikar oleh
kerana orang kita sendiri sanggup membeli di pasaraya besar yang jauh
berbanding dengan kedai runcit kampungan dalam kawasan perumahan. Ini menyebabkan
mereka gulung tikar kerana tidak dapat bersaing dengan pasaran gergasi daripada
luar negara. Jahatnya zionis di Palestin membunuh rakyat asal Palestin untuk
memberi penempatan pada rakyat Israel. Baiknya kita adalah membunuh orang kampong
sendiri untuk memberi kekenyangan pada orang luar. Isunya bukan masalah siapa
jual murah dia akan menawan pelanggan. Adakah disebabkan murah 20 hingga 60 sen
kita sanggup menyebabkan orang kita sendiri menutup perniagaan mereka. Kemudian
kita tuduh orang kita malas bekerja. Kita sambut dengan tangan terbuka pasaraya
gergasi ini dengan memenuhi gedung-gedung gergasi semasa jualan murah dan pada
awal pembukaannya. Orang kita sanggup pergi menaiki kereta yang jauh daripada
tempat tinggal untuk membeli di pasaraya gergasi atas alasan harganya lebih
murah sedangkan mereka tidak perasan minyak yang mereka gunakan untuk ke
pasaraya itu perlu dibayar. Silap-silap harga minyak yang perlu dibayar untuk
pergi ke pasaray itu lebih mahal berbanding harga promosi yang ditetapkan. Lainlah
jika Tesco berada di sebelah rumah. Mereka lebih sanggup membayar harga minyak
yang lebih banyak berbanding harga beras yang mahal seringgit di kedai Muthu. Mana
pergi kemanusiaan yang dilaungkan untuk rakyat Palestin sedangkan di bumi sendiri
pun masih ramai lagi orang Islam yang memerlukan bantuan. Adakah kebaikan hanya
perlu dilakukan kepada orang Islam sahaja? Kumpulan aktivis makanan “Dapur
Jalanan” membuktikan ramai lagi yang sangat memerlukan makanan untuk
mealngsungkan kehidupan. Adakah Islam mengajar hanya Muhammad sahaja yang perlu
dibantu dan dihormati. Bagaimana dengan Ah Seng yang selalu membantu oraang
makan di jalanan, Ravi yang dituduh membuang paku di jalan supaya bengkelnya
mendapatkan pelanggan. Bagaimana dengan Encik Ahmad yang mengambil peruntukan
kerajaan kepada rakyat seperti petani dan digunakan untuk kepentingan peribadi?
Bukanlah bangsa yang menjadikan seseorang itu jahat. Adkah salah jika seseorang
itu berbangsa yahudi tetapi dia seorang yang patuh pada ajaran agama dan selalu
membantu sesama manusia? Bagaimana seorang Melayu yang melaung-laungkan slogan
mengenai ketatasusilaan Melayu sanggup menjatuhkan musuh dalam kerjanya oleh
kerana dia sekarang sudah menjadi ‘bos’? adakah ayat-ayat atau slogan-slogan
ini hanyalah ayat untuk mendapatkan sesuatu keuntungan daripada pemimpin negara
kerana merasakan inilah yang memperjuangkan bangsa sendiri dan Nampak seperti
pejuang agama. Ada umat dalam kalangan kita menyatakan membeli di pasar basah
amat leceh, busuk, panas da nada juga peniaga menipu. Tetapi apabila membeli
barangan di pasaraya besar, bau busuk, perlu beratur panjang untuk membayar dan
mendapat kualiti barangan yang rendah serta tidak segar dapat diterima dengan
hati yang terbuka. Sedangkan penjual ikan atau sayuran di pasar itu memerlukan
wang daripada perniagaan mereka untuk menyara keluarga. Mungkin terdapat dalam
ahli keluarga yang masih bersekolah, menanggung rawatan perubatan ibu bapa. Jika
tidak pun, mereka mencari rezeki berdasarkan jualan di pasar tersebut. Jika dibandingkan
dengan pasaray besar, mereka hanya mahu keuntungan sahaja. Apa keperluan dalam
perniagaan mereka tiada siapa tahu. Itu antara pengurusan pasaraya sahaja yang
tahu. Para pekerja juga tidak akan diberitahu. Kita juga selalu memikirkan
nasib pekerja pasaraya besar yang ingin menyara kehidupan mereka dan keluarga
dengan gaji yang kadang kala tidak setimpal. Jangan cakap pasal ‘taukey’
pasaraya, pengurus cawangan pun belum tentu boleh nampak batang hidungnya. Namun
sejak kebelakangan ini, jika kita pergi ke pasaraya kita dapat lihat ramai
warga asing yang sudah diambil bekerja termasuklah pengawal keselamatan. Bukanlah
ingin mempertikaikan orang luar bekerja tersebut, tetapi pada masa dahulu ramai
pekerja terdiri daripada orang tempatan dan boleh dikatakan pasaraya ini bagus
kerana memberi peluang kepada orang tempatan mendapatkan kerja. Namun apabila pekerja
asing mengambil alih tugas orang tempatan, dimana retorik yang mengatakan
bahawa pembinaan pasaraya mega ini adalah untuk memberi peluang pekerjaan
kepada anak tempatan. Sekali lagi masalah orang tempatan memilih kerja, malas
dan hanya mahu kerja mudah menjadi alasan di dalam penyingkiran orang tempatan.
Kadangkala bukanlah orang tempatan ini mahu gaji seperti pengarah syarikat air
atau setara dengan gaji menteri, cumanya biarlah setimpal dengan tugas mereka. Jika
gaji menteri sama dengan pegawai kerajaan gred 41, perlu bayar told an minyak
sendiri, boleh tidur di hotel dengan kadar RM 160 semalam, setahun sekali
sahaja boleh keluar negara, itupun hanya makan dan penginapan sahaja yang
ditanggung, tiket perlu tanggung sendiri, bawa kereta sendiri dan berbagai
kemudahan bertaraf 41 ini, penulis percaya bahawa boleh bilang dengan jari
orang yang ingin menjadi menteri. Mungkin jawatan menteri adalah jawatan yang
paling tidak menyerlah. Jika wakil rakyat yang hanya untuk menggunakan otak
hanya untuk makan dan minum sahaja pun ingin mendapatkan wang yang banyak,
inikan pula orang Malaysia yan tinggal di rumah sewa, dengan perbelanjaan anak,
sekolah anak, perbelanjaan dapur yang semakin meningkat serta segala macam
cukai yang perlu dibayar. Adakah berbaloi jika orang-orang ini mendapat gaji
sama dengan orang asing yang duduk di rumah kongsi dengan satu rumah kongsi
20-30 orang, makan secara belian pukal, makan nasi dengan kangkung tepi Sungai
Langat. Orang tempatan ada macam-macam yang perlu dibayar disamping memberi
anak mereka khasiat makanan yang terbaik boleh mereka berikan. Anak yang
membesar dengan makanan khasiat kelak menjadi anak yang berguna dengan ilmu
yang boleh membantu keluarga pada masa hadapan. Jika mendapat gaji sedikit,
ayahnya pula tidak mengenal halal dan haram dan ayahnya mengambil wang
sampingan dengan cara yang tidak betul samada main judi, rasuah, menggelapkan
wang atau lain lain. Mereka beri pula hasil yang tidak berkat tersebut kepada
anak-anak. Nilai keberkatan itu tiada untuk membina anak yang baik. Kelak anak
itu akan menjadi seorang yang tidak dengar kata ibu bapa. Jika berjaya pun
mungkin akan menjadi penjenayah berpendidikan tinggi. Tapi itu semua adalah
petunjuk daripada Tuhan. Kepada tuhan kita bermohon. Apa yang ingin kita
bangunkan adalah produk tempatan yang berkualiti. Kita mahukan anak-anak yang
dapat membangunkan keluarga dan masyarakatnya, kita mahukan bapa yang menjadi
contoh kepada semua anak negara bangsa. Kita mahukan jati diri kedai runcit
daripada orang tempatan, kita mahukan barangan buatan tempatan menjadi produk
utamadi negara ini untuk dipakai oleh setiap anak tempatan. Tidak perlu
bercakap mengenai antarabangsa jika pasaran tempatan pun masih dalam keadaan
terumbang ambing. Kita mahukan agar kedai Pak Kadir menjadi sebuah emporium dalam
Kampung Pening Lalat, kita mahukan kedai
kraftangan kita secanggih IKEA, kita mahukan kedai kerepek Mak Siti dapat standing
dengan Mister Potato, dodol Mak Kiah dapat standing atau lebih baik daripada
Pizza Hut dan yang paling penting masyarakat Malaysia menyanjung tinggi dengan
warisan yang kita ada. Tidak salah untuk ke Tesco, Giant atau apa saja tetapi
jangan sampai kita sendiri yang membunuh orang kita untuk memberi kehidupan
kepada orang luar tetapi kita marah dengan Israel yang membunuh orang Palestin
untuk memberi kehidupan kepada rakyatnya. Mereka hanya menggunakan kesempatan
dan kekuatan yang ada pada mereka untuk menindas orang Palestin. Kita juga
bersetuju dengan salah satu fakta dalam Teori Evolusi bahawa siapa yang kuat
akan menang kerana kita juga suka menindas orang bawahan kita. Selagi kita
masih ada sikap begini, selagi itulah Palestin akan terus ditindas kerana tiada
apa yang kita tidak bergantung kepada Israel. Ini bukanlah teori konspirasi
seperti yang terdapat dalam banyak buku hasil tulisan orang tempatan atau luar
negara. Inilah sikap yang perlu dibetulkan oleh masyarakat kita.
No comments:
Post a Comment